Browsing Tag

Ibadah puasa

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

10 Saranan WHO Untuk Jalani Ibadah Puasa Dengan Baik

BULAN Ramadan yang bakal menjengah enam hari lagi, boleh mengurangkan berat badan kita atau menambahnya, bergantung kepada amalan permakanan masing-masing.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam saranan dietarinya bagi bulan yang mulia itu, mengingatkan mereka yang berpuasa tidak terlalu mengikut nafsu ketika berbuka dan sahur.

“Kehidupan sosial menjadi-jadi pada bulan Ramadan. Pada berbuka puasa rakan-rakan dan tetamu dijamu dengan makanan yang enak,” kata badan dunia itu dalam satu kenyataan.

“Pada Ramadan, ramai dalam kalangan yang berpuasa tidak melakukan aktiviti fizikal, berikutan itu (atas sebab terlalu banyak menjamu selera dengan makanan enak ketika berbuka), ada yang mungkin menyaksikan berat badan mereka bertambah.

“Bagi mereka yang mengidap pentakit kencing manis pula, mungkin ada yang tidak mengawal dengan sempurna keadaan masing-masing berikutan dijamu makanan enak ketika berbuka,” kata WHO.

Namun, keadaan ini boleh dielakkan jika mereka yang berpuasa mematuhi beberapa garis panduan yang mudah, malah mampu mengurangkan berat badan, mengawal tekanan darah dan kandungan kolesterol.

WHO berkata, memang ada bukti berpuasa mampu meningkatkan tahap kesihatan tetapi amalan pemakanan tidak terkawal ketika berbuka dan sahur boleh menindakkan manfaat kesihatan.

Ada 10 perkara signifikan yang perlu diutamakan oleh setiap umat Islam supaya kekal sihat sepanjang menjalani ibadah puasa ketika musim pandemik Covid-19 ini.

WHO menasihatkan agar memberi keutamaan kepada:

1. Tetap menjaga kesihatan sepanjang Ramadan.

Ibadah puasa

JAGA pola pemakanan yang sihat dan minum banyak air.

Organisasi itu mengingatkan agar kita menjaga pola pemakanan yang sihat dan minum banyak air (sekurang-kurangnya 10 gelas sehari).

Pada masa sama, elakkan merokok walaupun selepas berbuka, jangan mengambil makanan ringan atau tinggi kandungan gula.

Daging dengan kandungan lemak yang tinggi juga perlu dikurangkan, serta makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi.

Ketika makan, jamulah dengan perlahan dan pada jumlah yang berpatutan.

Pastikan juga kita mengikuti panduan keselamatan makanan, selain kekal aktif dan menjaga pola tidur yang baik.

2. Kekal selamat sepanjang Ramadan.

Bagi tujuan itu, jangan lupa untuk kerap membasuh tangan sebagaimana yang dianjurkan, sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Ibadah puasa

PAKAI pelitup muka apabila ke masjid atau surau dan pada masa sama, pihak jawatankuasa perlu memastikan cecair pembasmi kuman turut disediakan pada setiap pintu masuk masjid.

Baca juga Pelopor Muzik Dunia

3. Hidupkan semangat Ramadan walaupun ketika seluruh dunia bergelut dengan Covid-19.

Berdoa, solat dan berkongsi apa sahaja ketika Ramadan tetap boleh dilakukan selagi ada penjarakan fizikal dan menjaga diri agar sentiasa sihat.

Jika ada saudara atau kenalan yang sakit, doakan untuk dirinya agar diberi kesembuhan dan berikan sokongan kepada mereka.

Pastikan komunikasi dan jalinan kekeluargaan tetap dipelihara meskipun berjauhan. Kepada mereka yang berjauhan dari keluarga, boleh sahaja melakukan panggilan telefon atau video untuk mengeratkan silaturahim.

Ibadah puasa

BERDOALAH memohon kesembuhan buat keluarga atau kenalan yang ditimpa ujian kesakitan.

4. Cari cara baharu untuk membantu antara satu sama lain sepanjang Ramadan.

Seperti menjamu dengan makanan yang siap dibungkus dan tidak menyediakan makanan di atas meja terbuka yang menggalakkan orang ramai berkerumun.

Bagi proses bayaran zakat pula, manfaatkan teknologi digital. Begitu juga dengan sedekah, sebaiknya gunakanlah platform berkenaan untuk melakukan amal.

Malah, Akademi Fiqah Islam Antarabangsa juga memutuskan bahawa wang zakat boleh digunakan untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

5. Tiada bukti bahawa puasa boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Justeru, individu yang sihat sepatutnya boleh berpuasa. Bagi pesakit Covid-19 pula atau menunjukkan gejala jangkitan boleh menggunakan pertimbangan agama untuk tidak berpuasa atas nasihat doktor.

6. Jika kita mengadakan acara sahur, iftar atau apa-apa majlis sosial pada bulan Ramadan, lakukan perkara seperti berikut:

Pertama, hendaklah memastikan acara itu diadakan secara maya dan mengehadkan kehadiran fizikal hanya untuk orang yang tinggal bersama-sama dengan kita.

Seandainya tetap mahu mengadakan majlis juga, WHO menasihatkan agar ia hanya melibatkan sebilangan kecil. Pada masa sama, pastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah atau gunakan kawasan lain.

Jangan lupa untuk mengambil kira langkah-langkah bagi memudahkan pengesanan kenalan sekiranya terdapat orang sakit dalam kalangan peserta.

7. Galakan amalan sihat di masjid atau tempat ibadah.

Ibadah puasa

BAWA sejadah sendiri dari rumah jika ingin menunaikan solat di masjid atau surau sepanjang pandemik Covid-19.

WHO menggalakkan kita agar mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri. Pihak masjid atau surau juga perlu memastikan kemudahan untuk membasuh tangan dilengkapi dengan air dan sabun serta sediakan cecair pembasmi kuman (dengan kandungan 60-80 peratus alkohol) pada pintu masuk dan di dalam masjid.

Jangan abaikan aliran masuk dan keluar pengunjung masjid. Jawatankuasa masjid juga perlu memastikan ada tong sampah dengan pelapik pakai buang dan kerap membersihkan ruang masjid.

8. Sokongan kepada mereka yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga terutama terhadap wanita, anak-anak dan golongan terpinggir yang kerap berlaku di kawasan terlibat sekatan pergerakan.

Pada masa inilah, peranan pemimpin agama bersuara secara aktif dalam menentang keganasan dan memberi sokongan atau mendorong mangsa untuk meminta pertolongan.

9. Jika ditawarkan untuk menerima suntikan vaksin ketika Ramadan, lakukan perkara ini:

Ibadah puasa

SUNTIKAN vaksin Covid-19 tidak membatalkan puasa jika ia diambil pada bulan Ramadan.

Badan-badan fatwa terkenal seperti Al Azhar Al Sharif telah memutuskan bahawa pengambilan vaksin tidak akan membatalkan puasa kerana ia diberikan secara suntikan dan bukan daripada bukaan semula jadi seperti hidung dan mulut.

Selain itu, Akademi Fiqah Islam Antarabangsa menyatakan, vaksin Covid-19 dibenarkan di bawah undang-undang syariah.

Seandainya kita sudah menerima vaksin, tetap terus mengambil langkah-langkah kesihatan dan sosial seperti yang disarankan. Ia bagi melindungi orang lain daripada kemungkinan jangkitan.

10. Jika negara menawarkan vaksin kepada rakyat ketika Ramadan, WHO menyarankan agar sebaiknya kita berkerjasama dengan pemimpin agama setempat untuk mempromosikan pengambilan vaksin serta meneruskan kempen vaksinasi tanpa gangguan.

Menjadi tanggungjawab kita untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa badan-badan fatwa terkemuka seperti Akademi Fiqah Islam Antarabangsa menyatakan bahawa vaksin Covid-19 dibenarkan di bawah undang-undang syariah dan Al Azhar Al Sharif telah menjelaskan bahawa pengambilan vaksin tidak akan membatalkan puasa.

Foto: Freepik