Browsing Tag

Ijab qabul

Ijab qabul
Muamalah,

Ijab qabul penentu kesahihan transaksi yang dibuat, jangan abaikan aspek ini ketika bermuamalat

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

DALAM Surah an-Nisa’, ayat 29, ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.”

Prinsip kerelaan/ suka sama suka (taradhi) dalam akad merupakan dasar umum yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT bagi membolehkan kita memiliki harta orang lain secara benar. Ini bermakna, perpindahan harta daripada seseorang kepada seseorang yang lain tidak boleh tidak, mesti berasaskan prinsip taradhi.

Baca juga Pemindahan Liabiliti Dalam Konteks Sewaan Harta Menurut Islam

Kerelaan seseorang adalah suatu yang tersembunyi di dalam hati. Tiada seorang manusia pun yang mampu menerjah ke dalam hati orang lain untuk mengukur kerelaan yang ada dalam hatinya. Justeru bagaimanakah kerelaan seseorang boleh dizahirkan agar pihak lain ada bukti bahawa sememangnya harta yang bertukar tangan itu dibuat berdasarkan kerelaan pemilik asal?

Para ulama telah menjelaskan dalam penulisan mereka bahawa kehendak zahir (iradah zahirah) dan kehendak batin (iradah batiniyyah) perlu selari agar akad tersebut sah dan berkuat kuasa.

Ijab qabul

BIARPUN kerelaan itu urusan hati, tetapi Islam telah menetapkan bahawa penzahiran kerelaan atau kehendak batin ini boleh diserlahkan melalui ijab dan qabul.

Kehendak batin itu merujuk kepada kerelaan dan ia hendaklah dizahirkan dalam bentuk kehendak zahir. Pernyataan kehendak zahir inilah yang disebut sebagai ijab (penawaran) dan qabul (penerimaan) dalam istilah fikah.

Dalam muamalat Islam, biarpun kerelaan itu urusan hati, tetapi Islam telah menetapkan bahawa penzahiran kerelaan atau kehendak batin ini boleh diserlahkan melalui ijab dan qabul. Dari sini kita boleh nampak betapa besarnya peranan ijab dan qabul.

Selain berperanan sebagai penzahir kepada kehendak dalaman, ijab dan qabul juga adalah penentu kesahihan transaksi yang dibuat. Kerana itulah para ulama telah menetapkan syarat tertentu yang perlu dipenuhi apabila pihak yang berakad melakukan ijab dan qabul. Syarat-syaratnya ialah sebagaimana berikut:

i. Lafaz ijab dan qabul hendaklah dinyatakan secara jelas dari segi kandungannya seperti jenis akad, subjek akad dan harga/ upah agar setiap pihak yang berkontrak jelas dengan apa yang dikehendaki oleh setiap orang daripada mereka.

ii. Keselarian qabul dengan ijab. Qabul tidak boleh mengandungi sebarang lafaz yang bertentangan dengan kandungan ijab seperti dari segi subjek akad dan harganya.

iii. Ada kesinambungan (ittisal) antara ijab dan  qabul. Kesinambungan ini berlaku apabila kedua-duanya berlaku dalam majlis yang sama dan tiada pemisah antara kedua-duanya.

Baca juga Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

Ijab dan qabul juga penentu kepada bentuk kontrak yang berlaku antara pihak-pihak yang berkontrak. Sama ada ia akad jual beli, atau akad pinjaman wang atau akad musyarakah dan sebagainya.

Ijab qabul

IJAB dan qabul penentu kepada bentuk kontrak antara pihak yang terlibat.

Setiap akad ada rukun dan syarat-syaratnya yang khusus walaupun secara umumnya rukun akad adalah sama sahaja. Kerana itu, dalam kewangan Islam, kebanyakan kontrak yang diguna adalah kontrak selain qard (pinjaman wang). Bukan kerana qard itu diharamkan dalam Islam, tetapi dalam realiti industri kewangan Islam, keuntungan juga suatu yang perlu dijana demi kesinambungan institusi itu sendiri.

Oleh itu, tentu sekali kontrak qard tidak sesuai untuk diguna dalam memberi pembiayaan yang bertemakan keuntungan. Namun tidak dinafikan sekarang Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sudah mula menggunakan akad qard (tanpa bayaran tambahan) dalam pembiayaan Mikro BangKIT.

Ia disasarkan untuk usahawan mikro dari segmen masyarakat yang belum layak mendapat pembiayaan daripada bank (underbankable/unbankable) yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan. Untuk maklumat lanjut, boleh lawati laman sesawang BIMB di https://www.bankislam.com/corporate-info/social-finance-bank-islam/pembiayaan-mikro-bangkit/.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Pexels