Browsing Tag

Infak al-Quran

Infak al-Quran
Berita Semasa,

Ayuh Bersama WUIF Infak Al-Quran Untuk Mangsa Banjir

Oleh FOUZIAH AMIR 

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF ) menyediakan 21,000 naskhah al-Quran infak bernilai RM1 juta melalui Tabung Gerakan al-Quran bagi membantu mangsa banjir di bawah program Cuci, Pulih, Iqra’ 2.0.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata, pihak WUIF berharap al-Quran yang tenggelam akibat banjir segera digantikan dengan al-Quran baharu berserta terjemahan.

“Sumbangan al-Quran tersebut diharapkan menjadi panduan dan sumber kekuatan rohani bagi setiap keluarga terutama dalam kalangan mereka yang menghadapi ujian banjir.

“Bagaimanapun, memandangkan agihan kali ini melibatkan beberapa negeri yang dilanda banjir, WUIF menjangkakan jumlah yang ada belum mencukupi.

“WUIF menyeru lebih ramai yang tampil bersama menginfakkan al-Quran ke rumah, sekolah tahfiz, surau dan masjid untuk mencapai sasaran sebanyak 50,000 naskhah bagi seluruh lokasi yang terjejas,” katanya.

MARHAINI

 

Beliau menambah, WUIF menawarkan tiga bantuan serta kerjasama bagi setiap lokasi terbabit iaitu:

  1. Aktifkan Rumah Ngaji di lokasi tumpuan seperti surau atau masjid di bawah projek wakaf.
  2. Agihan al-Quran Infak: 1 Rumah 1 al-Quran di bawah projek infak.
  3. Sesi #QuranHour bersama penduduk di lokasi terbabit.

Pihak WUIF juga mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan untuk menyelaraskan pengedaran al-Quran tersebut selagi stok infak masih ada. 

Sumbangan al-Quran itu disertakan dengan ajakan untuk bersama mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal anjuran WUIF seperti program harian My #QuranTime di TV Alhijrah. Selain itu, program mingguan dan bulanan secara dalam talian di Facebook Quran Hour juga diadakan.

Sempena tahun baru 2022, WUIF akan melancarkan Misi Surah as-Sajdah, untuk terus melahirkan masyarakat yang menjadikan al-Quran sebagai solusi dalam kehidupan.

Program Cuci, Pulih, Iqra’ 1.0 (Surah al-Balad) dijalankan ketika bah kuning di Kelantan pada 2014 dengan sumbangan RM1 juta al-Quran daripada Kumpulan Karangkraf.

Orang ramai boleh membuat permohonan infak al-Quran anjuran WUIF di https://bit.ly/BorangInfakAlQuran.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan infak al-Quran, boleh salurkan kepada Warisan Ummah Ikhlas Foundation dengan rujukan ‘Misi Banjir’ di akaun Maybank Islamic 564276516031.