Browsing Tag

Ibn Sirin

Ibn Sirin
Personaliti,

Ibn Sirin pelopor ilmu tafsir mimpi sanggup dipenjara demi keredaan ALLAH

SEHINGGA ke hari ini, tafsiran mimpi yang dinukilkan oleh Ibn Sirin masih menjadi rujukan penting kepada dunia. Hakikatnya, interpretasi mengenainya sudah mula kedengaran pada era tabiin lagi.

Tabiin ialah individu yang bertemu dan berguru dengan para sahabat, tetapi tidak sempat berjumpa Rasulullah SAW.

Menelusuri salasilahnya, pemilik nama penuh Abu Bakar al-Bassari atau Mohammed bin Sirin berguru dengan beberapa sahabat baginda yang terkenal. Antaranya Saidina Ali bin Abi Talib RA, Umar bin al-Khattab, Abu Hurairah, Anas bin Malik RA dan ramai lagi.

Tokoh Islam disegani yang dilahirkan di Basra pada tahun 33 Hijrah (653 Masihi) itu hidup sezaman dengan ulama tersohor, Hassan al-Basri dan mereka berdua memang bersahabat. Maka, tidak hairanlah mengapa keperibadian dan akhlak Ibn Sirin sangat dikagumi. Beliau juga diriwayatkan mempunyai hubungan rapat dengan ibunya yang bernama Safia dan tidak pernah sesekali meninggikan suara, apatah lagi membentak.

Portal english.elarabiya.net menggambarkan cendekiawan hebat itu sebagai seorang yang sentiasa mewarnakan rambutnya dengan inai. Selain itu, beliau dikatakan memiliki fizikal rendah dan kurang pendengaran. Namun kekurangan itu tidak sedikit pun menghalangnya daripada bergaul dengan orang ramai.

Ibn Sirin

KARYA Tafsir al-Ahlam nukilan Ibn Sirin banyak kali dicetak dengan pelbagai tajuk berbeza.

Menariknya lagi, figura tersebut dikatakan seorang tukang cerita yang hebat tatkala bercerita tentang Nabi Muhammad SAW pada zamannya.

“Ibn Sirin begitu terkenal dengan jenaka dan tawanya. Di sebalik semangat kentalnya, beliau sebenarnya sering menangis pada waktu malam di rumah. Bagi mengubati hati, beliau kadangkala berpuisi.

“Malah, dirinya diketahui sebagai individu yang banyak berpuasa. Ibn Sirin akan berpuasa satu hari dan berbuka pada keesokan harinya.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

“Bukan itu sahaja, dikhabarkan setiap kali melalui pasar, semua orang akan bersorak dan beliau sentiasa membantu orang lain. Sifat itulah yang menjadikan Ibn Sirin sangat dihormati dalam kalangan mereka yang masyhur,“ kata portal tersebut.

Takwil mimpi

Berbicara tentang kehandalannya mentafsirkan mimpi bukan sekadar kata-kata. Memetik penulisan The Muslim Times, kehebatan tabiin tersohor itu diperakui oleh cendekiawan terkemuka iaitu Al-Gaheth, Ibn Qutaybah dan Ibn Khaldun.

Ibn Sirin

IBN SIRIN terkenal sebagai tukang cerita yang hebat tentang Nabi Muhammad SAW pada zamannya.

Ketiga-tiganya menganggap nukilan Ibn Sirin dalam mentakwilkan mimpi sebagai karya yang signifikan dalam bidang tersebut. Beberapa buah buku beliau telah diulang cetak berkali-kali di dunia Arab dengan tajuk berbeza.

Meskipun karya utama beliau, Tafsir al-Ahlam (A Concise Guide for the Interpretation of Dreams) dianggap sebagai monumental penting, namun portal Republika melaporkan, rujukan Ibn Sirin dalam pentafsirannya masih kurang jelas sehingga ke hari ini.

“Ini kerana belum ada penelitian khusus yang menjelaskannya secara terperinci. Apa yang pasti, Ibn Sirin mentafsirkan mimpi tersebut berdasarkan makna semantik langsung,“ kata Republika.

Seperkara, walaupun pakar ‘membaca‘ mimpi orang lain, cendekiawan Muslim itu tidak pernah menggunakan kemahirannya itu untuk meraih keuntungan.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

Sebaliknya, beliau lebih suka mengerah kudratnya sendiri dengan menjalankan perniagaan tekstil.

Pun demikian, Ibn Sirin telah diuji ketika berdagang. Beliau difahamkan telah membeli minyak secara kredit, namun malangnya minyak tersebut tidak dapat dijual gara-gara rosak.

“Jika aku menjual minyak ini, aku berdosa. Jika aku kembalikan semula kepada pedagang, mereka pasti akan menjualnya semula kepada orang lain dan aku berdosa kerana membiarkannya, sementelah aku sendiri tahu minyak tersebut telah rosak,“ getus hati Ibn Sirin sebagaimana dipetik dalam portal umma. id.

Ibn Sirin

IBN SIRIN hebat dalam mentafsirkan mimpi dan karya agungnya menjadi rujukan penting sehingga hari ini.

Akhirnya, beliau mengambil keputusan membuang semua minyak dan menanggung hutang yang banyak selepas tidak mampu melunaskannya.

Lalu, pedagang minyak yang berurusan dengannya telah membuat aduan kepada kepada pihak berkuasa. Akhirnya Ibn Sirin dimasukkan ke penjara. Beliau tidak pernah sesal dengan insiden itu kerana reda ALLAH lebih penting baginya.

PROFIL

Nama penuh: Abu Bakar al-Bassari atau Mohammed bin Sirin

Gelaran: Ibn Sirin

Tahun kelahiran: Tahun 33 Hijrah (653 Masihi)

Tahun kematian: 110 Hijrah (729 Masihi)

Sumbangan: Pelopor ilmu dalam tafsiran mimpi

Karya agung: Tafsir al-Ahkam

Sumber & Foto: english.alarabiya.net, abraronline.net, alkitab.com & tribunenewswiki.com