Browsing Tag

ijtihad

pexels-yan-krukov-7693099
Gaya Hidup,

Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

no comment

DALAM Surah al-Baqarah, ayat 30, ALLAH SWT telah menjelaskan tentang soal kepemimpinan dalam Islam. Ayat suci itu juga merupakan perintah pertama-NYA yang telah meletakkan peranan manusia sebagai khalifah ALLAH di atas muka bumi ini.

Untuk menjadi seorang pemimpin atau istilah dalam bahasa Arab khalifah, imam, tamkin, malik, qa’id, ra’i, rais atau sayyid bukan mudah. Jawatan itu bukan sekadar memberikan kuasa kepada seseorang untuk memberi arahan, bahkan lebih daripada itu.

Dalam konteks Islam, pemimpin yang baik adalah mereka yang menunaikan mandat atau amanah yang diberikansebaik mungkin. Mereka perlu menganggap tugas yang diberikan sebagai satu tanggungjawab dunia yang berkait rapat dengan nasib mereka di akhirat kelak.

Ketahuilah menggunakan kedudukan dengan mengaut keuntungan untuk diri sendiri, melakukan kezaliman, penindasan dan pembohongan hanya meruntuhkan sesebuah organisasi dan sangat dimurkai oleh ALLAH SWT.

Justeru, apakah ciri-ciri pemimpin yang dituntut oleh agama dan bagaimana mereka boleh mendapatkan keredaan daripada-NYA? Sesungguhnya, pada era baharu ini, kita sangat merindui sifat kepimpinan yang dipelopori oleh tokohtokoh Islam terdahulu seperti Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Khalifah Umar bin Khattab termasuk baginda Rasulullah SAW yang kita sayangi.

Berijtihad

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mengajak pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid untuk berdiskusi lanjut.

 

Bakhtiar Fitri

Mukadimahnya bermula dengan menyenaraikan beberapa ciri signifikan yang perlu dikuasai oleh seorang pemimpin menurut kaca mata agama. Pertama, individu tersebut mestilah seorang Islam dan memiliki sifat yang matang.

“Islam menetapkan tidak sah melantik orang bukan Islam sebagai pemerintah. Ini kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal umat Islam dan sudah pasti perlu dilaksanakan oleh pemimpin yang meyakini hukum-hakam ini.

“Namun, dalam konteks negara kita yang pelbagai agama dan bangsa, Islam mengharuskan untuk melantik pemimpin dalam kalangan bukan Islam,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Bakhtiar Fitri memetik pernyataan Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj ma’a Hashiyah al-Syarwini yang bermaksud: “Adalah harus mengangkat orang bukan Muslim untuk suatu jawatan jika adanya maslahah padanya. Jika jawatan tersebut tidak mampu dipikul mana-mana orang Islam atau orang Islam mempunyai sifat khianat dan yang bukan Islam tidak mempunyai sifat tersebut.“

Namun, ujar Ibnu Hajar al-Haitami, pihak yang melantiknya ke jawatan tersebut perlu mengawal selia (muraqabah) dan mampu mencegah individu itu daripada melakukan sebarang kemudaratan terhadap orang Islam.

Ciri yang kedua ujar Bakhtiar Fitri, seseorang itu perlu dipilih dalam kalangan yang bersifat adil.

“Adil yang dimaksudkan merujuk kepada orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Mereka juga tidak berterusan melakukan dosa kecil.

Oleh itu, pelantikan orang fasik adalah tidak sah,“ terang beliau.

Seterusnya, seorang pemerintah mesti memiliki pengetahuan hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya. Ia bagi membolehkannya berijtihad berdasarkan peraturan agama.

“Sekurang-kurangnya, jika pemimpintersebut tidak begitu mahir dalam meneliti dalil syarak, maka rujuklah kepada ulama sebelum mengeluarkan pendapat ataupun keputusan,“ katanya.

Menurut pendakwah itu lagi, salah satu sifat lain adalah memiliki kebijaksanaan dalam memerintah dan menjaga kebajikan rakyat, selain berusaha melaksanakan syariat Islamiah yang mencakupi aspek ekonomi, kebajikan, kemasyarakatan, perkahwinan, keselamatan dan undangundang.

Rasulullah contoh terbaik

Mengulas lanjut, penceramah tersebut berkata, dalam soal kepimpinan, Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik untuk diteladani dan tiada tolok bandingnya.

Baginda memiliki wawasan, misi, visi dan mempunyai akhlak yang unggul, selain daya ketahanan yang kental. Justeru, katanya, apabila rakyat memahami karakter pemimpin seperti yang disyorkan oleh agama, maka kita wajib memilih berdasarkan penilaian tersebut.

“Kewajipan memilih pemimpin ini mempunyai kaitan di antara dosa dan pahala. Sebagai rakyat, selidikilah dulu pemimpin yang mahu kita pilih supaya tidak terkhilaf,“ katanya yang juga Perunding Utama Nadi Ilmu Training Management.

Ya, memang benar, kita hanya mampu melihat secara zahir atau nampak dari luar sahaja seseorang individu itu, ujar agamawan itu.

“Justeru, apa yang kita perlu buat adalah bertawakal kepada ALLAH YANG MAHA BERKUASA dan memohon ampun sekiranya kita tersilap dalam memilih ketua,“ katanya.

Ketika ditanya adakah pemimpin pada hari ini perlu mempunyai atma kepimpinan seperti Rasulullah SAW, demikian reaksi
Bakhtiar Fitri. “Kepimpinan baginda adalah yang terbaik sepanjang zaman dan sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang mampu menandingi mahupun menyamai kepimpinannya.

“Terlalu banyak contoh dan peristiwa yang menggambarkan kehebatan kepimpinan sejak Nabi Muhammad masih kecil sehinggalah wafat. Antara paling menonjol adalah peristiwa peletakan Hajarul Aswad dan Perjanjian Hudaibiyah yang merupakan pendamaian di antara pihak musyrikin Quraisy Mekah dengan Rasulullah.

“Namun begitu, tidaklah keterlaluan jika saya katakan, negara kita tidak ketandusan pemimpin yang cenderung dan berusaha memimpin cara Rasulullah SAW sejak dahulu sehinggalah ke hari ini. Bahkan, jika diberi peluang kepada pemimpin muda dan baharu, insya-ALLAH kita akan melihat lebih ramai pemimpin berjiwa Rabbani muncul,“ katanya.

Jauhi sikap zalim

Ujar penceramah terkenal itu lagi, sebagai rakyat, kita sendiri boleh menilai sejauhmana kebijaksanaan dan kehebatan pemimpin pada hari ini. Mungkin mereka tidak begitu sempurna, tetapi setidaktidaknya golongan itu menepati ciri-ciri kepimpinan Islam seperti yang dinyatakan.

“Cukup sahaja kita melihat pemimpin tersebut seorang yang mukmin, adil, menjaga kebajikan rakyat, amanah, berintegriti dan berkemahiran, insyaALLAH pemimpin sebegini telah menepati pemimpin yang disebut al-Qawiyy al-Amin,“ katanya.

Sinar Islam Plus juga menghubungi pendakwah Hamizul Abdul Hamid. Beliau senada dengan butir bicara yang dikongsikan oleh Bakhtiar Fitri.

Beliau menambah, pemimpin yang diredai ALLAH adalah yang meletakkan ALLAH dan Rasulullah SAW sebagai pedoman dan panduan.

“Pemimpin haruslah mengutamakan rakyat dan bukan diri sendiri. Contohilah Khalifah Umar al-Khattab, walaupun memerintah sebuah empayar Islam yang sangat besar dan luas, beliau sentiasa zuhud dan tetap mengekalkan corak kehidupan yang cukup sederhana, sehinggakan bajunya mempunyai sembilan tampalan,“ katanya.

Hamizul yang juga Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah Lembaga Zakat Selangor memberi peringatan mesra kepada para pemimpin atau ketua di luar sana. Pesannya, jauhilah daripada bersikap zalim kerana perilaku itu sangat dimurkai ALLAH dan seseorang akan jauh daripada rahmat-NYA.

 

Hamizul

“Bukan itu sahaja, jika mereka yang diangkat atau dipilih rakyat tidak melaksanakan perintah ALLAH, mereka dikira berdosa,“ tegasnya.

Sama-samalah hayati firmah ALLAH SWT dalam Surah an-Nisaa, ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya ALLAH memberi pengajaran yang sebaikbaiknya kepadamu. Sesungguhnya ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MELIHAT.“

Dalam sebuah Hadis Riwayat Abu Hurairah RA juga dinyatakan, salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan ALLAH pada hari kiamat ialah pemimpin yang adil dan saksama.