Browsing Tag

islamic view

IBNU SAHNUN
Personaliti,

Ibnu Sahnun, Maestro dunia pendidikan

SAMA seperti al-Qabisi, Ibnu Sahnun merupakan antara tokoh pemikir Islam klasik yang sangat mementingkan konsep pendidikan dan sangat mencintai dunia penulisan.

Dalam kitab Qimatus Zaman ‘Inda Al-Ulama karya Abdul Fattah Abu Ghuddah menyatakan bahawa hari-hari cendekiawan itu sentiasa disibukkan dengan menulis kitab-kitab.

Ibnu Sahnun atau nama penuhnya, Abd al-Salam Ibn Salam Ibn Sa’id Ibn Habib lahir di kota Ghadat, Maghribi pada 202 Hijrah.  Beliau digelar Ibnu Sahnun yang bermaksud burung helang dek kerana kecerdasan dan ketajaman akalnya.

Cendekiawan Islam tersohor itu dianggap sebagai pendidik kaum Muslim yang pertama

Membesar di sebuah keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan, beliau bertuah kerana bapanya, Abu Said Sahnun menjadi guru pertamanya. Sejak kecil, agamawan itu sering memperhalusi karya-karya yang dihasilkan oleh ayahnya.

Sahsiah Ibnu Sahnun banyak dipengaruhi oleh keperibadian ayahnya yang terkenal sebagai seorang yang memiliki sifat zuhud dan warak, di samping menguasai ilmu fiqh dan agama.

Tatkala meniti usia remaja, beliau telah mengembara ke Mesir, Libya, Madinah dan Makkah. Antara gurunya ialah Musa bin Mu’awiyah al-Samadihi, ‘Abd Aziz bin Yahya al-Madani, ‘Abdullah bin Abi Hisan al-Yahsabi, ‘Abd Rahman bin Qasim, Ibn ‘Abd al-Hakam, Abu Mas’ab bin Abu Bakar al-Zuhri, Ya’kub bin Kasib dan Salmah bin Syabib dan ramai lagi.

Maestro dunia pendidikan

Menerusi karya bertajuk Ulasan dan Ringkasan Buku Ibnu Sahnun (Mutiara Pendidik Muslim), karya pertama yang dihasilkan Ibnu Sahnun bertajuk Adab Al-Muallimin (Adab Para Pendidik) telah menjadi rujukan sejumlah tokoh pendidikan Islam. Antaranya seperti Ibnu Maskawaih, Ibnu Khaldun dan al-Qabisi.

Dalam intipati naskhah itu, ilmuan tersebut membincangkan tentang kurikulum dan kaedah pengajaran yang disifatkannya dua perkara yang berbeza.

“Kurikulum adalah satu istilah yang menjelaskan tentang kuantiti dan kualiti bahan yang diajar, manakala kaedah merujuk kepada cara penyampaian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran” kata buku tersebut.

Ibnu Sahnun menghasilkan kitab Adab Al-Mu’allimin yang menghimpunkan pandangannya dalam bidang pendidikan yang masih relevan sehingga hari ini

Ibnu Sahnun juga mengklasifikasikan di antara subjek wajib dan pilihan yang harus diambil oleh seorang pelajar. Kurikulum wajib ialah al-Quran, sementara subjek pilihan lain seperti Matematik, Bahasa Arab, kaligrafi, pidato dan syair.

Beliau juga mahu pelajar khatam al-Quran terlebih dulu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Seperkara yang ditekankan oleh tokoh agama terkemuka itu adalah betapa pentingnya pendidik memiliki ilmu yang mendalam terhadap apa yang diajari mereka.

Selain itu, guru perlu menyediakan bilik darjah yang memberangsangkan bagi menyuntik semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar.

Kata Ibnu Sahnun: “Peranan pendidik sangat luas dan tak terhad di dalam  bilik darjah. Mereka harus memantau anak didik di mana sahaja, sama ada di rumah mahupun di tengah-tengah masyarakat. Inilah satu tanggungjawab yang besar dan harus dipikul oleh seorang pendidik.”

Namun, paling menarik perhatian penulis adalah mengenai prinsip bahawa pendidik tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman tanpa rasa kasih sayang.

Dalam satu kertas kerja yang bertajuk Konsep Paedagogik Ibnu Sahnun dan Al-Qabisi, cendekiawan itu berpendapat, hukuman seperti memukul diberikan kepada anak didik dalam rangka tujuan mendidik asalkan tidak dilakukan secara berlebihan.

Beliau secara tegas menyatakan, hukuman yang dibolehkan harus dibatasi dalam pelaksanaannya seperti pukulan tidak boleh diberikan lebih dari tiga kali kecuali atas izin orang tua, itupun jika si anak terbukti telah menyakiti orang lain.

 

 

 

 

PROFIL

Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad bin Abi Sa’ad bin Habib bin Hisan bin Hilal bin Bakar bin Rabiah at-Tanukhi al-Qairawani

Gelaran: Ibnu Sahnun

Asal: Maghribi

Tahun kelahiran: 818 Masihi

Tahun kematian: 869 Masihi

Karya agung: Adab al-Mu’allimin, Adaba al-Mu‟allimin, Al-Hujjah ‘ala al-Qadariyah, Kitab Tafsir al-Muwatta dan Kitab Ajwibah Ibnu Sahnun

 

*Sumber dan Foto Buku Ulasan dan Ringkasan Buku Ibnu Sahnun (Mutiara Pendidik Muslim), Kertas kajian bertajuk Konsep Paedagogik Ibnu Sahnun dan Al-Qabisi, 123RF.com https://media.neliti.com/, https://www.academia.edu/,