Browsing Tag

ibu lahir lima anak

Denda
Antarabangsa,

Cadang kenakan denda terhadap ibu lahir lima anak, doktor Palestin gesa tindakan tatatertib ke atas pegawai perubatan Israel

“DENDA kalau lahirkan anak lima orang”. Cadangan ‘luar kotak’ itu diberikan oleh seorang pegawai perubatan tertinggi Israel terhadap mana-mana wanita Palestin yang melahirkan lima anak bagi mengehadkan kadar kesuburan warga tersebut menerima kecaman hebat.

Idea itu telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan warga Palestin, apatah lagi keturunan mereka diusir dari rumah masing-masing ketika peristiwa Nakba tahun 1948.

Susulan itu, portal berita Middle East Eye melaporkan, Persatuan Doktor Arab Negev menyelar kenyataan disifatkan sebagai ‘perkauman’, selain memfailkan petisyen yang ditandatangani lebih 150 doktor menggesa supaya tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai perubatan berkenaan.

“Sesiapa yang melihat ‘rahim Arab’ sebagai ancaman, tidak mempunyai tempat dalam sistem kesihatan dan sudah tentu tidak dapat menjaga hati orang Arab.

Baca juga Undang-Undang Kejam Israel Curi Tanah Palestin

“Melihat komennya (doktor yang memberikan cadangan tersebut), kami tidak yakin dia merawat pesakit Palestin dengan penjagaan sama seperti pesakit berbangsa Yahudi.

“Kami menjangkakan pihak pengurusan hospital akan mengambil sikap tegas terhadap kenyataan seperti ini, yang menimbulkan semangat keangkuhan kaum terhadap seluruh penduduk,” kata petisyen berkenaan.

Denda

KAKITANGAN perubatan di Pusat Perubatan Soroka di bandar Beersheba tekun menjalankan tugas masing-masing di wad pengasingan Covid-19. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: AFP

Pada Ahad lalu, Pengarah Jabatan Pembedahan Toraks dan Jantung di Pusat Perubatan Soroka di Beersheba, Israel, Gideon Sahar mengemukakan cadangan tersebut dalam mesyuarat parti Rumah Yahudi sayap kanan.

Beliau menyatakan sedemikian secara terus kepada Menteri Dalam Negeri Israel, Ayelet Shaked mengenai ‘penduduk paling bermasalah’ yang merujuk kepada warga Palestin di Israel.

“Mengenai masalah pertumbuhan penduduk dan populasi yang lebih bermasalah, kita menghadapi semacam paradoks.

“Pada satu pihak, kami faham bahawa kadar kelahiran adalah penentu ‘rahim Arab’, dan sebaliknya, kami menggalakkannya dengan pemberian elaun kanak-kanak.

Baca juga Pengintip MOSSAD kejar rakyat Palestin dipercayai aset Brigade Al-Qassam

“Sebab itulah saya fikir, kita perlu mempertimbangkan elaun kanak-kanak yang bersifat regresif; anak pertama menerima satu (elaun); begitu juga dengan anak kedua; mungkin anak ketiga dan keempat tidak (terima elaun); dan anak kelima mungkin boleh dikenakan denda. Kita harus memikirkan sesuatu tentangnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal middleeasteye.net pada Isnin.

Bagaimapun, Shaked tidak bersetuju dengan cadangan yang disifatkan sebagai tidak praktikal. Sebaliknya, beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah membantu wanita Palestin ‘hanya menjalani pembaratan’.

Denda

KADAR kelahiran rakyat Palestin dilaporkan lebih tinggi berbanding Yahudi bertahun-tahun lamanya, namun kadar kesuburan dalam kalangan warganegara berkenaan semakin turun kepada 2.9 pada 2022 daripada 9.2 pada tahun 1960. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: UNSPLASH

Untuk rekod, portal Middle East Eye melaporkan, rakyat Palestin di Israel mempunyai kadar kelahiran yang lebih tinggi daripada rakan sebaya Yahudi selama bertahun-tahun.

Ia dikatakan menjadi kebimbangan dalam kalangan ramai rakyat Israel yang melihatnya sebagai ancaman keunggulan demografi mereka di negara tersebut.

Baca juga 5 daerah di Palestin yang diranapkan dengan kejam, kini berganti bangunan milik Israel

“Begitupun, kadar kesuburan dalam kalangan rakyat Palestin telah turun kepada 2.9 pada 2022 daripada 9.2 pada tahun 1960, berbanding 3.0 dalam kalangan wanita Yahudi,” kata portal berkenaan.

Awal tahun ini, Kerajaan Israel meluluskan undang-undang untuk menghalang penyatuan rakyat Palestin dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki dengan pasangan mereka, yang memegang kewarganegaraan Israel.

Rang undang-undang baharu itu melanjutkan undang-undang darurat yang diluluskan pada tahun 2003 untuk menghalang mereka dari wilayah Palestin daripada mendapat pemastautin atau kewarganegaraan Israel melalui perkahwinan dengan warganegara lain.

Namun begitu, Shaked secara terbuka berkata, undang-undang tersebut diluluskan atas ‘sebab demografi’ dan bertujuan menghentikan ‘hak pemulangan’.

***Foto: Unsplash