Browsing Tag

integriti

Ciri-ciri kepimpinan Islam
Gaya Hidup,

Kenali 21 ciri-ciri kepimpinan Islam menurut Imam al-Nawawi

Oleh DR HIDRIS SAHRI

ISLAM ialah agama yang meliputi cara hidup yang sempurna. Di dalamnya terkandung sistem pengurusan kehidupan yang disusun oleh ALLAH SWT dalam membimbing serta membentuk manusia kearah kehidupan yang lebih bahagia berasaskan perundangan yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis sebagai sumber yang disepakati.

Ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW menjadi dasar dan elemen kepimpinan yang mendorong melahirkan prestasi dan etika pekerja yang lebih baik, akhirnya kepuasan organisasi dan matlamat serta kepuasan ahli boleh tercapai.

Kepemimpinan yang bersifat karismatik serta memiliki ilmu pengetahuan, ketaatan dan keimanan yang selari dengan ajaran al-Quran menjadikan mereka disegani kawan dan juga lawan. Seperti para nabi yang telah dipilih oleh ALLAH SWT mendapat tentangan dan pujian daripada musuh Islam sendiri.

Baginda memiliki watak teladan untuk umat manusia dari semua generasi pada zamannya sehingga hari ini, untuk diikuti dan mempelajari kebijaksanaan (hikmah) daripadanya. Watak Nabi Muhammad adalah konsisten dengan al-Quran.

Baca juga Rasulullah Tokoh Berpengaruh Sepanjang Zaman. Dalam Diri Baginda Terdapat Segala-galanya Untuk Diteladani

Berdasarkan Hadis Sahih Muslim, Aishah RA ditanya tentang watak Nabi Muhammad SAW, beliau menjawab, sesungguhnya watak Nabi ALLAH ialah al-Quran. Baginda memodelkan watak dan kelakuannya berdasarkan kebenaran dan integriti, keadilan, kasih sayang, kerendahan hati, kebaikan, dan kesabaran.

Ciri-ciri kepimpinan Islam

SEORANG pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab dan berintegriti, tetapi juga mempunyai nilai akhlak yang tinggi dan amanah ketika menjalankan tugas.

Sebuah portal online bertarikh 16 Ogos 2019, dengan tajuk berita ‘Usah Tangkap Muat Pilih Pemimpin’ menyebut bahawa kepimpinan adalah kredibiliti, tanggungjawab, nilai akhlak yang tinggi dan amanah dalam menjalankan tugas.

Tanggapan masyarakat terhadap kepimpinan Islam menyebabkan satu polemik kepimpinan sering kali dikaitkan dengan Islam itu sendiri. Sikap dan persepsi dari pelbagai peringkat masyarakat terhadap kepimpinan dan sifat yang patut dimiliki oleh mereka juga menjadikan isu kepimpinan dari pandangan Islam semakin dipinggirkan sedangkan ALLAH SWT telah menjadikan Nabi Adam menjadi khalifah dan seterusnya peradaban kepimpinan ini diwarisi oleh para nabi.

Pelihara amanah ALLAH

Kepimpinan berteraskan kepada sumber al-Quran dan hadis menjadi panduan melahirkan pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan yang hebat seperti baginda SAW. Melantik pemimpin yang bertanggungjawab memelihara amanah, kebajikan manusia, memastikan keselamatan rakyat dari dizalimi musuh, menegakkan keadilan, memastikan ketenteraman negara, rakyat daripada segala kerosakan dan kemusnahan serta kemudaratan.

Merujuk kepada pandangan cendikiawan Islam seperti al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah yang meletakan syarat menjadi pemimpin yang berjaya harus mempunyai tujuh perkara seperti keadilan, mempunyai keberanian, mempunyai ilmu, mempunyai idea yang bernas, sempurna pancaindera, tidak cacat anggota, dan berasal dari keturunan yang baik (Al-Mawardi, 1993).

Baca juga Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

Pengukuhan ciri kepimpinan ini diperkuatkan lagi oleh al-Farabi, Ajuwaini dan Ibn Khaldun bahawa kelayakan menjadi seseorang pemimpin hendaklah mempunyai kesempurnaan fizikal dan mental, ilmu pengetahuan yang luas dan memperaktikannya, berlapang dada dalam menerima kritikan, berani mempertahankan kebenaran, memastikan golongan yang lemah dijaga, bersifat sederhana dan tidak bermewah-mewah, menghormati para agamawan dan agama yang lain dan memilih orang benar-benar layak untuk mengurus sesuatu tugas melibatkan keselamatan dan kepentingan negara atau organisasi.

Kepimpinan yang taat kepada ALLAH SWT pasti akan menghayati nilai kemanusiaan dan membawa kejayaan yang mutlak. Bertitik tolak daripada penghayatan falsafah tauhid, Islam telah memberikan satu garis panduan dalam pelbagai dimensi, dinamik dan relevan supaya setiap individu yang mampu mengurus dan berkhidmat untuk masyarakat berupaya membangunkan jati diri, keluarga, masyarakat dan negara secara efektif, bermakna dan harmoni. Nilai kesejagatan ini boleh dilihat dalam tiga aspek hubungan dengan ALLAH, kemahiran profesional dan hubungan interpersonal.

Ciri-ciri kepimpinan Islam

JIKA dilantik sebagai pemimpin dalam masyarakat, organisasi dan seumpamanya, jadilah ketua yang baik sebagaimana digariskan dalam Islam.

Imam al-Nawawi telah menjelaskan bahawa terdapat 21 ciri kepimpinan Islam antaranya beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA, beramal soleh, menjaga solat, merasa takut kepada peringatan ALLAH, memimpin dengan melahirkan sifat adil, amanah, tidak menipu atau berbohong, benar, berilmu, tidak zalim, tidak menyesatkan, tidak mementingkan diri, berjasa kepada manusia, tidak menyulitkan keadaan, tidak sombong, tidak mengharap dan meminta-minta jawatan, tidak menerima rasuah dan balasan, tidak mengelapkan harta dan wang rakyat, memakmurkan rakyat dan negara, dan setiap keputusan tidak melulu dan mengikut hawa nafsu.

Akhirnya kita melihat bahawa kejayaan seorang pemimpin itu bukan atas nama kuasa dan jawatan sahaja tetapi ia meliputi kesempurnaan seorang pemimpin dari sudut keperibadiannya yang tercermin dari jiwa yang murni dan akhlak sesama manusia.

Kehebatan gagasan Islam sendiri telah diperakui oleh sarjana Barat seperti Sergiovanni yang mengatakan bahawa sifat kemanusiaan menjadi asas kepada keberhasilan seorang pemimpin itu. Kepimpinan yang berjaya dan cemerlang perlu mempunyai elemen dalaman seperti kasih sayang, toleransi, menyatakan penghargaan serta mempunyai hubungan kemanusiaan dengan individu yang mempunyai hubungan dengan organisasi.

***Dr Hidris Sahri ialah Pengerusi Pertubuhan Al-Khairiah, Mersing, Johor

 

Foto: Freepik