Browsing Tag

Institusi Raja

Institusi Raja
Isu, Pilihan Editor,

Kedaulatan Institusi Raja Dan Pemeliharaan Islam

no comment

Oleh MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

HISTORIOGRAFI Islam menampilkan Nabi Muhammad SAW merupakan seorang ketua negara di Madinah.

Kemudian, jawatan ketua negara Islam diterima secara ijmak sahabah (kesepakatan para sahabat) yang disandang oleh Khulafa’ al-Rasyidin bermula dengan Saidina Abu Bakr al-Siddiq RA, Saidina Umar al-Khattab RA, Saidina Uthman al-Affan RA dan Saidina Ali Ibn Abi Talib RA.

Ketua negara Islam menggunakan gelaran Amir al-Mukminin sewaktu pemerintahan Saidina Umar al-Khattab RA. Ketua negara Islam juga dikenali sebagai Khalifah, al-Imamah atau Imam ketika pemerintahan Bani Umayyah dan ‘Abasiyyah.

Ini menunjukkan ketua negara Islam memegang amanah sebagai pewaris khalifah Rasulullah SAW dan khalifah ALLAH dalam pemerintahan negara.

Ketua negara Islam juga memiliki autoriti tertinggi kerana ia menggalas tugas Rasulullah SAW  bagi  menegakkan syariat ALLAH SWT.

Ketua negara menurut sarjana Islam

Imam al-Juwaini dalam menjelaskan tentang al-Imamah, ia bermaksud kepemimpinan secara komprehensif meliputi hal ehwal yang khusus dan umum dalam menjaga kepentingan agama dan dunia.

Ibnu Khaldun juga menyatakan bahawa ketua negara merupakan tonggak dalam hal ehwal kehidupan keduniaan setiap lapisan masyarakat tanpa sebarang pengecualian berdasarkan akal rasional yang seiring dengan kehendak Islam.

Imam al-Mawardi pula menetapkan keberadaan pemimpin sebagai hukum wajib kifayah kerana ketetapan pemimpin akan meleraikan perselisihan.

Seterusnya Ibnu al-Taymiyyah berpendapat bahawa ketua negara merupakan kewajipan agama yang utama. Ketiadaan ketua negara akan menyebabkan banyak hal ehwal keduniaan dan kewajipan agama akan tergendala.

Oleh itu, ketua negara mempunyai mandat dalam mengatur hal ehwal duniawi dan ukhrawi berdasarkan tuntutan syariat Islam.

Institusi Raja di Malaysia

Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu mempengaruhi konsep pemerintahan beraja dalam alam Melayu. Konsep ini memposisikan darjat raja selaku dewa yang berkuasa mutlak terhadap masyarakat.

Selepas kedatangan Islam, alam Melayu melaksanakan pemerintahan Islam beraja yang dikenali dengan istilah sultan. Pemerintahan Islam beraja juga memakai panggilan khalifah seperti yang digunakan oleh Paduka Seri Sultan, ‘Ala al-Din’, Mansur al-Shah Iskandar khalifah al-Rahim.

Begitu juga menurut Raja Ali Haji bahawa penggunaan sebutan sebagai raja seperti berikut:

  1. Khalifah atau khalifah Rasulullah SAW yang bertanggungjawab mendirikan Islam dan menghukumkan hamba ALLAH (rakyat) dengan  hukum  al-Quran,  hadis  dan ijma‘;
  2. Sultan iaitu mengeraskan hukuman atas segala rakyatnya dengan hukuman yang adil yang datang daripada ALLAH dan rasul-NYA;
  3. Imam (alimamah) iaitu ikutan segala  rakyatnya  pada  segala  hukuman  dan  perintahnya  yang tiada membawa kufur dan maksiat.

Perkara di atas menunjukkan pemerintahan beraja dalam alam Melayu bertepatan dengan siyasah syar’iyyah dalam Islam. Oleh sebab itu dipertontonkan dalam alam Melayu yang masyhur sebagai pusat perdagangan dunia kerana melaksanakan undang-undang Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang 99.

Selain itu, sejarah memperlihatkan kedaulatan raja-raja Melayu memelihara adat istiadat dan undang-undang Islam daripada dibuang secara mutlak oleh imperialis terhadap Tanah Melayu.

Walhal pada era pasca merdeka, Tanah Melayu tetap melestarikan pemerintahan beraja. Pemerintahan beraja mengalami variasi yang harmonis dengan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai ketua negara di peringkat persekutuan yang mewakili institusi raja bagi memastikan kelancaran perjalanan pemerintahan negara yang merangkumi fungsi legislatif, eksekutif dan kehakiman. Dalam pada itu, kedudukan raja-raja lain tetap mempunyai kedaulatan dalam negeri masing-masing.

Institusi raja merupakan kesinambungan tradisi dan budaya masyarakat  melayu dan Islam yang memberikan identiti tersendiri di Malaysia.

Institusi raja juga berautoriti dalam mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam undang-undang. Di samping itu, unsur-unsur Islam menjadi identiti dalam upacara-upacara rasmi negara.

Institusi raja bukan setakat simbol, tetapi payung kepada bangsa dan negara. Kedaulatan institusi Raja yang diangkat tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan juga secara tidak langsung turut memelihara kedudukan Islam.

Islam dalam Perlembagaan Persekutuan

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan bahawa Islam ialah agama yang istimewa dalam kalangan majoriti masyarakat di Malaysia. Pertautan Islam dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dengan Perundangan dan pentadbiran Islam di bawah kuasa negeri yang diketuai institusi raja masing-masing.

Sekalipun perundangan Islam belum dilaksanakan sepenuhnya, namun beberapa sistem dalam Islam digunakan secara sukarela dalam kalangan masyarakat di Malaysia termasuk bukan Islam seperti sistem perbankan Islam. Hal ini membuktikan Islam adalah identiti yang signifikan dalam masyarakat dan negara di Malaysia.

Institusi Raja sebagai simbol perpaduan

Institusi raja juga berperanan dalam pemeliharaan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, ia menunjukkan Islam membentuk perpaduan masyarakat berdasarkan asas akidah yang sahih, nilai keadilan, sikap saling tolong-menolong atas dasar kebaikan dan ketakwaan serta menjauhi sikap permusuhan demi kemanusiaan sejagat.

Di samping itu, perpaduan dibangunkan bersama masyarakat bukan Islam yang menyerahkan taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol ketua agama Islam.

Perkara yang demikian adalah kerana melalui Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberitahu bahawa jaminan masyarakat bukan Islam daripada penindasan keagamaan atau perkauman.

Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 153 juga memberitahu bahawa institusi Raja berperanan menjaga kedudukan masyarakat Islam tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan masyarakat bukan Islam.

Peruntukan-peruntukan seperti ini jelas menyatakan, institusi Raja berperanan sebagai payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. 

Penutup

Secara keseluruhannya, Yang di-Pertuan Agong bersama institusi Raja yang menjalankan kuasa prerogatif untuk memperkenankan semua hal ehwal Islam di Malaysia. Institusi Raja merupakan lambang kekuasaan negara dan menjadi tumpuan kesetiaan rakyat dan perpaduan negara.

Oleh itu, memberikan taat dan setia kepada institusi Raja dalam perkara makruf merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim.

Begitu juga memelihara Islam yang menjadi lambang kepada penghormatan terhadap institusi Raja.

Sementelahan pula sebagai masyarakat Islam yang mewakili warganegara Malaysia, mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan pemeliharaan Islam menjadi kewajipan dan tuntutan di sisi syariat.

Foto: Bernama & itc.gov.my