Browsing Tag

institusi kewangan Islam

Tadbir urus syariah
Muamalah,

Ini Kaedah Pelaksanaan Tadbir Urus Syariah Dalam Institusi Kewangan Islam Yang Ramai Tidak Tahu

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

KITA sewajarnya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana menjadi warganegara Malaysia. Antara nikmatnya adalah keprihatinan kerajaan Malaysia dalam memajukan kewangan Islam.

Dalam konteks negara, tonggak utama dalam memajukan kewangan Islam datangnya daripada pihak pengawal selia yang terdiri daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

BNM merupakan badan pengawal selia kepada sektor perbankan Islam dan takaful, manakala SSM melibatkan sektor pasaran modal Islam. Pihak pengawal selia bertanggungjawab menentukan kewangan Islam di Malaysia terus maju dan berdaya saing, malah turut memastikan kepatuhan syariah itu berlaku dari mula sampai akhir (end-to-end syariah compliant).

Peranan institusi tersebut adalah dengan mengemas kini dan menambahbaik rangka kerja tadbir urus syariah yang dikuatkuasakan ke atas institusi kewangan Islam (IKI) di bawah kawal selianya.

Pada tahun 2019, BNM telah menerbitkan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah (DPTUS) yang lebih komprehensif dan mantap. Dalam DPTUS itu, antara lain dinyatakan kebertanggungjawaban pihak lembaga pengarah terhadap kepatuhan syariah di IKI masing-masing.

Selain penekanan diberikan kepada tugas dan tanggungjawab lembaga pengarah, DPTUS telah memperincikan lagi tugas dan tanggungjawab jawatankuasa syariah yang menjadi tulang belakang kepada IKI dalam aspek kepatuhan syariah.

Antara tugas dan tanggungjawab jawatankuasa tersebut adalah mampu memberi masa yang secukupnya untuk membuat persiapan menghadiri mesyuarat. Ia sebagaimana yang disebut dalam DPTUS: “S 10.11 Ahli jawatankuasa syariah mesti menumpukan masa yang secukupnya untuk persiapan menghadiri mesyuarat jawatankuasa syariah.”

Penekanan kepada persediaan yang mencukupi sebelum menghadiri mesyuarat dibuat kerana jawatankuasa syariah perlu mengeluarkan pandangannya terhadap isu-isu syariah yang dikemukakan oleh pihak IKI yang mana dirinya dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Tanpa persediaan yang mencukupi, tentu sekali ahli jawatankuasa syariah berkenaan tidak mampu membincangkan isu berkaitan dengan baik dan seterusnya membantu IKI dalam mencari penyelesaian yang sesuai terhadap persoalan yang dikemukakan.

Ketidakmampuan untuk memberikan tumpuan masa yang secukupnya terutama dalam membaca bahan-bahan mesyuarat sebelum menghadirinya mungkin boleh berlaku jika seseorang ahli jawatankuasa tersebut mempunyai terlalu banyak komitmen dan tidak mampu mengurus masa dengan baik.

Baca juga Penting Tadbir Urus Yang Baik Lebih-Lebih Lagi Jika Melibatkan Dana Awam

Ada kemungkinan kesibukannya itu boleh mendorongnya untuk meminta pertolongan daripada orang lain membaca bahan-bahan mesyuarat dan membuat ringkasan kepadanya.

Tadbir urus syariah

SEBAGAI ahli jawatankuasa syariah, antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan adalah membuat persiapan menghadiri mesyuarat dan mengemukakan pandangan mereka tentang masalah berkaitan.

Tindakan sebegitu sebenarnya adalah tidak wajar sama sekali. Ini kerana ia telah melanggar salah satu tugas dan tanggungjawabnya iaitu memberikan masa khusus yang mencukupi untuk membuat persediaan sebelum menghadiri mesyuarat.

Malah, tindakan mendedahkan bahan mesyuarat kepada orang lain adalah bertentangan dengan prinsip kerahsiaan.

Dalam DPTUS, perenggan S 11.5 menyatakan: “IKI mesti memastikan bahawa kehadiran anggota dalam mesyuarat jawatankuasa syariah, dengan cara selain daripada kehadiran fizikal, tetap menjadi pengecualian dan bukan norma dan tertakluk kepada perlindungan yang sesuai untuk menjaga kerahsiaan perbincangan.“

Dalam perenggan S 11.5 itu ada menyebut tentang penjagaan kerahsiaan perbincangan. Ini bermakna, apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan kandungan mesyuarat termasuk bahan-bahan yang disediakan oleh pihak IKI adalah satu rahsia.

Oleh itu, apa yang terkandung dalam bahan-bahan mesyuarat adalah terhad kepada ahli mesyuarat sahaja dan tidak boleh didedahkan kepada orang lain, melainkan dengan kebenaran pihak IKI berkenaan sahaja. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash