Browsing Tag

Ibu bapa tanggung dosa anak

Ibu bapa tanggung dosa anak
Hukum,

Ibu bapa tanggung dosa anak-anak tinggalkan solat?

ANAK-ANAK era milenial tidak seperti kanak-kanak zaman dahulu. Selain menguasai teknologi, gaya hidup mereka juga sedikit berbeza.

Demikianlah pandangan segelintir orang. Namun begitu, tanggungjawab sebagai ibu bapa tetap sama tidak kiralah ketika zaman nenek moyang kita mahupun sekarang.

Menjadi kewajiban orang tua untuk memberi didikan dan bimbingan kepada permata hati masing-masing, selain menafkahi serta memenuhi keperluan mereka.

Ia termasuklah dalam urusan agama. Paling penting, kita perlu mengajar anak kecil untuk mengerjakan suruhan ALLAH SWT iaitu solat fardu sejak usia mereka masih cilik.

Kadangkala panduan dan didikan sudah pun diberikan, namun olah anak pula menunjukkan sikap sebaliknya apabila semakin menginjak remaja dan dewasa usia mereka. Ada segelintirnya yang begitu liat untuk menunaikan solat. Begitu juga mereka yang terpaksa diingatkan berkali-kali dengan kefarduan berkenaan.

Puas sudah berleter, mahupun memberi teguran dan pernah merotan mereka gara-gara culas menunaikan ibadah berkenaan, tetapi perilaku mereka tetap juga tidak berubah.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Andai anak meninggalkan solat, adakah ibu bapa akan diseksa atau diazab oleh ALLAH SWT?

Memetik artikel Irsyad Fatwa Siri ke-666 yang disiarkan pada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa supaya mendidik anak masing-masing mendirikan solat ketika usia mereka tujuh tahun.

Ibu bapa tanggung dosa anak

SEAWAL tujuh tahun, Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa supaya mendidik anak masing-masing mendirikan solat.

Jika tidak menunaikan solat, anak-anak tadi boleh dipukul dengan pukulan yang tidak mencederakan. Ia dengan niat untuk mendidik ketika usianya sudah 10 tahun.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Perintah anak-anak kamu agar mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Masakan tidak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, anak-anak adalah amanah yang dianugerahkan ALLAH SWT kepada kita.

Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menunaikan amanah tersebut sebaiknya iaitu dengan mendidik mereka menjadi insan beriman dan bertakwa.

“Islam memerintahkan agar ibu bapa menjaga diri sendiri dan ahli keluarga daripada melakukan dosa dan maksiat kepada ALLAH. Sementelah, hubungan antara ayah dan anak adalah hubungan yang mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

“Pengabaian kepada tanggungjawab ini akan dipersoalkan di sisi ALLAH SWT di akhirat kelak,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel berkenaan.

Baca juga Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

Berhubung perihal dosa pula, artikel sama menegaskan, setiap individu tidak akan menanggung kesalahan atau dosa orang lain sekalipun ahli keluarganya.

Ibu bapa tanggung dosa anak

SOLAT adalah tiang agama dan ia perlu diterapkan dalam diri anak-anak walaupun mereka masih kecil.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikit pun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.” (Surah al-Fatir, ayat 18)

Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga memberi amaran jelas bahawa setiap orang akan mendapat balasan terhadap dosa-dosa yang mereka lakukan, bukannya orang lain.

“Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang itu boleh mendapat dosa gara-gara dirinya menjadi punca seseorang itu melakukan maksiat kepada ALLAH.

“Namun begitu, ibu bapa yang telah menunaikan tanggungjawab mendidik anaknya mendirikan solat, mereka tidak bertanggungjawab terhadap dosa anak masing-masing dengan sebab meninggalkan solat,” tegasnya.

Ketahuilah, seorang Muslim tidak menanggung dosa saudaranya yang lain. Begitu juga halnya dengan ibu bapa yang mana mereka tidak menanggung dosa-dosa anak-anaknya.

“Akan tetapi harus diingat bahawa ibu bapa bertanggungjawab memberi pendidikan agama untuk menyelamatkan anak-anak mereka daripada azab api neraka.

“Apabila tanggungjawab itu disempurnakan dengan baik, maka segala perbuatan anak yang meninggalkan solat adalah ditanggung oleh diri mereka sendiri.

“Adapun bagi ibu bapa yang gagal memberi didikan agama kepada anak-anak, maka sebarang perbuatan maksiat yang dilakukan oleh anak tadi akan turut ditanggung oleh kedua orang tuanya,” jelasnya.

Foto: Freepik