Browsing Tag

inspirasi

butik fesyen
Antarabangsa,

Gaza disekat bukan penghalang bagi pereka fesyen Palestin ini

DI tengah-tengah pusat bandar Gaza, ada sebuah bangunan dua tingkat mewah dengan nama ‘Nemo Design’ terpampang di atasnya.

Selain syarikat itu, ada beberapa lagi butik fesyen yang melata di kota tersebut. Namun, Nemo Design agak istimewa kerana ia adalah kedai pertama yang mempunyai pemilik wanita.

Butik pakaian itu baru sahaja ditubuhkan oleh Nirmeen Hourani awal tahun ini. Kisahnya bermula apabila Nirmeen memutuskan untuk menceburi bidang fesyen selepas berjaya meraih sebuah geran sebanyak $2,000 (RM 8,900) daripada Institusi Perancis, mengalahkan lebih 40 peserta yang lain.

Dengan hasil kemenangan geran tersebut, Nirmeen membeli sebuah mesin jahit di rumah.

butik fesyen

PERJALANAN Nirmeen Hourani dalam bidang fesyen bermula dari bawah dengan hanya berbekalkan sebuah mesin jahit di rumah.

“Saya mula membuat pakaian dan menjualnya di Instagram. Saya terkejut dengan banyaknya jumlah tempahan yang saya terima. Waktu itu, saya yakin bahawa projek saya akan berjaya dan berkembang,” katanya kepada agensi berita, Middle East Eye.

Walaupun dia bukan satu-satunya pereka fesyen di Gaza, nama Nirmeen dikenali atas hasil karyanya yang unik serta kebolehan menyiapkan baju tempahan khas. Pereka fesyen itu lebih gemar menghasilkan pakaian rekaan sendiri berbanding menggunakan corak yang sedia ada.

Baca juga Pakar ortopedik bantu haiwan terjejas akibat perang di Gaza

“Sejak hari pertama saya menyertai kolej fesyen, saya sudah bertekad mahu membawa perubahan dalam dunia fesyen di Gaza dan bukan sekadar menjadi seorang tukang jahit semata-mata,” tambahnya.

Setelah membuka sebuah butik kecil pada tahun 2017, Nirmeen mula mendapat pelanggan tetap. Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada wanita dari kelas pertengahan yang suka memakai rekaan unik serta banyak bereksperimen dengan gaya.

Setahun selepas pembukaan, beliau berjaya memindahkan kedainya ke bahagian bandar yang lebih mewah sebelum melancarkan butik fesyen yang ada sekarang pada Januari tahun ini.

butik fesyen

TENAGA dan usaha keras dicurahkan ke setiap pakaian yang dihasilkan oleh Nirmeen.

Bagi Nirmeen, saat membanggakan apabila beliau berjaya membangunkan kedai butik tersebut dengan usahanya sendiri. “Saya menggunakan hasil keuntungan daripada butik sebelumnya untuk membuka kedai sekarang yang lebih besar tanpa sebarang bantuan kewangan daripada sesiapa,” katanya. “Saya gembira melihat perniagaan saya berkembang secara semulajadi.”

Setiap pakaian yang dihasilkan memerlukan banyak kemahiran. Terlebih dahulu, Nirmeen akan berjumpa dengan pelanggan bagi mengetahui kehendak mereka. Pada masa sama, beliau juga melakarkan beberapa reka bentuk untuk dipilih oleh pelanggan.

Baca juga Model Di Sebalik Kempen ‘Hands Off My Hijab’ Dilantik Editor Vogue-Scandinavia

Selain menjual pakaian yang siap dijahit, Nirmeen juga menerima tempahan khas.

Pun begitu, perjalanan Nirmeen dalam dunia fesyen tidak selalunya mudah. Sekatan yang dikenakan Israel ke atas pelbagai industri di Gaza sejak 15 tahun lalu telah melumpuhkan ekonomi tempatan dan memberi kesan besar kepada golongan usahawan dan pereka di sana.

butik fesyen

REJIM Israel mengenakan pelbagai sekatan ke atas Semenanjung Gaza yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat Palestin di sana.

Sekatan ke atas Gaza bermula pada tahun 2007 selepas Hamas memenangi pilihan raya parlimen. Setahun kemudian, pertempuran antara pihak Hamas dan Fatah berlaku, menyebabkan Hamas menggulingkan tentera Fatah ke Tebing Barat, dan mengambil alih Semenanjung Gaza.

Baca juga Kesihatan mental kanak-kanak di Gaza merosot akibat 15 tahun ‘dikepung’

Sejak itu, Israel dan pihak antarabangsa telah mengepung dua juta rakyat Palestin di wilayah tersebut. Pada tahun yang sama, Israel juga menyerang loji elektrik utama di Gaza, menyebabkan krisis bekalan elektrik sehingga kini.

Menurut Bank Dunia, kadar pengangguran di Gaza adalah kira-kira 50 peratus dan lebih separuh daripada penduduknya hidup dalam kemiskinan.

Seperti kebanyakan penduduk Gaza yang lain, Nirmeen juga terkesan dengan sekatan terbabit. Menurutnya, beliau perlu membayar jumlah wang yang banyak untuk mengekalkan perniagaannya menerusi penjana elektrik.

butik fesyen

PAKAIAN yang dihasilkan oleh Nirmeen terutamanya terkenal dalam kalangan wanita kelas pertengahan yang tertarik dengan rekaan uniknya.

Walau bagaimanapun, Nirmeen kekal tekad dan percaya bahawa masih ada ruang dalam industri fesyen di sana untuk menerima ideanya.

Selain itu, Nirmeen berharap dapat mengembangkan jenamanya dengan lebih jauh. Beliau kadangkala ke Turki dan cuba menjual rekaannya kepada penduduk tempatan dan wanita Palestin yang tinggal di sana di samping mencari jenis fabrik baharu.

Dalam masa sama, beliau juga aktif dalam usaha memperkasakan wanita. Nirmeensering melawat sekolah-sekolah di Gaza untuk mendidik orang ramai tentang industri tersebut. Malah, kesemua enam kakitangan serta 10 pelatih industri yang sedang bekerja di butiknya adalah wanita.

Baca juga Balerina Simbol Kekuatan Wanita Islam Gaza

Hadeel Shehab, salah seorang bekas pelajar Nirmeen, yang kini bekerja sebagai pelatih di butik itu, berkata Hourani banyak membantu dalam menambah baik reka bentuknya.

“Nirmeen membuatkan saya berani memilih warna terang dan fabrik baharu yang biasanya saya jarang menggunakan. Saya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan.” katanya.

butik fesyen

NIRMEEN mengharapkan lebih ramai wanita Palestin yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

Ujar Nirmeen, beliau ingin melihat lebih ramai wanita berjaya dalam industri fesyen selain berasa gembira dapat berkongsikan pengetahuannya.

“Saya rasa pasaran di Gaza cukup besar untuk menampung semua bakat yang ada. Saya gembira jika lebih ramai wanita di sekeliling saya membuka perniagaan mereka sendiri dan mempunyai sumber pendapatan masing-masing.

“Saya juga akan pastikan hasil karya saya dapat tersebar hingga ke luar sempadan Gaza,” katanya.

Sumber & Foto: Middle East Eye & Unsplash