Browsing Tag

Imam Malik

imam malik
Personaliti,

Walaupun disebat dengan cemeti, Imam Malik teguh pertahankan fatwa dikeluarkannya

DALAM agama Islam, bidang fiqh begitu signifikan. Masakan tidak, ia sangat berkait rapat dengan ibadah, perlakuan dan lain-lain yang bersangkutan dengan kehidupan seharian kita sebagai seorang Muslim.

Antara ulama fiqh yang sangat disegani dengan ilmu tersebut ialah Imam Malik yang juga kepada pengasas Mazhab Maliki. Pemilik nama penuh Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir al-Ashabi itu dilahirkan di Madinah, Arab Saudi pada tahun 93 Hijrah.

Beliau telah menguasai ilmu agama sejak kecil lagi. Tatkala usianya mencapai baligh, beliau sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran. Dalam bidang hadis, beliau mempelajarinya daripada bapa saudaranya yang juga seorang ulama, Abu Suhail di samping ulama-ulama besar di tempat kelahirannya.

Imam Malik

IMAM MALIK

Dalam sebuah riwayat masyhur, beliau dikatakan telah berguru dan mendapat pendidikan daripada 900 orang sarjana yang hebat dalam bidang masing-masing. Antaranya ialah Abd Al Rahman Ibn Humuz, Muhamad Ibn Sihab al-Zuhri dan ‘Amir bin Abdillah bin al-Zubair.

Apabila usianya menginjak 17 tahun, beliau yang mendapat jolokan Imam Darul Hijrah itu mula mengeluarkan fatwa setelah 70 ulama mengesahkan kelayakannya. Kepercayaan itu diberikan lantaran Imam Malik berjaya mengumpulkan lebih daripada 100,000 hadis yang ditulis sendiri olehnya.

Baca juga Subhanallah, rupanya lebih 700,000 hadis dihafaz oleh Imam Ahmad ketika hayatnya

Patah tulang belakang

Plot kehidupannya memang sangat dikagumi. Berbekalkan ilmu dan kecerdikan akal serta penguasaan dalam ilmu berkaitan hadis dan fiqh, beliau dilantik sebagai ulama besar di tempat kelahirannya.

Sebagai pemimpin, Imam Malik juga terkenal dengan sifat telitinya dalam ilmu hadis. Menurut Ibn Hibban, ilmuan tersebut merupakan orang pertama dalam kalangan fuqaha (ahli dalam ilmu fiqh) di Madinah yang menyaring para perawi hadis.

Bahkan, beliau juga hanya akan meriwayatkan hadis yang benar-benar sahih sahaja dan daripada perawi yang tsiqah (orang yang baik agamanya).

Ketegasannya itu telah dinyatakan dalam karyanya bertajuk al-Muwatta. Penghasilan kitab itu dilakukan selama 40 tahun dengan menyaring hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya.

Imam Malik

AL-MUWATTA antara karya agung Imam Malik yang menjadi rujukan ramai.

Daripada 100,000 hadis yang ditulisnya, hanya 10,000 hadis yang diakui sah. Namun, Imam Malik berusaha lagi dengan melakukan saringan seterusnya sehinggalah hanya tinggal 5,000 hadis yang benar-benar diterimanya daripada Nabi Muhammad SAW. Pun demikian, monumental al-Muwatta itu hanya memuatkan 1,720 hadis yang sahih.

Buku tersebut juga dipersetujui oleh 70 orang sarjana. Disebabkan itu kitab berkenaan disebut sebagai al-Muwatta (yang disepakati).

Menjadi resam seorang ilmuan hebat, ujian dihadapinya juga berat. Bayangkan Imam Malik pernah dihukum dengan cemeti hingga patah tulang belakangnya. Ia gara-gara fatwa yang dikeluarkan oleh beliau tidak disukai oleh khalifah pada zamannya.

Begitupun, tidak pernah sekali-kali cendekiawan itu berpaling dengan hadis yang dipegangnya. Menurut Imam Syafie yang pernah berguru dengannya, beliau menyifatkan Imam Malik umpama bintang dalam kalangan para ulama.

Selama lebih tujuh dekad, Imam Malik melayani dan melindungi ilmu hadis di Madinah. Beliau dikhabarkan terlalu mencintai Madinah dan ‘terikat’ dengan kota Nabi Muhammad SAW itu.

Apa tidaknya, seumur hidupnya, hanya sekali beliau mengerjakan haji dan tidak pernah menjejakkan kaki ke kota lain.

Imam Malik menemui Pencipta-NYA pada usia 86 tahun. Sesungguhnya, begitu besar sumbangan yang ditinggalkan ulama itu untuk umat Islam sehingga kini terutama dalam menentukan hadis sahih.

Imam Malik

MAKAM Imam Malik dan Imam Nafi’ di Madinah, Arab Saudi.

PROFIL

Nama: Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir al-Ashabi.

Gelaran: Imam Malik dan Imam Darul Hijrah.

Asal: Madinah, Arab Saudi.

Tahun kelahiran: 93 Hijrah.

Tahun kematian: 179 Hijrah.

Kepakaran: Ilmu hadis dan fiqh.

Karya agung: al-Muwatta, Risalah Ila Ibn Wahb fi al-Qadr, Kitab An-Nujum, risalah fi al-Aqdhiyah, tafsir li Gharib Alquran, risalah Ila Lais bin Sa’ad, Kitab Syiar, Kitab al-Manasik dan Risalah Ila Abu Hasan.

BAIT MUTIARA

“Bukan ilmu yang harus datang kepadamu, tetapi kamulah yang seharusnya datang menjemput ilmu.” -Imam Malik

Sumber & Foto: http://myhadithislam.gov.my/, republika.co.id, arabnews.com, muwatta.com, muslimobsession.com, minanews.net, dream.co.id & https://ms.wikipedia.org/