Browsing Tag

ibu bapa pilih kasih

British forces conquered #Jerusalem from the Ottoman Empire.
Berita Semasa,

Ini hukumnya bila ibu bapa pilih kasih yang perlu kita tahu

WALAUPUN manusia secara fizikalnya dilihat sama, namun setiap daripada kita ada perbezaan masing-masing.

Barangkali dari segi sikap, kecenderungan, kegemaran dan lain-lain. Setiap orang tidak mempunyai minat atau rasa yang sama.

Disebabkan itulah kita selalu dengar istilah anak emas, pelajar kesayangan, pekerja kegemaran bos dan seumpamanya.

Semua itu adalah kerana setiap manusia mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza.

Sama juga dengan sikap ibu bapa yang kadangkala dilihat memberikan layanan lebih kepada seorang anak berbanding anak-anaknya yang lain.

Dalam perihal pemberian kepada anak, bolehkah jika ibu bapa tadi melebihkan pemberian kepada salah seorang daripada anaknya?

Bagaimana pula jika ibu bapa hanya memberikan hadiah atau sesuatu hanya kepada anak tertentu dan anak-anak lain langsung tidak memperolehnya?

Memperincikan lanjut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sebagai ibu bapa, kita disunatkan untuk memberi hadiah atau harta sama rata kepada anak-anak.

“Jika dilebihkan pemberian kepada sebahagian anak sahaja, maka perbuatan itu adalah dibenci syarak sekalipun pemberian itu adalah sah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis berkaitan perkara itu.

Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir RA, kata beliau: “Bapaku pernah membawa aku kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Nabi, bersaksilah sesungguhnya aku telah memberikan Nu’man akan ini dan ini daripada harta.”

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Adakah semua anak-anakmu mendapat seumpama yang diberikan kepada Nu’man?”

Kata bapaku: “Tidak.”

Maka, jawab baginda SAW: “Kalau begitu, suruhlah selain aku yang bersaksi. Lalu, nabi bersabda: “Adakah kamu suka semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu?”

Kata bapaku: “Ya.”

Lalu, sabda Nabi Muhammad: “Kalau begitu, jangan buat begitu.” (Riwayat Muslim)

Tambah Ustaz Azhar Idrus, hadis itu menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak suka pemberian harta yang tidak adil terhadap anak-anak sehinggakan baginda enggan menjadi saksinya.

“Oleh itu, hendaklah ibu bapa menyamakan pemberian kepada sekalian anak-anak sekadar yang termampu.

“Maksud sama bukanlah sama timbangan atau sama ukuran, tetapi semua anak sama-sama mendapat pemberian sekalipun ukuran harta yang diberi itu tidak sama nilainya atau berlainan sifatnya,” terang beliau.

Dalam kitab Al-Muhazzab, ada disebutkan bahawa: “Dan disunatkan bahawa tidak melebihkan pemberian kepada sebahagian anaknya atas sebahagian lagi pada masalah memberi harta.”

Dalam pada itu, kata pendakwah itu lagi, dalam soal pemberian berkenaan, tidak disyaratkan anak lelaki mendapat dua bahagian lebih daripada anak perempuan sepertimana diwajibkan pada harta pusaka.

Namun begitu, katanya, kita dianjurkan supaya memberikan hadiah atau hibah yang bersamaan sama ada anak lelaki atau perempuan.

“Inilah pendapat jumhur ulama selain Mazhab Hanbali.

“Berkata Imam Ibn Ruysdi dalam kitab Bidayatul Mujtahid ‘Dan maksud adil adalah bersamaan si antara sekalian anak-anak’,” terang beliau.

Justeru, sebagai ibu bapa, kita perlulah bersikap adil kepada anak masing-masing sekalipun dalam perihal memberikan hadiah.

Jangan disebabkan sikap pilih kasih itu mengakibatkan anak-anak terasa seolah-olah kita mengabaikan mereka berbanding adik-beradik yang lain.

Sumber: Instagram @uaioriginal
Ustaz Azhar Idrus