Browsing Tag

Israk dan Mikraj

Israk dan Mikraj
Gaya Hidup,

Ini cara terbaik sambut peristiwa Israk dan Mikraj

MENGIKUT kalendar Hijrah, Israk dan Mikraj pada tahun ini jatuh pada 18 Februari. Ia merupakan detik penting dalam sejarah Islam.

Masakan tidak, tanggal 27 Rejab menjadi saksi kepada satu lagi mukjizat agung yang dikurniakan ALLAH SWT kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Secara ringkasnya, Israk merupakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menaiki buraq, manakala Mikraj pula bermula daripada Masjid al-Aqsa hingga ke Sidratulmuntaha.

Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, Ustaz Che Muhammad Amin Che Soh menjelaskan, perjalanan agung itu berlaku ketika tahun kesedihan Rasulullah SAW selepas kehilangan dua insan tersayang iaitu isteri baginda, Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib.

USTAZ CHE MUHAMMAD AMIN

Sepanjang ‘kembara’ tersebut, baginda diperlihatkan dengan beberapa kaum yang mendapat balasan akibat dosa yang dilakukan, ungkapnya.

Baca juga 7 perkara luar biasa yang dilihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj

“Istimewanya, baginda menaiki buraq ketika perjalanan tersebut. Ada riwayat menyatakan, buraq merupakan antara kenderaan syurga. Orang Islam yang bakal ke jannah kelak akan merasai tunggangan itu nanti.

“Dalam perjalanan Mikraj pula, baginda bertemu dengan para nabi di setiap lapisan langit sehingga ‘bertemu’ ALLAH di Sidratulmuntaha,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika itulah, ujar Ustaz Che Muhammad Amin, Nabi Muhammad SAW menerima pensyariatan solat sebanyak 50 waktu sebelum akhirnya menjadi lima waktu sahaja.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Bumbung rumahku terbuka ketika aku berada di Makkah, lalu turun Malaikat Jibril. Kemudian dia memegang tanganku lalu membawaku naik ke langit. Maka ALLAH telah memfardukan 50 solat ke atas umatku. Lalu aku berulang-alik menemui-NYA, maka ALLAH menyatakan bahawa lima solat menyamai 50 solat, tidak diubah lagi pernyataan itu untukku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, peristiwa Israk dan Mikraj begitu signifikan terhadap umat Islam. Ini kerana ia menyaksikan perintah solat difardukan ke atas setiap umatnya.

Baca juga Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj

Meskipun ada pandangan lantang menyatakan, tiada sambutan Israk dan Mikraj ketika zaman nabi mahupun para ulama generasi salafussoleh, namun Ustaz Che Muhammad Amin mempunyai perspektifnya yang tersendiri.

Israk dan Mikraj

PENSYARIATAN kefarduan solat berlaku ketika peristiwa Israk dan Mikraj. -FOTO: 123RF

Jelas beliau, wajar untuk umat Islam menyambutnya sebagai tanda ingatan dan manifestasi untuk kita mengagungkan kefarduan solat berkenaan.

“Bayangkan Rasulullah SAW ‘berjumpa’ ALLAH dalam peristiwa berkenaan untuk membawakan solat kepada kita,” katanya.

Justeru, ujar beliau, tidak salah untuk kita mengadakan sambutan Israk dan Mikraj dengan cara mengadakan ceramah mahupun tazkirah yang membutirkan tentang kisah penting itu kepada umat Islam.

“Ia sebagai mengingatkan kepada Muslim tentang asal usul solat, maksud sembahyang dan sebab apa kita wajib tunaikannya. Itulah yang sebaik-baiknya.

“Tidaklah nanti kita melaksanakan perintah ALLAH itu hanya sekadar mengikut-ngikut orang saja.

Baca juga Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…

“Lebih-lebih lagi pada zaman masyarakat sekarang yang terdedah dengan pelbagai cabaran. Jadi perlu diterapkan dengan budaya Islam yang unggul tentang perayaan peristiwa penting ini,” ungkapnya.

Israk dan Mikraj

SAMBUTAN Israk dan Mikraj boleh dilakukan dengan cara mengadakan ceramah mahupun tazkirah yang membutirkan tentang kisah penting itu kepada umat Islam.-FOTO: UNSPLASH

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva

Israk dan Mikraj
Panduan,

7 perkara luar biasa yang dilihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj

PERISTIWA Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab menjadi saksi satu lagi tanda kekuasaan ALLAH SWT. Sesungguhnya, apabila Sang Khalik berkehendakkan sesuatu, maka terjadilah ia.

Kejadian penuh menakjubkan itu berlaku setahun sebelum hijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah. Mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW itu sarat dengan 1,001 hikmah dan begitu besar nilainya di sisi Islam.

Secara ringkasnya, Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang buraq, manakala Mikraj pula merujuk kepada pergerakan baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha.

Perkara itu ada dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 1 dan Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18.

Menariknya, ketika perjalanan tersebut, pendakwah Asma’ Harun menjelaskan, Nabi Muhammad SAW diberi kesempatan menjadi imam bagi para nabi di Masjidil Aqsa.

ASMA’

Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat diriku berada di Hijir Ismail, dan seorang Quraisy bertanya kepadaku tentang perjalananku (Israk dan Mikraj). Mereka bertanya pelbagai perkara mengenai Baitul Maqdis yang aku tidak ingat. Aku merasakan kesulitan yang tidak pernah aku alami. Lalu ALLAH memperlihatkannya kepadaku sehingga aku dapat melihatnya. Tidaklah mereka bertanyakan sesuatu daripadaku melainkan aku menjawabnya. Aku melihat diriku berada dalam kelompok para nabi. Kelihatan Nabi Musa AS sedang mengerjakan solat, ternyata dia seorang lelaki yang tinggi dengan rambut kerinting, seperti seorang pemuda suku Syanu’ah. Dan kelihatan Nabi Isa bin Maryam AS sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah Urwah bin Masud As-Tsaqafi. Dan kelihatan Nabi Ibrahim AS sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah sahabat kamu (iaitu baginda sendiri). Apabila tiba waktu solat, aku mengimami mereka. Setelah selesai solat berkata seseorang: Wahai Muhammad! Inilah Malik, penjaga neraka, berilah salam kepadanya. Aku berpaling kepadanya dan dialah yang terlebih dahulu mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Israk Mikraj: Perjalanan penuh hikmah, berikut empat pengajaran daripadanya

Bukan itu sahaja, Asma’ menjelaskan, terlalu banyak perkara luar biasa yang berlaku sepanjang perjalanan agung Rasulullah SAW selama hanya satu malam tersebut.

Beliau kemudian menyenaraikan tujuh peristiwa lain yang dilihat baginda SAW sepanjang perjalanan Israk dan Mikraj itu menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Antara perkara yang dilihat Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa berkenaan seperti berikut:

1. Balasan bagi mereka yang suka mengumpat.

Israk dan Mikraj

JAUHI perbuatan mengumpat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud)

Baca juga ALLAH tak ampunkan dosa mengumpat orang lain?

2. Bahana bagi pendakwah yang melupakan diri.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab: ‘Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. tidakkah mereka menggunakan akalnya?” (Hadis Riwayat Ahmad)

3. Haruman keluarga Masyitah.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila baginda SAW bertanya pada Jibril AS, Jibril menjawab: “Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya. Ketika mengambil sikat itu ia berkata, ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH).’ Lalu anak perempuan Firaun bertanya: ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Telapak kaki bilal didengari di syurga.

Israk dan Mikraj

CERITA telapak kaki Bilal bin Rabah didengari di syurga ada disebutkan dalam riwayat yang masyhur. -Gambar hiasan

Daripada Abu Hurairah RA, telah berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal ketika solat Fajar: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj 

5. Melihat dajal dalam rupa asalnya.

Diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an al Kilabi dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukan dajal yang aku khuatirkan akan memudaratkan kalian. Kerana jika dajal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka akulah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang Muslim wajib membela dirinya, dan ALLAHLAH yang menjaga setiap orang Muslim sepeninggalanku. Sesungguhnya dajal adalah seorang yang berusia muda, berambut kerinting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Iraq, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba ALLAH, berpendirian teguhlah kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Diperlihatkan nabi-nabi dan umat masing-masing.

Ibn Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian baginda SAW melihat lautan manusia yang besar. Apabila baginda bertanya: “Siapa mereka? Dijawab kepada baginda SAW: “Itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi Muhammad SAW: “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.” Apabila Rasulullah SAW melihatnya, dikatakan kepada baginda: “Itulah umatmu. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

7. Khasiat berbekam.

Israk dan Mikraj

BERBEKAM mempunyai pelbagai manfaat. Malah, Rasulullah SAW juga pernah berbekam. -Gambar hiasan

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Sebaik-baik hari untuk kalian (berbekam) adalah hari ketujuh belas, kesembilan belas dan kedua puluh satu, baginda bersabda: “Tidaklah aku melewati sekumpulan malaikat pada malam aku diisrakkan kecuali mereka berkata; ‘Engkau harus berbekam wahai Muhammad’.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Subhanallah, begitu banyaknya hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh kita hayati bersama.

Benarlah, memang tidak dapat disangkal lagi, kejadian bersejarah dalam Islam itu membawa satu pengertian yang cukup besar. Ini kerana ketika itulah, pensyariatan solat fardu lima waktu mula difardukan terus secara langsung kepada Rasulullah SAW sendiri dan tidak melalui Malaikat Jibril AS seperti kebiasaannya.

Justeru, sama-samalah kita menghayati hikmah yang amat bernilai menerusi perjalanan agung Rasulullah SAW di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Foto: Freepik & Unsplash

Israk dan Mikraj
Isu, Pilihan Editor,

Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj

KITA hampir memasuki 27 Rejab menjelang waktu Maghrib ini. Pada malam inilah sejarah penting Islam dirakam.

Detik itu menyaksikan Nabi Muhammad SAW dikurniakan satu lagi mukjizat agung iaitu menikmati peristiwa Israk dan Mikraj.

Sesungguhnya, kejadian itu bukan omongan kosong mahupun kisah dongeng. Ia merupakan cerita perjalanan agung Rasulullah SAW yang sarat dengan hikmah.

Pendakwah Elyas Ismail menegaskan, Israk dan Mikraj bukan kisah mahupun coretan rekaan Nabi Muhammad SAW mahupun para sahabat.

USTAZ ELYAS

“Masakan tidak, peristiwa itu telah diriwayatkan lebih daripada 26 sahabat baginda SAW. Kita sendiri maklum, mana mungkin manusia mampu untuk menipu secara serentak jika sebegitu banyak jumlah orang yang meriwayatkan cerita yang sama.

“Ini bermakna, sudah pasti ia merupakan kisah yang benar-benar berlaku. Sesungguhnya, memang benarlah peristiwa Israk dan Mikraj adalah sahih dan tidak boleh disangkal lagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi sesi Kuliah Dhuha bertajuk Pertemuan Indah Para Nabi di laman sosial Facebook miliknya pada hari ini.

Malah, detik penting itu turut tercatat dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 1 yang bermaksud: “MAHA SUCI (ALLAH), yang telah memperjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada suatu malam daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah KAMI berkati sekelilingnya agar KAMI memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) KAMI. Sesungguhnya DIA MAHA MENDENGAR, lagi MAHA MELIHAT.”

Peristiwa Mikraj pula disebut menerusi ayat lain yang mana ALLAH SWT berfirman: “Dan sungguh, dia (Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang sebenar) pada waktu yang lain. Iaitu di Sidratulmuntaha. Dekat dengannya ada syurga tempat tinggal.” (Surah an-Najm, ayat 13-15)

Baca juga Perjalanan Israk Mikraj yang penuh hikmah

Meskipun para ulama berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kejadian agung itu berlaku, ujar Elyas, tidak perlulah lagi kita mempertikaikannya kerana peristiwa berkenaan sememangnya benar-benar berlaku dan sudah pun berlalu.

“Daripada perbahasan dan perspektif para ulama, ramai yang berpegang dengan pandangan bahawa perjalanan agung tersebut berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-10 kenabian Nabi Muhammad SAW.

Israk dan Mikraj

MESKIPUN banyak perdebatan tentang tarikh sebenar berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, namun kebanyakannya berpegang dengan pandangan bahawa ia terjadi pada malam 27 Rejab.

“Jadi, tidak perlulah kita berdebat, apatah lagi memanjangkan cerita berkaitan dengannya, tetapi memadailah dengan kita mengambil iktibar dan istifadah (faedah) daripada babak-babak perjalanan baginda SAW dengan menaiki buraq sambil ditemani oleh Malaikat Jibril AS,” jelasnya.

Menyambung hujahnya, Elyas menjelaskan, terdapat beberapa sisi penting dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh diambil untuk dijadikan sebagai renungan bersama.

Antaranya, ujar beliau, kita dapat menyaksikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW diberikan kesempatan untuk ‘berdialog’ dengan ALLAH SWT.

“Ia merupakan satu keberuntungan kepada baginda SAW. Bayangkan nabi kita dapat ‘bersembang’ secara langsung dengan ALLAH SWT pada malam tersebut.

“Apa yang menariknya, ‘perbualan’ tersebut, baginda memulakannya dengan memberikan salam. Disebutkan bahawa salam nabi pada ALLAH SWT begitu indah sekali,” ungkapnya.

Ketika peristiwa itu, katanya, Nabi Muhammad SAW menyebut attahiyyatulillah, was solawatut thayyibat, seolah-olah memberi salam kepada ALLAH SWT.

“Lalu , ALLAH SWT memberi maklum balas dengan berfirman: ‘Assalamu’alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullahi wa barakatuh’.

“Kemudian, Nabi Muhammad SAW hendak menyertakan umat dalam salam itu. Maka baginda menyebut: ‘Assalamualaina wa ‘ala ibadillahis solihin’.

“Para malaikat seterusnya menyambut dan menyahut dengan menyatakan: ‘Asyhadu alla ilaha illallah, wa anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh’,” jelasnya.

Jika diteliti semula bait-bait kalimah yang diungkapkan, jelas Elyas, semua lafaz berkenaan telah pun diabadikan sebagai bacaan dalam tahiyat ketika kita menunaikan solat.

“Paling menyentuh hati, dalam ‘dialognya’ bersama ALLAH SWT, Rasulullah SAW tetap mahu menyelitkan umatnya sekali dalam salam baginda. Betapa sayangnya nabi kepada kita semua.

Israk dan Mikraj

PERINTAH menunaikan solat diturunkan ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

“Baginda tidak sedikit pun melupakan kita umatnya. Justeru tidak sewajarnya kita tidak ingat atau tidak menyayangi baginda,” ujarnya.

Pada malam penuh bersejarah itu juga menyaksikan begitu banyak kurniaan ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda, ungkap pendakwah tersebut.

Antaranya ALLAH SWT menitahkan: “Ya Muhammad, AKU perkenankan engkau sebagai pembawa risalah-KU; AKU ambilmu sebagai kekasih-KU; kemudian AKU belah dadamu dan bersihkan; AKU jadikan umatmu sebagai sebaik-baik umat; AKU berikan keistimewaan untukmu di hari akhirat nanti; AKU kurniakan tujuh ayat yang tak pernah dikurniakan kepada sesiapa pun sebelummu (Surah al-Fatihah) dan AKU kurniakan ayat terakhir Surah al-Baqarah sebagai perbendaharaan di bawah; kemudian AKU fardukanmu dan umatmu 50 waktu solat.”

Begitupun, jelas Elyas, solat fardu yang kita dirikan hanyalah lima waktu sahaja selepas baginda menghadap ALLAH SWT berulang-kali meminta jumlah berkenaan dikurangkan.

“Solat inilah yang membuatkan kita rasa bertuah sangat menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana banyak kurniaan yang ALLAH SWT berikan kepada baginda khususnya dalam peristiwa pada malam Israk dan Mikraj.

“Seperkara lagi, suka untuk saya ingatkan bahawa dada Nabi Muhammad SAW dibelah dan dibersihkan bukanlah bermaksud nabi kita ada dosa sehingga perlu dicuci hatinya. Sebaliknya, tujuan ia dilakukan supaya baginda menjadi lebih hebat, mantap dan lebih bersiap siaga dalam menghadapi setiap kemungkinan ketika perjuangan dakwah. Ia demi mengukuhkan semangat, jiwa dan memberikan kekentalan kepada baginda dalam mendepani cabaran sewaktu menyebarkan risalah ALLAH SWT,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Foto: Freepik & 123rf