Browsing Tag

Ibadah korban untuk orang sudah meninggal

Ibadah korban untuk orang sudah meninggal
Isu,

Kaedah Yang Betul Jika Ingin Lakukan Ibadah Korban Untuk Orang Yang Sudah Meninggal

no comment

SEBAGAI seorang anak, pastinya tiada siapa yang mahu terlepas peluang untuk berbakti kepada kedua insan yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sejak dari kecil sehingga menjadi manusia yang berjaya pada hari ini.

Apatah lagi, kita sudah lama ‘berkurung’ di dalam rumah masing-masing dan tidak dapat pulang ke kampung halaman dek penangan Covid-19 yang masih ‘menggila’.

Ya, ada pelbagai cara untuk kita berbakti kepada orang tua meskipun terpisah beratus kilometer. Kemudahan teknologi seperti telefon dan jaringan internet memudahkan kita berkomunikasi dengan mereka. Begitu juga jika ingin menyampaikan wang buat ibu bapa masing-masing.

Namun begitu, tidak semuanya mampu berbuat demikian. Lebih-lebih lagi jika ibu bapa mereka terlebih dahulu dijemput oleh Ilahi. Perasaan sedih sukar diungkapkan, tetapi apakan daya, kita terpaksa reda dengan ketentuan-NYA.

Hanya doa dan sedekah jariah atas nama ibu bapa yang sering kali dititipkan buat insan yang sudah tiada lagi di muka bumi ini.

Bercakap tentang hal itu, segelintir orang berhajat untuk melakukan ibadah korban buat orang yang sudah meninggal dunia pada Hari Raya Aidiladha nanti terutamanya untuk arwah ibu, ayah, nenak dan seumpamanya. Adakah kita dibolehkan berbuat demikian?

Baca juga 10 Amalan Soleh Yang Boleh Dilakukan Pada Bulan Zulhijah

Menjawab persoalan itu, Ketua Waqf, Umrah dan Qurban, Bank Rakyat, Wan Mohd Nahar Othman menjelaskan, setiap amalan yang dilakukan bakal diberikan ganjaran mengikut apa yang diusahakan.

WAN MOHD NAHAR

Namun katanya, ia berasaskan kepada kaedah beribadah iaitu tidak boleh dilakukan untuk orang lain melainkan terdapat dalil yang membolehkannya.

Perkara itu dinyatakan secara jelas oleh ALLAH SWT dalam firmannya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang telah diusahakannya.” (Surah an-Najm, ayat 39)

Dalam hal itu, ujar beliau, Prof Dr Wahbah Mustafa Az-Zuhaili Rahimahullah menyatakan: “Mengikut pandangan ulama Syafie, tidak boleh melakukan ibadah korban selain daripada mendapat keizinan. Begitu juga untuk orang yang telah meninggal dunia, melainkan sekiranya dia telah berwasiat, maka dengan itu barulah ia diharuskan.”

“Maka, cara yang terbaik untuk menyelesaikan perkara tersebut adalah dengan melakukan ibadah korban ke atas dirinya sendiri dan diiringi dengan niat untuk disedekahkan pahala kepada si mati.

“Ia sebagaimana amalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Ketika melakukan sembelihan korbannya, sabda Nabi Muhammad SAW: “Bismillah, wahai Tuhan kami, terimalah ibadah korban daripada Muhammad dan daripada keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad.” (Riwayat Muslim)

Foto: Bernama