Browsing Tag

india

masjid india tenggelam
Antarabangsa,

Masjid di India muncul selepas ditenggelami air selama 30 tahun.

SEBUAH masjid di India mencuri perhatian orang ramai apabila bangunan itu muncul semula setelah ditenggelami air, tiga dekad lalu.

Menurut laporan Kashmir Media Service, masjid tersebut yang dikenali sebagai Masjid Noori timbul di dasar Empangan Phulwaria, Bihar berikutan air takungan yang menyusut disebabkan kemarau.

Masjid setinggi 30 kaki berkenaan ditenggelamkan oleh Empangan Phulwaria pada tahun 1985.

Baca juga 6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

masjid india

ADA lebih 3,000 ribu masjid yang aktif di India.

Terdahulu, hanya sebahagian kecil daripada kubah masjid kelihatan setiap kali air mengering menyebabkan warga tempatan tertanya-tanya seni bina yang wujud di bahagian dasar empangan.

Oleh itu, kawasan tersebut kini dipenuhi orang ramai yang tertarik untuk melihat Masjid Noori walaupun perlu meredah lumpur yang ada sekitar bangunan lama itu.

Menariknya, struktur masjid berada dalam keadaan elok dan masih berdiri teguh meskipun sudah dibanjiri air selama bertahun-tahun.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

masjid india

INDIA adalah negara ketiga dengan jumlah populasi Muslim terbanyak, iaitu sebanyak 200 juta orang.

Tulis portal itu lagi, masjid India tersebut dipercayai sudah wujud seawal abad ke-20 dan berusia sekitar 120 tahun. Kesimpulan dibuat berdasarkan reka bentuk kubah masjid yang jauh lebih baik daripada kubah lain yang ada pada zaman Mughal.

Ketika Empangan Phulwaria dibina pada tahun 1979, masjid Noori dibiarkan begitu sahaja sehingga bangunan itu akhirnya ditenggelami air takungan empangan.

Foto dan Sumber : Kashmir Media Service, Muslim Mirror, Pexels & Unsplash

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam
Antarabangsa,

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya…

MASJID boleh hadir dalam pelbagai rupa, daripada sebuah bilik kecil di suatu bangunan hinggalah sebuah binaan besar dengan reka bentuk kompleks. Ini kerana al-Quran tidak pernah menggariskan rupa bentuk yang khusus bagi sesebuah masjid.

Mengikut sejarah, masyarakat Islam terdahulu biasanya mengadakan solat berjemaah dengan berkumpul secara rahsia di rumah masing-masing. Namun, semakin Islam berkembang, keperluan ahli komunitinya juga berubah.

Kebanyakan masjid terawal dibina hanya mempunyai reka bentuk yang ringkas. Bahkan, ia tidak memiliki sebarang kubah atau menara sebagaimana yang ada pada masjid-masjid sekarang. Sebagai tanda masuknya waktu solat, muazzin akan berdiri melaungkan azan di atas bumbung masjid yang rata.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Kini, di seluruh dunia, masjid telah dibina menggunakan pelbagai reka bentuk tradisional dan unik bagi mencerminkan budaya masyarakat tempatan.

Portal agensi berita, Middle East Eye menyenaraikan enam masjid dari pelosok dunia berbeza yang memperlihatkan warisan unik komuniti Islam di sana.

1. Masjid Raya Sumatera Barat, Indonesia

Islam mula tersebar secara beransur-ansur di Indonesia bermula abad ke-12 melalui pedagang Arab.

Masjid Raya Sumatera Barat di Indonesia yang dibina oleh arkitek tempatan, Rizal Muslimin tidak mempunyai kubah atau menara. Sebaliknya, ia memiliki bumbung dengan struktur lengkung yang dikenali sebagai minang.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian islam

PEREKA Masjid Besar Sumatera Barat berkata beliau mendapat inspirasi kain yang dipegang oleh kaum Quraisy ketika ingin meletakkan Hajar Aswad ke Kaabah (Creative Commons)

Rumah ibadah berkenaan mula dibuka pada tahun 2014 dan mampu memuatkan hampir 20,000 jemaah sepanjang tiga tingkat.

Kata Muslimin, beliau mendapat inspirasi menerusi penyelesaian kepada pertikaian yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Dalam peristiwa itu, berlaku pergaduhan antara puak Quraisy ketika ingin menempatkan Hajar Aswad pada Kaabah. Lalu, baginda meletakkan batu hitam tersebut di atas kain sambil bahagian sudut kain dipegang oleh seorang wakil daripada setiap puak. Dengan ini, masing-masing berpeluang meletakkan Hajar Aswad ke kiblat umat Islam itu.

Dengan gabungan ukiran minang tradisional dan kaligrafi Islam menghiasi dinding luar masjid, struktur megah itu menjadi tumpuan utama daerah Padang di Sumatera.

Baca juga ALLAH sangat mencintai masjid dan membenci pasar

2. Masjid Sepanyol, India
Dikenali sebagai Masjid Iqbal Ud Daula dalam masyarakat setempat, masjid ini terletak di bandar Hyderabad, India.

Masjid Sepanyol mula dibina sekitar tahun 1900 di bawah arahan Iqbal Ud Daula yang merupakan anak kepada pemerintah pada waktu itu.

Daula yang baru sahaja pulang ke India selepas menghabiskan masa di Sepanyol dikatakan mendapat inspirasi daripada seni bina negara Eropah berkenaan.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Sepanyol di Hyderabad mempunyai ciri-ciri reka bentuk Sepanyol disebabkan pemerintah pada waktu itu yang meminati budaya berkenaan (Sriharsha/Creative Commons)

Dari segi reka bentuk masjid, bangunan itu mempunyai hujung menara yang tajam bermodelkan gereja-gereja di semenanjung Iberia. Selain ruang solat utama, terdapat juga dua bilik di kedua-dua sisi masjid yang disambungkan melalui tingkap gaya Perancis.

Walaupun tidak mempunyai kawasan untuk berwuduk, Masjid Sepanyol kekal sebagai tempat ibadat yang aktif bagi masyarakat Islam Secunderabad serta mampu memuatkan 3000 jemaah dalam satu masa.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

3. Masjid Sancaklar, Turkiye
Turkiye sememangnya terkenal dengan masjid-masjid besar zaman Uthmaniyyah. Namun, Masjid Sancaklar sedikit berbeza kerana ia bukan sahaja dilihat sebati, bahkan hampir tersembunyi di sebalik topografi tanah di sekelilingnya.

Pemenang Bangunan Keagamaan Terbaik di Festival Seni Bina Dunia pada 2013 itu bertempat dalam sebuah kejiranan di pinggir Istanbul, Buyukcekmece.

Kata Emre Arolat merangkap arkitek di sebalik masjid unik berkenaan, bangunan itu sengaja dibina dengan gaya ringkas menyerupai sebuah gua untuk mewujudkan hubungan mendalam bersama TUHAN.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MENURUT pereka Masjid Sancaklar di Turkiye, bangunan tersebut dibina sedemikian sebagai suatu dunia tersendiri yang mengasingkan pengunjung daripada ikatan duniawi (Creative Commons)

Dari jauh, satu bongkahan batu mewakili menara masjid menjadi mercu tanda Masjid Sancaklar. Selebihnya adalah ruang solat yang dibina bersama lereng bukit. Beberapa celahan juga diukir pada dinding kiblat untuk membolehkan sedikit cahaya masuk dari arah Kaabah.

Untuk sampai ke masjid, jemaah perlu berjalan di sepanjang anak tangga menuruni bukit. Setibanya di halaman masjid, ada sebuah kedai teh, ruang berkumpul serta perpustakaan untuk kegunaan jemaah.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

4. Masjid Kruszyniany, Poland
Masjid kayu ringkas berwarna hijau ini boleh ditemui di perkampungan Kruszyniany berhampiran sempadan Belarus.

Dari sudut bentuk luarannya, masjid berkenaan dipengaruhi budaya tempatan dan menyerupai gereja-gereja kayu berhampiran. Bangunan segi empat tepat itu juga diperbuat daripada kayu pain, selain dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran pada sebelah dalam masjid.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

SATU plak batu di kawasan masuk masjid bahagian Muslimat menyatakan bahawa Masjid Kruszyniany di Poland pernah diubah suai pada tahun 1846 (Creative Commons)

Sementara itu, Masjid Kruszyniany merupakan salah satu daripada tiga masjid yang masih aktif di Poland.

Ia dikenali oleh masyarakat seawal tahun 1717 namun tiada siapa tahu tarikh sebenar masjid tersebut dibina. Plak batu yang ada di pintu masuk masjid bahagian Muslimat pula menyatakan bangunan itu pernah diubah suai pada tahun 1846.

Di Poland, 0.1 peratus daripada penduduknya beragama Islam. Dianggarkan terdapat 3,000 orang Tatar Islam termasuk 30,000 Muslim lain yang telah berhijrah dari tempat atau memeluk agama Islam di negara itu.

Baca juga Dua buku mengenai Hagia Sophia dikeluarkan Turkiye sempena ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu

5. Masjid Besar Djenné, Mali
Masjid Besar Djenné mula dibina pada abad ke-13 oleh Raja Koy Konboro, pemerintah Islam pertama di bandar itu. Khabarnya, Konboro sanggup merobohkan istananya untuk membina masjid di situ bagi menunjukkan ketaatannya kepada Islam.

Yang menariknya, masjid berkenaan adalah bangunan bata lumpur terbesar di dunia. Ia juga diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 1988.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

KAWASAN Masjid Djenné di Mali sering dinaiki air ketika musim hujan, menyebabkan bangunan itu perlu diperkukuh dengan tanah lumpur baru setiap tahun (Creative Commons)

Selain dipengaruhi seni bina tradisional Sudano-Sahel, Masjid Besar Djenné mempunyai ketinggian hampir 20 meter dan dibina di atas platform sepanjang 91 meter. Ini kerana masjid itu berhampiran Sungai Niger menyebabkan ia sering dinaiki air ketika musim hujan dan strukturnya perlu ditampal semula setiap tahun.

Di samping itu, terdapat sembilan puluh tiang kayu yang menyokong bumbung dan dinding masjid. Ruang solat masjid pula boleh memuatkan seramai 3 ribu jemaah.

Islam mula tersebar di Afrika Barat pada abad ke-19 oleh pedagang Berber dan Tuareg Muslim. Kini, 90 peratus rakyat Mali beragama Islam.

Baca juga Masjid Raya Baiturrahman Terus Gagah Menentang Badai

6. Masjid Niujie, China
Dibina pada 996, Masjid Niujie adalah masjid tertua di Beijing. Ia pernah diroboh dan kemudian dibina semula beberapa kali merentasi dinasti berbeza. Masjid itu perluaskan pada tahun 1696 di bawah dinasti Qing.

Walaupun bahagian luar masjid tersebut memiliki seni bina istana kayu tradisional Cina, namun ruang dalamnya dihiasi dengan kaligrafi al-Quran serta panel kayu merah Cina, memperlihatkan pengaruh Islam dan Cina Han.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Niujie mendapat namanya sempena kawasan masjid yang berhampiran dengan penjual-penjual daging di daerah Xuanwu, Beijing.

Ciri paling unik dalam Masjid Niujie adalah Menara ‘Watching Moon’ setinggi 10 meter, berbentuk heksagon serta mempunyai bumbung emas. Menara ini pernah digunakan oleh imam masjid untuk melihat bulan bagi menentukan bulan-bulan Islam termasuk permulaan Ramadan.

Di China, Islam disebarkan melalui pedagang Arab dan Parsi. 90 peratus penduduk Islam di negara berkenaan terdiri daripada etnik Hui dan Uyghur.

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

Foto dan Sumber: Middle East Eye

Untitled design (38)
Antarabangsa, Berita Semasa,

Tanpa notis dan amaran, rumah penduduk Muslim dirobohkan

TULAR satu video mengenai beberapa rumah penduduk Muslim dirobohkan pihak berkuasa tanpa sebarang notis yang didakwa terlibat dalam protes membantah tindakan biadab anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina nabi Muhammad SAW.

Bunyi jentolak yang mengemparkan hujung minggu lalu, mengejutkan penduduk setempat apabila sebuah rumah aktivis Islam, Javed Ahmad Shah, dirobohkan susulan demonstrasi yang meletus baru-baru ini.

Kejadian berlaku di Prayagraj, Uttar Pradesh apabila orang ramai berkumpul untuk menyaksikannya. Tanpa sebarang notis dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa India, rumah itu dihancurkan sekelip mata dengan alasan ia dibina secara haram.

Menurut penduduk sekitar, Imamudin Alam, 48, “saya bimbang tentang kedai runcit saya yang berhampiran. Tiada apa-apa selain runtuhan yang tinggal. Ini adalah corak baru sekarang. pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) memprovokasi kami, menangkap kami apabila kami bertindak balas dan kemudian menceroboh rumah kami.”

Memetik laporan IQNA (International Quran News Agency), Pembongkaran itu berlaku hanya sehari selepas dua lagi rumah aktivis Islam dirobohkan di daerah Kanpur dan Saharanpur. Pihak berkuasa India biasanya bertindak balas terhadap sebarang bantahan masyarakat Islam dengan memusnahkan harta benda mereka.

AFREENA Fatima (kiri) bersama bapanya, Javed Ahmad Shah (tengah) didakwa terlibat dalam bantahan di Prayagraj Uttar Pradesh.

Protes tercetus di beberapa bandar di seluruh India termasuk Ranchi, Howrah, Kanpur dan Saharanpur selepas solat Jumaat minggu lalu. Ada yang bertukar menjadi ganas, dengan penunjuk perasaan membakar kedai dan kenderaan serta bertempur dengan polis.

Bantahan demonstrasi yang dilakukan oleh umat Islam India bermula apabila jurucakap BJP Nupur Sharma membuat komen menghina nabi Muhammad SAW di dalam sebuah perbahasan televisyen.

Pergolakan itu menyebabkan dua maut di Ranchi, ratusan cedera dan beberapa ratus lagi ditahan. Ketua menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, mengarahkan pegawai untuk merobohkan bangunan dan rumah yang terlibat dalam protes itu.

Baca juga Hina Nabi Muhammad cetus kemarahan umat Islam

Sehingga kini, BJP menggantung Sharma dan memecat seorang lagi anggota kanan kerana kenyataan itu manakala pihak kerajaan India menutup sebarang komen yang muncul untuk mengelakkan sebarang provokasi.

Kemarahan di kalangan 200 juta umat Islam India terus membara terhadap apa yang dilakukan oleh pimpinan BJP dan dilihat sebagai provokasi yang terbaharu untuk menghancurkan Islam.

Sejak dua tahun yang lalu, terdapat peningkatan dalam ancaman keganasan kepada umat Islam di India oleh pegawai BJP dan Kumpulan ekstremis Hindu yang melibatkan isu seperti ibadat umat Islam, hijab kaum wanita dan status masjid-masjid yang dibina.

Perdana menteri India, Modi dan pimpinan tertinggi BJP berdiam diri mengenai provokasi itu, manakala parti pembangkang yang lain berhati-hati untuk menentang majoriti Hindu dan memilih untuk tidak campur tangan akan isu tersebut.

KETUA Pelajar Islam dan Setiausaha Kebangsaan Pergerakan Persaudaraan, Aysha Renna mengalami kecederaan akibat hijabnya ditarik oleh seorang anggota polis India ketika mengetuai tunjuk perasaan di Kerala, India pada 13 Jun 2022 sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan merobohkan kediaman aktivis Islam, Afreen Fatima di New Delhi.

Dr Taslim Rahmani, presiden Majlis Politik Muslim India berkata “Kami perlu meluahkan rasa sakit hati kami apabila diserang secara sewenang-wenangnya. Tetapi ia mesti demokratik dan aman supaya kita tidak mencetuskan tindak balas atau merosakkan imej kita. Keganasan akan melemahkan kes kami”.

Isu yang tercetus ini turut mendapat perhatian daripada Lembaga undang-undang Peribadi Muslim seluruh India dan mengigatkan umat Islam untuk mengelakkan perdebatan di saluran televisyen yang berunsur anti-Muslim.

“Jangan sertai debat televisyen yang berniat semata-mata untuk mempermainkan dan menghina Islam. Jika kita memboikot program sebegini mereka akan gagal dalam mencapai hasil yang diinginkan,” kata jurucakap Presiden National India, Dr SQR Ilyas.

Kejadian merobohkan beberapa rumah penduduk Muslim perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab agar penindasan ini dapat dihentikan.

Antarabangsa, Berita Semasa,

Manisnya Ramadan di Asia Selatan

KETIBAAN Ramadan sesungguhnya membawa sejuta kemanisan. Kadangkala, kemanisan itu boleh dipegang dan dirasai dengan lidah.

Di Asia Selatan, ruang masjid dan pejalan kaki di bazar-bazar Ramadan dipenuhi orang ramai pada waktu petang yang tertarik dengan haruman manisan tempatan dan longokan pinggan yang ditimbuni pelbagai jenis nasi.

Lebih daripada setengah billion umat Islam di sana sudah tidak sabar untuk berbuka puasa.

PASAR Chawkbazar di Bangladesh dipenuhi umat Islam yang mencari juadah berbuka puasa.

Sememangnya tujuan berpuasa pada bulan suci Ramadan ini adalah untuk menahan diri daripada nafsu-nafsu duniawi seperti makan minum untuk meningkat ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Namun begitu, tradisi berbuka puasa bagi umat Islam Asia Selatan bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu makan yang ditahan sepanjang siang, bahkan ia juga menjadi aktiviti sosial bertujuan mengeratkan silaturahim sesama keluarga.

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Pasar Chawkbazar di Bangladesh yang berabad-abad usianya menjadi tempat tumpuan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Pasar itu sarat dengan ratusan gerai makan yang menjual pelbagai makanan tradisional.

Seperti yang dilaporkan oleh Arab News, pasar itu kembali sibuk setelah menyepi seketika akibat penularan Covid-19 yang menghalang perjumpaan besar-besaran.

Ramzan Ali yang telah menjual puyuh barbeku hampir empat dekad di pasar berkenaan berkata dia gembira melihat ramai pengunjung di pasar itu. Pengalaman semenjak dua tahun lalu, baginya, sangat memeritkan.

WARGA Bangladesh sedang membeli kuih-muih tradisional di pasar Chawkbazar untuk berbuka puasa.

Makanan tradisional seperti cucur pakora dan sup lentil antara makanan yang boleh dibeli di pasar tersebut.

“Gembira rasanya dapat datang semula ke sini. Tidak lengkap Ramadan saya tanpa juadah berbuka puasa dari Chawkbazar,” ujar Mohammad Asrafuddin, seorang ahli perniagaan,.

MAKANAN disediakan untuk para Muslimin berbuka puasa pada hari pertama Ramadan yang lalu di Lahore, Pakistan.

Di Pakistan pula, umat Islam berpeluang untuk kembali berbuka puasa beramai-ramai apabila pihak kerajaan menarik balik sekatan terhadap perhimpunan awam beberapa minggu sebelumnya.

Kebanyakan masjid dihiasi dengan lampu-lampu manakala kawasan bazar pula sibuk dengan orang ramai yang singgah untuk membeli juadah berbuka puasa atau diagihkan kepada golongan miskin.

Antara sajian iftar yang digemari umat Islam di sana termasuk samosa, pakora, kebab shami dan salad buah-buahan.

PINGGAN-PINGGAN berisi sajian berbuka puasa disusun untuk orang Islam yang berada di Masjid Jama, India.

Dalam masa yang sama, orang ramai berpusu-pusu ke gerai-gerai makan sekitar Masjid Jama di New Delhi, India. Di sana, puasa kadangkala dibuka dengan buah-buahan, roti manis, bubur lambuk dan nasi briyani.

Aktiviti berbuka puasa di Afghanistan pula dilihat lebih tenang berikutan isu Taliban yang mengambil tampuk pemerintahan daripada pihak Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Juadah berbuka puasa paling terkenal antara umat Islam di negara berkenaan adalah kabuli pulao iaitu hidangan nasi bercampur buah-buahan kering, kismis dan safron serta jalebi, sejenis manisan bergoreng.

KELIHATAN orang ramai yang sedang membeli makanan pada 2 April yang lalu di Kabul, Afghanistan.

Meskipun kelihatan meriah, ramai yang terpaksa berjimat-cermat dalam pembelian pada Ramadan kali ini disebabkan kekurangan bahan mentah di kebanyakan negara.

Tempias perang Ukraine yang sedang berlaku juga menyebabkan kenaikan harga barangan di beberapa negara termasuk Bangladesh.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: New Straits Times & Arab News

Algulf
Jendela Dunia,

Taliban Larang Siar IPL di Afghanistan Kerana Kandungan Anti-Islam

PEMINAT sukan kriket antarabangsa khususnya warga di Afghanistan, tidak lagi akan dapat menonton Liga Perdana India (IPL) yang kembali bersambung tahun ini kerana mendapat tentangan oleh pemerintahan Taliban.

Mereka antara pemain kriket kelahiran Afghanistan yang bermain dalam Liga Perdana India. Gambar: Sportslightmedia

IPL 2021 yang diadakan di Emirah Arab Bersatu (UAE) dan turut disertai beberapa pemain handalan dari Afghanistan seperti Rashid Khan, Mohammad Nabi dan Mujeeb ur Rahman tidak akan disiarkan secara langsung di negara itu kerana Taliban mendakwa penyiarannya mengandungi kandungan anti-Islam.

Perlawanan pertama yang diadakan pada Ahad lalu antara Chennai Super Kings dan juara bertahan, Mumbai Indian tidak dapat disaksikan seluruh penduduk di Afghanistan atas arahan kerajaan pimpinan Taliban.

Bekas Pengurus Media Lembaga Kriket Afghanistan, M Ibrahim Momand menulis di dalam akaun media sosialnya menyatakan bahawa, kemungkinan kandungan anti-Islam, gadis menari dan kehadiran wanita yang tidak memakai tudung antara sebab utama siarannya diharamkan di negara itu.

Malah banyak media antarabangsa juga turut melaporkan bahawa pemerintah Taliban telah melarang IPL disiarkan di Afghanistan.

Salah satu pasukan Kriket Afghanistan yang banyak melakar kejayaan. Gambar: Medium

Pada bulan Ogos lalu, Taliban telah mengatakan bahawa mereka tidak akan mengganggu pasukan Kriket Lelaki Kebangsaan Afghanistan. Ia kerana kriket sering menjulang kejayaan sukan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah Taliban juga tidak akan menghentikan penyertaan pasukan itu dalam liga utama Twenty20.

Minggu lalu, Ketua Sukan Afghanistan, Bashir Ahmad Rustamzai mengatakan bahawa Taliban akan membenarkan rakyatnya menyertai 400 jenis sukan di negara itu, namun enggan mengesahkan sama ada wanita antara dibenarkan atau tidak terlibat sama dalam antara sukan berkenaan.

“Jangan tanya lebih banyak mengenai wanita,” kata Bashir kepada agensi berita AFP.

Semasa rejim itu menindas rakyatnya dari tahun 1996 hingga 2001, wanita dilarang sama sekali bermain apa saja sukan,  sementara sukan lelaki dikawal dengan ketat. Wanita juga dilarang mendapat pendidikan dan pekerjaan.

Banyak aktivis hak wanita Afghanistan secara global takut sekiranya pemerintahan Taliban akan mengulangi dasar sebelum ini setelah kumpulan itu berjaya menggulingkan pemerintah yang disokong AS bulan lalu.

 

Sumber: The Indian Express

ThePrint
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Slogan Perkauman Terhadap Islam di India Membimbangkan

no comment

KEKEJAMAN terhadap umat Islam dan rusuhan perkauman Hindu dan Muslim bukanlah pemandangan luar biasa di India sejak rejim Modi berkuasa. Semakin ramai ekstremisme Hindu telah berkembang di negara itu. Umat Islam India dianiaya dan menjadi mangsa dalam setiap bidang kehidupan yang mereka lalui.

Dengan munculnya Hindutva, mereka mendapati ruang sosial, politik dan komuniti mereka semakin mengecil dalam apa yang disebut sebagai demokrasi terbesar di dunia.

Komuniti Muslim di India ingin hidup aman di negara sendiri. Gambar: Muslim Obsession

Walaupun semua kaum minoriti ditindas di India, umat Islam telah menjadi sasaran khususnya kekerasan dan keganasan yang berleluasa dalam masyarakat. Kini, slogan-slogan membenci semakin hebat dilaungkan ekstremisme Hindu terhadap orang Muslim di India.

Demonstrasi yang dipimpin oleh bekas pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) dan peguam Mahkamah Agung, Ashwini Upadhyay, untuk menuntut penghapusan undang-undang era kolonial India berubah menjadi tunjuk perasaan terhadap umat Islam.

Orang ramai terus menghasut orang lain untuk menggunakan kekerasan terhadap komuniti minoriti di Jantar Mantar.

Terdapat hasutan untuk membunuh secara besar-besaran kaum minoriti, terutama umat Islam. Mereka yang ditangkap terpaksa mengucapkan “Ram Ram” jika mereka ingin tinggal di India.

Perdana Menteri Modi adalah pengikut setia Parti Nasionalis Hindu (RSS) sayap kanan yang ditubuhkan sejak tahun 1925, sekali gus menyebarkan kepercayaan Hindutva yang berpengaruh. Walaupun dilarang setelah pembunuhan Mahatama Gandhi, ia berhasil memasuki arena politik di bawah pelbagai warna. Parti yang berkuasa sekarang di India, Parti Bharatiya Janata (BJP), adalah sayap politiknya.

Peristiwa Samjhota Express berlaku pada 2007. Gambar: The Indian Express

Sejak pembunuhan Gujrat hingga pembakaran Samjhota Express dan penghancuran Masjid Babri, masih banyak lagi pertumpahan darah yang dilakukan Modi. Menariknya, dia dikeluarkan daripada senarai visa di Amerika Syarikat di bawah peruntukan Akta Imigresen dan Kewarganegaraan.

Setelah memenangi pilihan raya dan dengan perubahan dinamika politik dan strategi di rantau ini, dia menjadi sekutu kepada Amerika, terutama ketika mereka memerlukan India untuk menguasai China.

Di India, banyak organisasi menaja Islamofobia untuk membuat propaganda untuk disebarkan kepada dunia. India menggunakan teknologi canggih untuk menubuhkan 750 laman web di bawah ANI dan SG (Srivastav Group) untuk memfitnah Pakistan.

Laporan EU DisinfoLab mengatakan, pelaku di sebalik operasi itu merampas nama orang lain, cuba menyamar sebagai media biasa seperti EU Observer, menggunakan surat Parlimen Eropah, mendaftarkan laman web di bawah avatar dengan nombor telefon palsu, memberikan alamat palsu kepada PBB, mewujudkan syarikat penerbitan untuk mencetak buku-buku kumpulan pemikir yang mereka miliki.

Laporan itu dibuat secara konsisten, berskala besar dan melalui identiti palsu yang menggunakan nama profesor yang mati dan NGO yang tidak berfungsi bagi mencipta gambaran bahawa Pakistan adalah negara keganasan dan bahaya.

Kumpulan Hindutva dan organisasi lain memprotes pembinaan organisasi haji di negara itu. Slogan dilaungkan di hadapan seorang imam, Narsinghanand Saraswati. Ucapan kebencian oleh pemimpin muda Parti Bharatiya Janata, Kapil Mishra, telah menyebabkan rusuhan di timur laut Delhi di mana 53 orang terbunuh yang majoritinya terdiri daripada orang Islam.

Laman web haram, jual wanita Islam India secara ‘online’ tanpa mereka ketahui. Gambar: The Logical Indian

Lebih daripada 80 wanita Muslim di India, yang merupakan suara kuat di Twitter, mendapati mereka telah ‘dijual’ dalam talian di aplikasi yang disebut ‘Sulli Deals’.

Tidak syak lagi bahawa Modi adalah musuh Pakistan dan kumpulannya yang serupa menyerang Pakistan dari semua arah. Selama bertahun-tahun, mereka telah berusaha mewujudkan kekacauan di Pakistan melalui Afghanistan.

Mereka memberikan sokongan penuh kepada para pengganas, tetapi dunia memilih untuk memperjuangkannya, walaupun Pakistan memberikan bukti yang tidak dapat disangkal mengenai keterlibatan India dalam serangan terhadap Pakistan.

Sebenarnya, India menyokong pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, tetapi dunia gagal mengambil tindakan ke atasnya.

*Artikel ini ditulis oleh Ali Anwar, penulis adalah ahli Aitchisonian yang mempercayai kebebasan bersuara, kolumnis bebas, usahawan dan aktivis sosial.

Sumber: Daily Times

Clarion India
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Masjid Buka Dewan Bedah Untuk Golongan Miskin Secara Percuma

no comment

SEBUAH masjid di kota lama Shaheennagar, Hyderabad, India telah membuka perkhidmatan dewan untuk prosedur pembedahan (OT) yang dikhususkan kepada golongan miskin secara percuma.

Majlis Perasmian Dewan Bedah di Masjid Omar Shifa baru-baru ini.

Masjid Omar Shifa antara satu-satunya masjid di India yang memiliki kelengkapan untuk melakukan pembedahan kecil selain Hospital Umum Osmania (OGH) yang terletak berhampiran kota lama itu.

Masjid itu juga sebelum ini ada menjalankan pusat rawatan kesihatan utama dan kini memperluaskan operasinya dengan membuka dewan bedah yang dikhususkan kepada penduduk miskin di kawasan itu.

Suasana di dalam dewan bedanh bagi pembedahan kecil.

Sekumpulan doktor ditugaskan di masjid itu untuk menjalankan kerja-kerja pembedahan dengan hasil dana yang disumbangkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) American Muslim Physicians of Indian Origin (AMPIO).

Selain bilik OT yang lengkap, masjid itu juga mempunyai klinik pergigian, pusat oftalmologi komuniti dan unit perundingan penyakit tidak berjangkit.

Semua perkhidmatan perubatan adalah percuma untuk semua masyarakat tanpa mengira agama. Helping Hand Foundation (HHF) sebuah NGO dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkhidmatan OT dan kemudahan perubatan lain.

Kawasan sekitar yang dilanda banjir tahun lalu menjadi punca merebaknya pelbagai penyakit.

“Sebilangan besar daerah di sekitar pusat kesihatan masjid ini pernah dilanda banjir tahun lalu. Akibatnya, kawasan kumuh ini menghadapi endemik kepada penyakit kulit bawaan air. HHF bekerjasama dengan AMPIO telah mengurus keperluan kesihatan kepada lebih 20 kawasan kumuh, ”kata Pemegang Amanah HHF, Mujtaba Hasan Askari.

Dengan angaran kira-kira 700 pesakit hadir setiap hari, pusat kesihatan masjid itu menjadi seperti hospital mini bagi golongan miskin di kota lama itu.

Kebanyakan pesakit menghidap diabetes, darah tinggi dan penyakit kronik yang lain. Oleh kerana komplikasi yang disebabkan oleh penyakit gaya hidup sering memerlukan prosedur pembedahan yang tidak dapat dilakukan oleh pesakit, OT di masjid itu akan menguruskan keperluan itu.

Orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan beratur menunggu giliran untuk pemeriksaan.

Kira-kira tiga peratus pesakit diabetes yang mengunjungi pusat kesihatan masjid itu mempunyai masalah jangkitan pada kaki.
Selain itu, kes penyakit seperti kematu, lipoma, keloid, kuku yang tumbuh ke dalam, fibroadenoma jinak, luka terbakar, sista ovari, serta bisul yang tidak sembuh juga akan dirujuk ke pusat kesihatan masjid berkenaan.

“Faktor kebersihan yang buruk antara punca menyebabkan komplikasi kepada ramai pesakit sehingga memerlukan operasi pembedahan. Sehingga kini sebanyak 25 pembedahan kecil telah dilakukan dengan jayanya,” kata Pakar Bedah Umum, Pusat Kesihatan Masjid Omar Shifa, Dr Arif Hussain.

Sumber: Times Of India

Catch News
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

NDA Tubuh Undang-Undang Talak Tiga Sebagai Jenayah Pada ‘Hari Hak Wanita Muslim’

no comment

PRESIDEN Majlis India-A-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) yang juga Ahli Parlimen Hyderabad, Asaduddin Owaisi, mengecam pemerintah Perikatan Nasional Demokratik (NDA) kerana menubuhkan undang-undang yang menganggap talak tiga sebagai satu jenayah.

Tindakan NDA di bawah pimpinan Perdana Menterinya, Narendra Modi sekali gus telah menentang kesamarataan dan memfitnah umat Islam.

Presiden AIMIM, Asaduddin Owaisi. Gambar: Outlook India

Owaisi juga meminta pimpinan Modi untuk menjelaskan mengapa pihaknya tidak serius mempertimbangkan isu berkaitan undang-undang terhadap wanita yang ditinggalkan ketika ini, sekali gus akan membela hak wanita dari semua kasta, wilayah dan agama di India.

“Kerajaan tidak berlaku adil dengan mengenepikan hak pembelaan terhadap wanita yang suami, anak lelaki atau saudara lelaki mereka yang dibunuh oleh kumpulan Gau Raksha Dal (nasionalis Hindu), sebaliknya bersungguh ingin merayakan Hari Hak Wanita Muslim,” kata Owaisi.

Ucapannya bertentangan dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Minoriti Kesatuan, Mukhtar Abbas Naqvi bahawa kes talak tiga telah menurun sebanyak 80 peratus sejak Akta Wanita Muslim (Perlindungan Hak Perkahwinan) dipinda sempena meraikan 1 Ogos sebagai ‘Hari Hak Wanita Muslim’.

“Undang-undang ini (talak tiga) tiada dalam perlembagaan dan telah dicabar di Mahkamah Agung. Ia bertentangan dengan kesamarataan dan satu penghinaan kepada umat Islam. Adakah pemerintah Modi hanya untuk menyambut Hari Hak Wanita Muslim? Mengapa tidak memperkasakan hak wanita Hindu, Dalit & OBC juga?

“Undang-undang ini akan menyebabkan lebih ramai wanita Islam dieksploitasi dan menambah masalah mereka. Hanya kes yang akan didaftarkan namun tiada keadilan bakal diperjuangkan menyebabkan ramai masyarakat Islam masih belum boleh menerimanya, kata Owaisi.

“Mengapa pemerintah BJP yang memiliki 300 anggota parlimen sendiri takut berdebat mengenai Pegasus di Lok Sabha? Apa yang anda mahu sembunyikan? Pembangkang sanggup menjalankan Parlimen tetapi kerajaan BJP tidak menginginkannya. Adakah itu Demokrasi? Kami tidak diberi peluang untuk mengemukakan pandangan kami, ”luahannya lagi.

Owaisi berkata, Pembangkang mahukan perbahasan untuk mencari keadilan bagi keluarga yang terkorban dalam gelombang kedua Coronavirus di negara ini.

“Mengapa pemerintah Modi tidak membincangkan masalah ini di Parlimen dan memberikan keadilan kepada keluarga yang kehilangan orang yang mereka sayangi kepada Covid?” katanya.

 

Sumber: The Times Of India

 

 

 

 

ac85d9a8-aba2-4d80-996f-c56939a0620f
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Seni tidak membezakan agama: Lelaki Hindu menulis ayat al-Quran di 200 Masjid

no comment

ARTIS kaligrafi India, Anil Kumar Chowhan telah menulis ayat-ayat al-Quran di lebih 200 masjid seluruh India sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni itu.

Lelaki berusia 50 tahun yang menetap di Hyderabad memulakan kerjaya seni itu dengan mula melukis papan tanda kedai sekitar bandar India Selatan di dalam bahasa Urdu sebagai sumber mata pencariannya.

“Saya tergolong dalam keluarga Hindu yang sangat miskin. Saya telah berhenti belajar sejak usia 10 tahun bagi menyara keluarga. Saya pandai melukis, jadi saya fikir mengapa tidak memanfaatkan kemahiran ini untuk menjadikan lukisan papan tanda sebagai kerjaya, ”katanya.

Chowhan turut menambah bahawa dia juga telah melukis di lebih 30 buah kuil dengan gambar dewa-dewa Hindu serta beberapa dargah (makam) dan biara.

“Walaupun telah melukis lebih daripada 200 masjid, namun saya hanya mengambil bayaran untuk 100 lebih masjid sahaja dan selebihnya tidak. Saya merasakan hubungan rohani dengan bekerja di tempat-tempat itu menghalang saya daripada menuntut bayaran,” kata artis yang memperoleh sekitar RM1,458.92 sebulan sebagai pekerja bebas.

Hasil kerja Chowhan mendapat pengiktirafan ramai.

Chowhan mengatakan bahawa dia tidak bersekolah di sekolah formal atau Islam untuk mempelajari tulisan Arab atau bahasa Urdu.

“Semasa tugas melukis diberikan, saya mula belajar membaca dan menulis dalam bahasa Urdu. Selepas ramai yang mengakui hasil kerja tangan saya, ereka mula memberi saya peluang untuk memperindah seni bina terkenal di sekitar bandar dengan ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Di Hyderabad 30 tahun yang lalu, permintaan kaligrafi untuk menulis papan tanda dalam bahasa Urdu sangat tinggi kerana majoriti penduduk di situ terdiri daripada penjual yang beragama Islam. Oleh itu, dia tidak mempunyai pilihan selain untuk mengenal dan belajar bahasa itu dengan cepat.

Namun dalam pada dia perlahan-lahan menulis dalam bahasa Urdu tanpa memahaminya, dia mengatakan bahawa dia mula jatuh cinta dengan tulisan di dalam bahasa jawi.

“Dari hari ke hari, saya mula mengenali huruf jawi dan perlahan-lahan minat itu mula datang secara semulajadi. Pada masa lapang, saya akan menulis ayat-ayat dalam bahasa Urdu, menyalin perkataan dari buku teks membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar, ”katanya.

Bagi Chowhan, seni tidak membezakan agama.

Chowhan mengatakan bahawa dia mendapat tugas besar pertamanya pada tahun 1990 ketika dia diminta untuk memperindah Masjid Noor yang menjadi ikonik di Hyderabad dengan ayat-ayat al-Quran.

“Saya merasa seperti berada di bulan kerana setiap tugasan besar yang diberikan mendapat pujian dan pengiktirafan dengan hasil kerja seni saya. Golongan elit di bandar memuji dan sangat menyukai apa yang saya buat dan ia membuka lebih banyak peluang saya untuk menerima tawaran-tawaran lain.

“Tetapi biasalah hidup ini sering kali kita akan berhadapan dengan cabaran. Sebilangan penduduk tempatan menentang pekerjaan saya hanya kerana saya beragama Hindu.

“Namun saya bertekad untuk meneruskan kerjaya ini dia sehingga saya memperoleh sijil dari Universiti Jamia Nizamia di Hyderabad untuk diiktiraf menjadi seorang seniman. Pengurusan universiti yang kagum dengan karya seni saya telah menggantung kanvas yang tertulis surah Yasin dengan ukuran 183 sentimeter lebar dan 122 sentimeter tinggi di galeri utama universiti itu,” katanya.

Salah satu masjid di India yang dilukis oleh Chowhan.

Hari ini, penduduk tempatan yang sama yang pernah membantah pekerjaannya memanggil Chowhan dengan gelaran “jiwa rohani” dan semakin hormat dengan kerjayanya.

“Saya percaya seni tidak membezakan agama. Tuhan, Allah, Jesus, mereka semua adalah satu. Dan kita adalah anak-anak Tuhan. Hari ini, kebanyakan rakan saya beragama Islam. Kami makan bersama, melepak bersama, mengambil bahagian dalam perjumpaan dan memperkayakan kehidupan masing-masing, ”kata Chowhan yang juga berkecimpung dalam puisi Urdu dan sering diundang ke perjumpaan di kota untuk membacakan puisinya.

Chowhan juga merancang untuk mengadakan pameran lukisan al-Qurannya.

Begitupun jelasnya, dia tidak pernah memaksa dua anak lelaki dan perempuan untuk mengikuti jejaknya sebagai seniman kaligrafi.

“Saya bukan jenis orang yang memaksa mengikuti keputusan yang saya buat di dalam keluarga. Tidak ada yang memaksa saya untuk menceburi seni ini dan begitu juga saya menyerahkan pilihan kerjaya anak-anak saya kepada mereka. Kedua-duanya adalah lulusan dan mempunyai pekerjaan yang baik di syarikat swasta. Mereka sangat gembira, ”katanya.

Namun, Chowhan gembira kerana adiknya membantunya dalam pekerjaan dan mereka sering bersama untuk melakukan tugas. Mereka juga telah pergi ke negeri jiran Karnataka, Andhra Pradesh dan Maharashtra untuk bekerja.

Chowhan tidak pernah memaksa anak-anaknya mengikuti jejaknya sebagai artis kaligrafi.

Chowhan mengakui dia tidak kaya tetapi cukup untuk mengurus keperluan keluarganya. Sudah tentu ada hari mereka akan mendapat banyak tawaran dan adakalanya tidak. Malah dia juga sering terpaksa bekerja sehingga 16 jam sehari untuk mengejar tarikh akhir yang diberikan pelanggan.

“Sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, saya antara yang paling sibuk kerana terpaksa bergerak dengan cepat dari satu masjid ke masjid yang lain untuk menyampaikan amanat Allah melalui seni saya. Tapi saya tidak pernah menyesal apatah lagi mengeluh kerana saya sangat sukakan tugasan yang diberikan.

“Masjid, kuil, biara, saya telah menghiasi semuanya. Semua tempat ini memberikan pesanan yang sama iaitu cinta, kedamaian dan kesatuan umat manusia. Agama adalah kekuatan penyatuan, bukan pemecah belah.

“Sekiranya kita mengikuti ajaran tuhan, kita semua dapat hidup dengan harmoni dan dunia akan menjadi lebih kaya untuknya,” katanya.

Sumber: Al Jazeera

File : Manoj Singh Al Jazeera
Berita Semasa, Jendela Dunia,

Penduduk Muslim di India Dipindah Demi “Keselamatan” Kuil

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

KERAJAAN Uttar Pradesh India dikatakan telah ‘mengancam’ umat Islam yang tinggal di sekitar kuil Gorakhnath untuk meninggalkan kediaman mereka, dengan alasan menjaga ‘keselamatan’.

Pemerintah Uttar Pradesh yang dipimpin oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) nasionalis Hindu didakwa merancang untuk memindahkan puluhan rumah di sekitar kuil Gorakhnath di Gorakhpur.

Alasan yang diberikan pemerintah, keputusan telah diambil “untuk penempatan pasukan polis untuk menyediakan perlindungan terhadap kuil.”

Beberapa laporan telah muncul mengatakan bahawa penduduk Muslim telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemerintah, kerana takut akan kemarahan kumpulan pelampau Hindu.

“Pegawai memberitahu kami bahawa jika kami tidak menandatangani surat itu, mereka mempunyai cara lain untuk mendapatkan tandatangan kami. Kami tertekan,” menurut Javaid Akhter, 71, yang tinggal di sebuah rumah leluhur yang dibina oleh datuknya berhampiran kuil, kepada Al Jazeera.

Shahnawaz Alam, Presiden sel minoriti Kongres pembangkang, menyatakan: “Pentadbiran telah mendapat surat persetujuan secara paksa yang meminta keluarga Muslim untuk mengosongkan tanah itu, yang telah menetap di sana selama 125 tahun di sudut tenggara Gorakhnath Math. ”

Isu ini mula tersebar ketika salinan surat persetujuan yang dibuat mula tersebar di media sosial pada 28 Mei. Kandungan surat itu berbunyi:

“Sejajar dengan keputusan pemerintah untuk penempatan pasukan polis di wilayah kuil Gorakhnath untuk memberikan keamanan ke kuil Gorakhnath, kami, penduduk yang bertandatangan di desa Old Gorakhpur Tappa, Qasba Pargana Haveli, Tehsil Sadar Janpad, Gorakhpur, yang terletak di sudut tenggara kuil Gorakhnath, telah bersetuju untuk memindahkan pemilikan tanah dan rumah kami kepada pemerintah. Kami tidak keberatan sama sekali. Mengenai persetujuan kami dalam masalah ini, sila lihat tandatangan kami di bawah. ”

Terdapat puluhan keluarga yang tinggal di sekitar kuil. Di sebelah selatan, terdapat hampir 11 keluarga Muslim. Daripadanya, sembilan telah menandatangani MoU.

Seorang penduduk, Javaid Akhter, juga mengkritik pihak berkuasa tempatan kerana “mengancam akan mengenakan tuduhan NSA (National Security Act) terhadap wartawan yang melaporkan perkara itu.”

Kuil abad ke-11 terletak di sebidang tanah seluas 52 ekar. Ini berakar pada tradisi Hinduisme Shaivite.

Awal bulan ini pemerintah Uttar Pradesh merobohkan sebuah masjid yang mendahului penubuhan negara India selama beberapa dekad, menurut  laporan Guardian.

Yogi Adityanath. (Kredit- PTI Photo)

Ketua menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, merupakan seorang sami Hindu, sekutu rapat Modi, terkenal dengan pandangan yang anti-Muslimnya.

Nasionalis Hindu yang terkenal juga telah mendorong orang ramai menentang dan melakukan keganasan terhadap minoriti Muslim yang semakin ditindas di negeri ini.

Sumber: The wire/ TRT World/al Jazeera