Browsing Tag

import

Daging halal
Antarabangsa,

Muslim di Jerman terpaksa import daging halal dari Poland sambut Aidiladha

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha bagi komuniti Muslim di Jerman sedikit suram apabila terpaksa mengimport daging halal dari Poland.

Bagi kebanyakan dalam kalangan kita, situasi tersebut kedengaran agak janggal, tetapi tidak pada penduduk tempatan di sana.

Langkah tersebut terpaksa dilakukan oleh penjual daging di Jerman kerana pihak berkuasa di Berlin mengharamkan proses penyembelihan dilakukan sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam.

Memetik laporan portal berita The New Arab pada Isnin, menyembelih haiwan tanpa renjatan elektrik diharamkan di negara berkenaan.

Baca juga Kebenaran Solat Aidiladha ‘Berlaga Bahu’ di England

Dasar tersebut sekali gus melarang pengeluaran daging halal domestik. Justeru, umat Islam di Jerman terpaksa melalui Poland untuk mendapatkan bekalan haiwan halal.

Kepada wartawan Anadolu Agency, penjual daging, Batal Turkman memberitahu, beliau menyembelih kira-kira 100 ekor kambing biri-biri di sebuah ladang di Poland untuk komuniti Muslim Jerman yang tidak dibenarkan melakukan korban sendiri tanpa melanggar undang-undang tempatan mahupun agama.

Daging halal

KOMUNITI Islam di Jerman terpaksa mengimport daging halal dari Poland untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. -Gambar hiasan

“Ya, memang sukar untuk mengangkut daging dari Poland ke Jerman, tetapi kegembiraan menghantar daging itu kepada pemiliknya mengatasi segala rasa kesulitan tersebut,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Jerman seperti kebanyakan negara Eropah tidak mengiktiraf Aidiladha sebagai cuti rasmi.

Ia menyebabkan ramai umat Islam terpaksa meneruskan kerja masing-masing dan bersekolah seperti biasa sepanjang empat hari sambutan Aidiladha.

Mengikut statistik, Jerman menjadi tuan rumah penduduk Islam kedua terbesar di Eropah selepas Perancis. Negara tersebut mempunyai kira-kira 4.7 juta Muslim yang majoritinya berasal dari Turki.

Baca juga Aidiladha di China disambut berbeza di setiap wilayah

Meskipun hari raya korban di Jerman tidak semeriah di negara kita, ia tidak menghalang saudara seagama kita di sana menyambut perayaan tersebut dengan penuh kesyukuran.

Sesungguhnya, kita begitu beruntung kerana dapat kembali menunaikan ibadah korban selepas melewati fasa endemik. Pada masa sama, berpeluang menyaksikan haiwan korban masing-masing disembelih.

Semoga segala amalan yang kita lakukan diterima oleh ALLAH SWT.

Foto: The New Arab & Canva