Browsing Tag

Imam al-Qurtubi

Imam Al-Qurtubi
Personaliti,

Rupanya karya Imam Al-Qurtubi pernah dibakar oleh musuh Islam

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

IMAM AL-QURTUBI merupakan salah seorang ulama salaf yang terkemuka dan dikagumi kerana kehandalannya menguasai bidang tafsir, fiqh dan hadis.

Pemilik nama penuh Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh al-Anshari al-Khazraji al-Andalusi al-Qurthubi adalah anak kelahiran Cordova, Andalusia (Sepanyol).

Beliau dibesar dalam sebuah keluarga yang sederhana. Bapanya hanyalah seorang petani. Pada zaman remajanya, figura itu melakukan kerja membuat tembikar daripada tanah liat untuk menampung kehidupan.

Berdasarkan salasilahnya, tatkala usia semakin meningkat, semangat belajar dalam diri Imam Al-Qurtubi semakin berkobar-kobar. Diriwayatkan, beliau banyak berguru dengan para sarjana terkenal Islam. Antaranya seperti Ibn Ebu Hucce dan Abdurrahman ibn Ahmet Al-Ashari.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun 

Ketika wilayah Andalusia jatuh ke tangan tentera ketika Perang Salib pada 733 Hijrah, ilmuan tersebut dan sejumlah umat Islam berbondong-bondong berhijrah ke Mesir. Ketika itu beliau berusia 25 tahun. Walaupun sedih dengan penaklukan itu, Imam Al-Qurtubi bertekad meneruskan misi kembara ilmunya yang tertangguh.

Imam Al-Qurtubi

CORDOVA ialah tanah kelahiran Imam Al-Qurtubi.

Di Mesir, beliau bukan sahaja mempelajari bahasa Arab, malah mendalami cabang ilmu lain syair, al-Quran, qiraat, balaghah, selain bidang hadis dan tafsir. Abul Abbas al-Qurtubi, Abu Muhammad ibn Rawaj, Abu Muhammad Abdulmu’ti al-Lakhmi dan Abu Ali Hasan bin Muhammad al-Bakri merupakan antara guru yang sangat dihormatinya.

Kitab tafsir terbesar

Sepanjang hayatnya, Imam al-Qurtubi digambarkan sebagai seorang individu yang zuhud dan suka menulis. Banyak karya beliau yang sudah dicetak dan mengisi ruang beberapa perpustakaan di beberapa buah negara Islam. Namun, terdapat juga yang dibakar oleh musuh Islam.

Ketekunan dan kecintaan cendekiawan itu terhadap ilmu mendorong seorang tokoh ulama, Ibnu Syakir al-Katbi mengeluarkan kata-kata indah ini: “Imam al-Qurtubi memiliki karya-karya yang bermanfaat yang menunjukkan atas ilmunya yang luas, di antaranya adalah tafsir al-Qurannya, sangat istimewa terdiri atas 12 jilid.”

Antara semua penulisannya, kitab tafsir al-Quran yang berjudul al-Jami’li ahkam al-Qur’an wa al-Mubayyin lima tadhammanahu Min as-Sunnah wa Ayi al-Furqan antara yang paling banyak diperkatakan. Karya agung tersebut mempunyai 20 jilid dan merupakan salah satu tafsir terbesar yang terkandung manfaat untuk Islam sehingga ke hari ini.

Baca juga Haly Abbas Doktor Islam Pertama Kesan Penyakit Kuning

Di dalam naskhah itu, Imam al-Qurtubi telah mencantumkan kisah-kisah atau historiografi Islam, selain menetapkan hukum-hukum al-Quran, melakukan istimbath atas dalil-dalil, menyebutkan pelbagai qira’at, i’rab, nasikh dan mansukh.

Agamawan itu juga menceritakan beliau menulis tafsir berkenaan dan hal itu dicoretkannya dalam mukadimah tafsir berkenaan.

Beliau antara lain berkata: “Aku menulisnya sebagai peringatan buat diriku dan sebagai bekalan untuk alam kuburku dan sebagai amal soleh selepas kematianku.”

Imam Al-Qurtubi

Kitab Tafsir Al-Qurtubi ialah naskhah wajib untuk pencinta ilmu.

Ilmuan penting dalam sejarah perkembangan Islam itu juga mengakui menghasilkan naskhah bernilai itu selepas terkesan dengan beberapa ayat dan hadis nabi. Antaranya menerusi Surah al-Qiyamah, ayat 13.

Al-Jami’li Ahkaam Al-Qur’an turut menjadi rujukan bagi penyusun kitab-kitab tafsir generasi berikutnya. Berdasarkan sumber sahih, kitab tafsir karya as-Syaukani (Fathul Qadir) dan kitab tafsir karya Ibnu Kathir banyak mengutip dan merujuk pada kitab tafsir karya Imam al-Qurtubi itu.

Antara naskhah hebat lain yang dihasilkan beliau adalah seperti Peringatan Tentang Perkara-perkara Akhirat. Imam al-Qurtubi wafat pada tahun 671 Hijrah di Minyah Banil Khashib Mesir selepas mengabdikan hampir tiga perempat umurnya dalam beribadah, menuntut ilmu dan menyusun tulisan-tulisannya.

Seperti kata Ibnul Imad: “Al-Qurtubi ialah seorang imam, memiliki pemahaman yang dalam terhadap makna hadis, memiliki kitab-kitab karangan yang bagus dan sangat istimewa dalam mengumpul ucapan ulama.”

PROFIL

Imam Al-Qurtubi

ILUSTRASI wajah Imam Al-Qurtubi.

Nama penuh: Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh al-Anshari al-Khazraji al-Andalusi al-Qurtubi

Gelaran: Al-Qurtubi

Asal: Cordova, Andalusia

Tahun kelahiran: 1214

Tahun kematian: 1273

Karya agung: Al-Jami’li ahkam al-Qur’an wa al-Mubayyin lima tadhammanahu min as-Sunnah wa ayi al-Furqan, At-Tadzkirah fi ahwal al-Mauta wa umur al-Akhirah (Peringatan Tentang Perkara-perkara Akhirat), At-Tidzkar fi afdhal al-Adzkar, al-Asnafi Syarh asma’illah al-Husna, Syarh at-Taqashshi, Kitab al-Aqdhiyyah, Al-Muqtabar fi syarh muwaththa’ Malik bin Anas dan al-Luma’ fi syarh al-Isyrinat an-Nabawiyah.

Sumber dan Foto: https://muis.org.my/2017/07/pengenalan-kitab-tafsir-al-qurtubi/, https://wikimuslim.or.id/imam-al-qurtubi, darultahqiq.com, en.wikipedia.com, Sinar Harian & peoplepill.com, g-switch.org