Browsing Tag

Imam Haramain al-Juwayni

Imam Haramain al-Juwayni
Gaya Hidup,

Imam Haramain Al-Juwayni Abadikan Diri Untuk Menggali Ilmu Sepanjang Hayatnya

no comment

NAMA Imam Haramain acap kali disebutkan dalam kajian usul fiqh terutama menerusi kitab Mazhab Syafie. Ia menunjukkan betapa hebatnya figura berkenaan dan menjadi antara tokoh rujukan umat Islam.

Imam Haramain sebenarnya hanyalah sekadar nama jolokannya. Nama penuhnya ialah Abd al-Malik ibn Muhammad Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyawiyyah al-Juwayni. Namun, kebanyakannya memanggil cendekiawan Muslim itu sebagai Imam al-Juwayni.

Nama al-Juwayni sebenarnya dinisbahkan kepada Juwain iaitu sebuah kampung yang terletak di Bustanikan, Naisabur. Itulah tempat kelahiran beliau yang berketurunan Arab daripada Bani Ta’i as-Sanbasi.

Menjejaki sisi peribadinya, ternyata ulama besar dalam Mazhab Syafie itu datang daripada keluarga yang bukan calang-calang. Bapanya, Syekh Muhammad Abdillah merupakan seorang ulama besar pada zamannya.

Bermula dengan ayahnya itulah, Imam al-Juwayni mempelajari pelbagai disiplin ilmu. Antaranya tafsir, fiqah, hadis, usulul fiqh dan sebagainya.

Imam Haramain al-Juwayni

KESUNGGUHAN Imam al-Juwayni dalam menuntut ilmu wajar dikagumi hinggakan makan dan tidur apabila dirinya benar-benar perlu.

Tidak hairanlah pada usianya yang masih muda, beliau bukan sahaja berjaya menghafaz al-Quran, malah menguasai pelbagai cabang ilmu agama.

Menginjak usia 20 tahun, bapanya pergi menghadap ILAHI. Sejak itu, kehidupannya berubah 360 darjah.

Ilmuwan itu kemudian menggantikan peranan ayahnya sebagai tenaga pengajar. Meskipun sudah menjadi guru, namun ulama itu terus menggali ilmu dan berguru dengan para ulama besar di Naisabur.

Antara yang pernah menjadi gurunya ialah Abu al-Qasim al-Iskaf al-Isfarayani, Abu Abdullah al-Khabbazai, Abu Hasan dan Muhammad ibn Ahmad al-Muzakki.

Menjadi resam seorang ilmuwan, Imam al-Juwayni turut mengembara ke beberapa wilayah seperti Baghdad, Ishfahan dan Hijaz (Makkah dan Madinah).

Cara beliau memperoleh ilmu wajar dipuji. Imam al-Juwayni dikatakan banyak mengkaji, berbincang, meninggalkan taklid dan mengikut sama ada daripada al-Quran mahupun as-Sunnah.

Beliau turut terkenal sebagai seorang yang tidak akan mensia-siakan waktu yang dimiliki.

Seluruh hidupnya diabadikan untuk mencari ilmu sahaja sehinggakan beliau dikhabarkan pernah berkata: “Aku tidak pernah makan dan tidur seperti kebanyakan orang. Aku tidur ketika sudah sangat payah, baik siang ataupun malam dan aku makan ketika sudah sangat lapar.”

Baca juga Lelaki Lumpuh Digeruni Zionis

Sikap rendah hati

Ketika mengembara ke Hijaz, ilmuwan hebat itu pernah menetap di sana sekitar empat ke lima tahun.

Imam Haramain al-Juwayni


IMAM HARAMAIN AL-JUWAYNI bersifat rendah hati dan tawaduk, selain cintakan ilmu.

Beliau mengabdikan diri pada agama, selain mengajar, memberi fatwa dan mengarang kitab di dua Kota Suci iaitu Makkah dan Madinah. Kesungguhannya dalam menyebarkan ilmu menyebabkan Imam al-Juwayni mendapat jolokan sebagai Imam Haramain (imam dua tempat suci iaitu Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah).

Dalam Kitab Tabaqat asy-Syafi’iyyah, Imam Tajuddin as-Subkhi memberi gambaran tentang keperibadian Imam al-Juwayni: “Antara gambaran lembutnya hati Imam Haramain ialah beliau mudah tersentuh hatinya, mudah menangis ketika merenung.

“(Digambarkan) ketika beliau memberikan nasihat, pendengarnya seolah-olah kembali mendapat hati yang bersih. Imam Haramain juga ialah seorang ulama yang rendah hati dan tak segan untuk belajar ilmu daripada murid-muridnya.”

Imam al-Juwayni juga memiliki anak murid dari pelbagai pelosok dunia. Antara muridnya termasuklah Imam al-Ghazali dan al-Alim al-Allamah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad.

Sesungguhnya, ilmuwan itu banyak menghabiskan sisa hidupnya dengan berjihad pada jalan ALLAH. Beliau meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah di rumahnya di Bustanikan. Selepas beberapa tahun, jasadnya kemudian dipindahkan ke tanah perkuburan al-Husain dan disemadikan di samping pusara ayahnya.

PROFIL

Imam Haramain al-Juwayni

ILUSTRASI wajah Imam Haramain al-Juwayni.

Nama penuh: Abd al-Malik ibn Muhammad Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyawiyyah al-Juwayni

Gelaran: Imam al-Juwayni, Imam Haramain, al-Faqih al-Syafi’e dan Dhiya’ al-Din Asal: Bustanikan, Naisabur

Tahun kelahiran: 419 Hijrah

Tahun kematian: 478 Hijrah

Kepakaran: Usulul fiqh, ilmu fiqah dan kalam

Karya agung: Nihayah al-Matlab fi Dirayah alMazhab, Mukhtashar an-Nihayah, at-Talkhis fi Ushul al-Fiqh, al-Burhan fi Usul al-Fiqah, Risalah fi Usul ad-Din dan banyak lagi

Sumber & Foto: nu.or.id, porsiwp.eumroh.com, radiounisia.com, pppru1.net & Islami.co