Browsing Tag

integiriti

Bekerja dari rumah
Gaya Hidup,

Lakukan 3 Perkara Ini Agar Kita Tak Khianati Amanah Ketika Bekerja Dari Rumah

no comment

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB

PENINGKATAN kes positif Covid-19 dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif menyebabkan usaha untuk melandaikan keluk jangkitan dijangka mengambil masa yang lebih panjang.

Justeru, langkah kerajaan meneruskan sekatan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara adalah tepat.

Pun demikian, bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal berfungsi, kerajaan telah menetapkan bahawa pengoperasian pejabat kerajaan akan dilaksanakan secara hibrid iaitu datang ke pejabat dan bekerja dari rumah (BDR).

Penetapan 20 peratus kehadiran ke pejabat dan 80 peratus secara BDR mengikut giliran menyaksikan sebahagian besar penjawat awam akan terus berada di rumah khususnya di negeri fasa satu PPN.

Situasi tersebut sebenarnya telah mendapat dua reaksi yang berbeza. Sebahagiannya seronok dengan sistem BDR, tetapi ada juga yang sebaliknya.

Dalam keadaan tersebut, integriti para penjawat awam bakal teruji sekali gus akan menterjemahkan kualiti amanah dan tanggungjawab yang mereka sandang selama ini.

Bekerja dari rumah

Bagi mereka yang beragama Islam, seharusnya pekerjaan yang menjadi asas dan punca rezeki, dilaksanakan dalam konteks beribadah kepada ALLAH SWT.

Tiga syarat

Bagi mereka yang beragama Islam, seharusnya pekerjaan yang menjadi asas dan punca rezeki, dilaksanakan dalam konteks beribadah kepada ALLAH SWT.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Ibadah hakikatnya bukan sekadar mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji, tetapi lebih daripada itu. Justeru, bagi memastikan seluruh pekerjaan menjadi ibadah, terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi iaitu:

i. Niat bekerja hanya kerana ALLAH.

– Sebagai pekerja, kita harus memperbaharui niat setiap hari ketika memulakan kerja di samping mengikhlaskan diri melakukannya kerana ALLAH SWT.

– Ikhlas dalam pekerjaan bermakna melaksanakan amanah dan tugasan dengan sebaiknya kerana meyakini bahawa ALLAH SWT sentiasa melihat segala perbuatan kita.

– Daripada Umamah RA berkata: “Bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Apakah pendapat tuan tentang seseorang yang berperang dengan tujuan mencari pahala dan kemasyhuran diri dan kelak apa yang akan dia peroleh?“ Kemudian Rasulullah SAW menjawab: “Dia tidak mendapatkan apa-apa!“ Pertanyaan yang sama diulang sebanyak tiga kali, namun jawapan Rasulullah SAW tetap sama: “Dia tidak menerima apa-apa!“ Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH tidak menerima sesuatu amalan kecuali yang ikhlas dan hanya mengharapkan reda daripada ALLAH.“ (Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa‘ie)

ii. Menepati syarak.

– Dalam konteks penjawat awam, amat diyakini bahawa semua pekerjaan yang wujud adalah selari dengan hukum syarak.

Bekerja dari rumah

FLEKSIBILITI pelaksanaan bekerja dari rumah perlu ada dengan meraikan tugasan lain di rumah seperti membantu anak-anak dalam pembelajaran termasuk mengurus rumah tangga.

– Wajib bagi setiap penjawat awam untuk memastikan pekerjaan dilaksanakan dengan penuh integriti dan beramanah.

–  Dalam konteks BDR, keberadaan di rumah adalah untuk melakukan tugasan yang telah ditetapkan. Tidak sewajarnya pada waktu bekerja, mereka melakukan pekerjaan yang lain sehingga mengabaikan tugas hakiki kerja.

– Melaksanakan BDR dengan amanah dan berintegriti bukanlah bermaksud terikat berterusan dari jam 8 pagi hingga 5 petang di meja kerja. Sebaliknya, fleksibiliti pelaksanaan BDR masih meraikan tugasan lain di rumah seperti membantu anak-anak dalam pembelajaran termasuk mengurus rumah tangga.

iii. Matlamat sesuatu pekerjaan.

– Ia mestilah untuk kebaikan seperti mencari nafkah keluarga dan memenuhi kelangsungan kehidupan.

– Sudah menjadi lumrah, terdapat pekerja yang kuat dalam ibadahnya, tetapi ketika melakukan pekerjaan, terdapat perlakuan yang boleh membatalkan nilai ibadah dalam pekerjaannya seperti melakukan maksiat, culas dalam menepati masa, bahkan ada yang terlibat dengan penyelewengan dan sebagainya.

– Kegagalan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab merupakan suatu pengkhianatan yang jelas bagi matlamat sesuatu pekerjaan, sepertimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan Rasul-NYA dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).“ (Surah al-Anfal, ayat 27)

Lazimnya, azam yang disulami dengan komitmen yang tinggi dalam menjaga amanah yang diberikan pastinya akan mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh.

Dedikasi dalam pekerjaan pula ditunjukkan dengan cara mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikiran untuk memperoleh hasil kerja yang terbaik dan berkualiti.

Hasilnya, seseorang itu akan dihormati dan dikenali sebagai pekerja Muslim dan Muslimah yang baik sekali gus menjadi contoh kepada masyarakat termasuk kepada orang bukan Islam.

Budaya bekerja seperti itulah yang dicintai oleh ALLAH SWT sebagaimana hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai apabila seseorang kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun.“ (Riwayat al-Baihaqi)

Sejarah juga telah membuktikan sifat amanah dan tanggungjawab yang dimiliki junjungan mulia Nabi Muhammad SAW telah menyebabkan baginda dinobatkan dengan gelaran al-Amin dalam masyarakat Arab.

Contoh tauladan yang baginda tunjukkan wajar dijadikan panduan kepada seluruh penjawat awam.

***Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor yang juga Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari di universiti sama

Foto: 123rf & Freepik