Browsing Tag

Hutang

Hutang
Isu,

Pahala diambil untuk bayar hutang, ini cara lunaskan liabiliti itu di akhirat kelak

SUDAH berbuih mulut rasanya apabila bercakap tentang soal hutang piutang. Meskipun isu itu kerap dibualkan, tetapi masalah liat untuk bayar hutang masih lagi tiada titik noktah.

Lebih-lebih lagi jika melibatkan hutang kepada individu lain. Sudahlah tidak dibayar, orang yang berhutang boleh pula buat-buat tidak tahu.

Sementelah, si pemberi piutang bagaikan mengemis wang sendiri apabila mereka pula yang dilihat terpaksa menebalkan muka untuk menagih hutang.

Ketahuilah bahawa hutang itu bukan sahaja dibawa sampai ke mati, tetapi hingga ke hari akhirat juga!

Bagaimana kita mahu membayarnya sedangkan ketika meninggal dunia, segala wang dan harta hasil perit jerih bekerja tidak dapat dibawa bersama ke dalam kubur?

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, penghutang terpaksa bayar hutang dengan pahala yang dikumpulnya ketika hidup di dunia jika pemiutang tidak menghalalkannya.

USTAZ AZHAR IDRUS. -FOTO: GOOGLE

Bayangkan hangus begitu sahaja ganjaran amalan yang dilakukan selama ini.

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan berhutang, akan dibayar hutang itu dengan pahalanya kerana di akhirat tiada lagi wang ringgit.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Lebih malang lagi, jika pahala penghutang itu tidak mencukupi untuk membayar segala hutang tersebut, jelas penceramah terkenal itu, dosa pemiutang tadi akan ditanggung olehnya.

“Perkara itu ada dijelaskan oleh Imam as-Son’ani dalam kitab Subulussalam: ‘Dan sesungguhnya jika habis segala pahalanya belum cukup bayar hutangnya akan diambil dosa tuan hutang dipikulkan ke atasnya, kemudian dilemparkannya ke dalam neraka’,” katanya.

Dosa berhutang tidak akan terampun walaupun mati syahid

Sekalipun orang yang berhutang itu ‘dianugerahkan’ mati syahid, tetapi jika dirinya pernah berhutang tanpa sempat dijelaskan, dosa hutangnya tidak akan terampun.

Demikian fakta yang dipetik menerusi laman web efaraid.mais.gov.my.

Baca juga Solusi ampuh tutup hutang terselit dalam amalan solat fardu. Berikut perinciannya

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis Riwayat Muslim)

Malah, menurut laman web tersebut, penghutang yang berkemampuan tetapi melengah-lengahkan pembayarannya dianggap sebagai zalim.

Hutang

PENGHUTANG yang berkemampuan tetapi melengah-lengahkan bayaran pinjamannya dianggap sebagai zalim. -FOTO: FREEPIK

Seperkara lagi, hutang tetap dianggap hutang. Walaupun pemiutang sudah menemui Sang Pencipta, tetapi tanggungjawab penghutang masih tetap perlu dilunaskan.

“Menurut jumhur ulama, hutang terhadap ALLAH tidak gugur walaupun seseorang itu meninggal dunia. Ia perlu dijelaskan menggunakan harta pusaka si mati walaupun tidak diwasiatkan supaya dijelaskan.

“Ia termasuklah zakat, fidyah, kafarah dan haji fardu. Mazhab Syafie berpandangan, hutang terhadap ALLAH perlu didahulukan pembayarannya sebelum hutang sesama manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web efaraid.mais.gov.my.

Lantaran itu, menjadi tanggungjawab waris untuk membayar hutang ahli keluarga mereka yang meninggal dunia. Begitu juga wasi atau pentadbir yang dilantik melalui harta pusakanya.

Baca juga Mahu bebas dibelenggu hutang? Amalkan doa ini

Hal itu bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah an-Nisa’, ayat 11)

Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila kamu memerhatikan susunan ayat itu, maka baginda menetapkan pembayaran hutang si mati didahulukan daripada wasiat.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bagaimana pula jika terdapat hutang si mati yang perlu dijelaskan secara berkala?

Hutang

JIKA si mati terdapat hutang rumit dan berkala untuk diselesaikan, maka waris bertanggungjawab melantik seorang pentadbir yang akan menguruskannya sehingga liabiliti itu dilunaskan sepenuhnya. -FOTO: 123RF

Menjawab persoalan itu, Majlis Agama Islam Selangor menjelaskan, jika begitu situasinya atau ada hutang yang rumit untuk diselesaikan, waris bertanggungjawab melantik seorang pentadbir yang akan menguruskan pinjaman tersebut hingga selesai.

“Andai kata, si mati tidak meninggalkan sebarang harta atau harta yang dimilikinya tidak cukup untuk membayar hutang yang ditinggalkan, maka waris tidak harus untuk membayar hutang-hutang si mati tadi.

“Bagaimanapun, sekiranya waris menolong membayar hutang yang ditinggalkan itu, maka ia termasuk sebagai perbuatan ihsan kepada si mati dan semestinya akan diberikan ganjaran pahala oleh ALLAH SWT.

Baca juga Harus viralkan orang tak bayar hutang di media sosial?

“Sudah pastilah perkara itu adalah baik kepada si mati dan terlebih baik kepada ahli waris tersebut,” katanya.

Ingatlah, apa gunanya ada harta apabila ia tidak lagi bermanfaat kerana semua perbicaraan yang berkait dengan hutang hanya laku dengan pertukaran amal sama ada yang baik atau jahat.

Jangan biarkan pahala kita menyusut gara-gara diambil oleh orang lain dan terpaksa pula memikul dosa mereka sehingga menjadi orang yang muflis di akhirat!

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

***Foto: Freepik

ambil hutang
Isu,

Kawan liat bayar hutang, bolehkah ambil wangnya secara senyap-senyap?

Kawan liat bayar hutang, bolehkah ambil wangnya secara senyap-senyap?

HUTANG merupakan satu isu yang selalu membuatkan orang tidak ‘senang duduk’.

Rasa tidak menyenangkan bagi orang yang memberi pinjam kerana tidak tahu bagaimana ingin mengelak. Jika tidak diberi, dikatakan kedekut. Manakala, orang yang meminjam pula, fikiran sentiasa berlegar tentang wang yang masih belum cukup untuk membayar semula.

Baca juga Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

Bagi mereka yang tidak membayar hutang, sabda Nabi SAW, “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Melihat perkongsian warganet di media sosial, ramai juga mengeluh sukar untuk mendapatkan wang yang pernah dipinjamkan mereka. Seolah-oleh pemiutang perlu mengemis kembali duit sendiri.

Dalam situasi begini, bolehkah seseorang mengambil semula secara senyap-senyap wang yang telah dipinjamkan kepada rakan atau kenalan? Apa hukumnya?

Turut disyorkan SEDEKAH bukan hanya berbentuk wang ringgit, bahkan termasuk juga amal kebaikan

Satu istilah yang dinamakan ‘al-zafr bi al-haq’ yang bermaksud mengambil semula hak yang ditahan atau dirampas telah dibincangkan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

Perkara ini disandarkan kepada dalil daripada Surah al-Syura, ayat 40,

Firman ALLAH, “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh ALLAH (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Syura, ayat 40)

Baca juga Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui

ambil hutang

SI pemiutang berhak mengambil wang daripada orang yang meminjam setakat yang memenuhi keperluannya. Foto: 123RF

Turut disyorkan Semak semula kisah Hindun makan hati Hamzah RA, popular tetapi tidak sahih

Di samping kisah Hindun RA yang datang mengadu kepada Nabi SAW tentang suaminya Abu Sufyan yang kedekut. Hindun memberitahu ingin mengambil harta suaminya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Ambillah daripada hartanya sekadar yang mencukupkan keperluanmu dan anakmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Manakala, ada juga riwayat daripada ‘Uqbah bin Amir, bahawa baginda SAW telah bersabda:
Jika kamu tinggal bersama satu kaum, lalu diberikan hak yang patut diberikan kepada tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak berbuat demikian, maka ambillah daripada mereka hak yang patut diterima oleh tetamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

JANGAN menzalimi hak orang lain dengan tidak membayar wang yang dihutang. Foto: Pexels

Baca juga Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

Justeru, menurut nas Imam al-Syafie, seseorang berhak mengambil semula haknya yang tidak diberi.

Pendapat sama turut diutarakan agamawan, Syeikh Muhammad Sidqi Aali Borno yang berkata, seseorang boleh mengambil semula duitnya yang telah dipinjamkan kepada orang tersebut dengan bentuk dan jenis yang sama, dan ia tidak dikira mencuri, kerana dalam hal ini dia telah dizalimi.

Dari pandangan pihak Mufti Wilayah pula, hukum asal menuntut sesuatu hak adalah dengan membawa ke muka pengadilan. Namun jika pelbagai cara sudah diusahakan tetapi tidak ada kesan, maka barulah cara ini dibolehkan.

Turut disyorkan Utamakan Hutang Berbanding Sedekah Walaupun Kepada Ibu Bapa

hutang

BERAT kesan hutang yang tidak dibayar apabila Rasulullah SAW sendiri mengingatkan bahawa roh orang yang beriman akan tergantung disebabkan hutang yang belum langsai. Foto: Pexels

Baca juga Beri wang riba kepada fakir miskin untuk bersihkan harta haram, berikut hukumnya

Ketahuilah beratnya kesan hutang yang tidak dibayar apabila Rasulullah SAW sendiri mengingatkan bahawa roh orang yang beriman akan tergantung disebabkan hutang yang belum langsai.

Sabda baginda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, jangan menzalimi hak orang lain. Jika terpaksa berhutang atau meminjam, simpanlah azam untuk mendahulukan usaha melangsaikan hutang berbanding perkara lain yang tidak penting.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Tzkrh

Foto: Pexels & 123RF

Kawan liat bayar hutang, bolehkah ambil wangnya secara senyap-senyap?

Kawan liat bayar hutang, bolehkah ambil wangnya secara senyap-senyap?

 

Berhutang
Isu,

Orang berhutang cenderung berbohong dan tak tepati janji? Rasulullah SAW pernah beri peringatan tentang hal ini

SEDAR atau tidak, agak sukar untuk hidup tanpa berhutang. Lebih-lebih lagi jika melibatkan keperluan seperti rumah dan kereta. Ia menuntut wang yang banyak untuk memilikinya.

Tidak hairanlah ramai yang membuat pinjaman daripada institusi perbankan bagi tujuan tersebut jika melibatkan jumlah pembiayaan yang besar.

Andai kecil nilainya, barangkali ada yang suka mengambil pendekatan untuk berhutang dengan orang lain.

Meskipun hutang diharuskan dalam Islam, namun ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Paling penting, ia wajib dibayar semula sekalipun roh sudah terpisah daripada jasad.

Namun begitu, terlalu banyak cerita kurang enak kita dengar jika melibatkan hutang sesama manusia. Bukan sahaja ada yang buat-buat lupa hendak bayar balik, tetapi langsung tidak dapat dihubungi dan hilang jejak begitu sahaja.

Baca juga Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

Malah, ada yang sanggup mencipta helah dan berbohong apabila wang dipinjam itu diminta semula oleh pemiutang.

Berhutang

JANGAN sengaja mencipta pelbagai helah dan berbohong apabila pemiutang menuntut semula hutangnya. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Disebabkan itulah, menurut news.detik.com, terdapat anjuran yang menyuruh kita untuk menghindari diri daripada berhutang.

Salah satunya disebut dalam hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT dan memohon perlindungan-NYA agar tidak dikelilingi hutang.

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW biasa berdoa di akhir solatnya: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada berbuat dosa dan banyak hutang.”

Lalu, ada yang berkata kepada baginda SAW: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah mengapa kita sering kali melihat bahawa orang yang berhutang cenderung untuk berbohong dan tidak menepati janjinya.

Baca juga Tak Halalkan Hutang Lama, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Rupanya Rasulullah SAW sudah memberi amaran itu sebelum ini lagi menerusi as-Sunnah.

Malah, dalam satu riwayat lain, baginda juga pernah menolak ketika diminta untuk melakukan solat jenazah ke atas individu yang meninggal dunia, tetapi masih memiliki hutang yang belum dilunaskan.

Berhutang

SEKALIPUN nyawa sudah terpisah daripada jasad, hutang tetap hutang andai ia belum dilangsaikan. Segeralah lunaskannya jika pernah berhutang. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Pahala kebaikan jadi ganti

Kepada mereka yang meminjam, lunaskanlah dengan kadar segera. Bukan apa, dikhuatiri jika kita mati dalam keadaan berhutang, begitu besar natijahnya.

Memetik artikel yang disiarkan dalam portal efaraid.mais.gov.my, orang yang mati dalam keadaan berhutang, pahala kebaikannya akan menjadi galang ganti jika warisnya juga tidak melangsaikannya menerusi harta pusaka si mati.

Abdullah bin Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Utamakan Hutang Berbanding Sedekah Walaupun Kepada Ibu Bapa

Justeru, apa sahaja pahala kebaikan yang pernah diraih oleh penghutang semasa hayatnya di dunia akan digantikan untuk membayar hutangnya yang belum sempat dilangsaikan.

Bayangkan jika amalan kita tidak sebanyak mana, tetapi ia telah diambil ketika di akhirat gara-gara perbuatan sendiri yang melengah-lengahkan dan mengambil mudah tentang soal hutang.

Jika ganjaran itu habis semuanya, tetapi masih ada lagi baki hutang, maka keburukan-keburukan daripada pemiutang tadi akan diberikan kepada orang yang berhutang. Na’uzubillah.

Berhutang

BAYANGKAN segala pahala hasil amalan yang dikumpul di dunia luruh bagaikan daun gugur bagi melangsaikan segala hutang piutang yang tidak dilunaskan. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Kehidupan orang berhutang yang tidak melunaskannya bukan sahaja ‘tidak aman’ di dunia, tetapi juga apabila dirinya sudah tiada lagi di muka bumi ini.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Oleh sebab itu, jika kita tiada keperluan mendesak untuk berhutang, elakkan daripada meminjam. Semoga hidup kita tidak akan diselubungi dengan hutang yang tidak berkesudahan.

5 urusan perlu disegerakan dalam Islam
Gaya Hidup,

Jangan tangguh, 5 urusan ini perlu disegerakan dalam Islam

JANGAN tangguh, 5 urusan ini perlu disegerakan dalam Islam…

Kita sering diingatkan agar tidak bersikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara kerana dikatakan menyerupai perbuatan syaitan.

Contohnya apabila makan, jangan tergesa-gesa kerana dibimbangi akan tercekik. Ataupun sebelum berkongsikan sesuatu, pastikan maklumat yang diterima itu sahih terlebih dahulu.

Malah, dalam hal ibadah pun, umat Islam dilarang tergopoh-gapah berlari ke tempat solat.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Rupanya sudah 15 tahun ibadah tidak sah gara-gara tidak sempurna mandi wajib

Pun begitu, ada lima keadaan yang mana umat Islam sebenarnya disarankan untuk disegerakan. Perkara ini dikongsikan oleh portal Tzkrh yang memetik artikel Rumaysho.com, iaitu:

1. Menyajikan makanan kepada tetamu.
Dalam surah ad-Dzariyat ayat ke-24 hingga 27, ada diceritakan oleh ALLAH SWT tentang bagaimana Nabi Ibrahim AS melayan tetamu yang datang ke rumah tanpa menyedari mereka adalah malaikat.

5 urusan perlu disegerakan dalam Islam

JAMULAH tetamu yang bertandang ke rumah dengan hidangan terbaik sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS.

Baca juga Makanan dan minuman jin yang patut diketahui, serta perlu Muslim hindari

Menurut kisah itu, apabila terlihat rumahnya didatangi tetamu, baginda diam-diam bertemu ahli keluarganya yang lain, dan mendapatkan seekor anak lembu yang gemuk dan dipanggang untuk dihidangkan kepada tetamu.

Firman ALLAH SWT: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.

“Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.” (Surah ad-Dzariyat, ayat 24 hingga 27)

Dalam ayat tersebut, kalimah فَرَاغَ إِلَىٰ أَهْلِهِ (faroogho ilaa ahlihi) bermaksud segera pergi menemui ahli keluarganya untuk mendapatkan hidangan. Hidangan tersebut pula yang terbaik untuk memuliakan tetamu.

Baca juga Islam sangat muliakan tetamu, tapi boleh ke kita tolak orang datang ziarah?

5 urusan perlu disegerakan dalam Islam

KEMATIAN itu adalah pasti bagi setiap makhluk ALLAH SWT di atas muka bumi ini. Oleh itu, jangan abaikan persiapan yang perlu dilakukan untuk menghadapi hari tersebut.

2. Menguruskan jenazah.
Perkara kedua yang disyariatkan untuk disegerakan ialah menguruskan jenazah. Hal ini termasuklah memandikan jenazah, mengafankan dan menguburkan jenazah.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Segerakanlah pengurusan jenazah. Jika dia orang baik, bererti kalian menyegerakan dia untuk mendapat kebaikan. Jika dia bukan orang baik, bererti kalian segera melepaskan keburukan dari tanggungjawab kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kematian datang tiba-tiba dan tanpa dijangka. Adakalanya ahli keluarga tidak sempat untuk berkumpul melihat wajah jenazah buat kali terakhir kerana tempat tinggal yang jauh dan sebagainya.

Namun, menyegerakan pengurusan jenazah juga adalah kebajikan dan khidmat yang terakhir boleh diberikan kepada si mati.

Baca juga Jangan panik, kalut, 10 perkara perlu buat apabila ahli keluarga meninggal dunia

5 urusan perlu disegerakan dalam islam

BERNIKAH demi mencari keredaan ALLAH SWT dan bukannya atas tujuan tidak baik merupakan salah satu rahsia perkahwinan berkekalan.

3. Segera menikahkan seorang wanita jika sudah bertemu jodoh yang baik.
Perkara ketiga yang disarankan bersegera adalah soal pernikahan.
Sabda Nabi SAW: “Wahai sekalian pemuda, jika ada antara kalian yang mampu (untuk bernikah) maka nikahlah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pun begitu, nikah yang dimaksudkan bukanlah secara membuta tuli. Pasangan yang ingin dikahwini itu seharusnya mempunyai agama dan akhlak baik terlebih dahulu.

Dalam pada itu, bernikahlah apabila dirasakan sudah bersedia dan mampu.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada yang engkau redai agama dan akhlaknya datang untuk melamar, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, maka akan terjadi musibah di muka bumi dan mafsadah yang besar.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Baca juga Empat perkara sunat dilakukan selepas akad nikah

4. Melangsaikan hutang.
Agama sangat menitikberatkan hal melangsaikan hutang. Bahkan perbuatan tidak melunaskan wang yang dipinjam akan menyebabkan jiwa pelakunya tergantung.

Sabda Nabi SAW: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.”

Dalam suatu hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, urusan membayar hutang juga perlu disegerakan kerana kematian boleh menjengah pada bila-bila masa.

5 urusan perlu disegerakan dalam islam

ISLAM sememangnya membenarkan berhutang untuk kelangsungan hidup dengan syarat wang yang dipinjam tersebut perlu dilunaskan.

Baca juga Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

5. Bertaubat.
Sebagai manusia, kita tidak lekang daripada melakukan dosa. Tiada siapa pun yang tahu berapa lama lagi mereka akan hidup di atas muka bumi ini, maka sentiasa bertaubat memohon keampunan dari ALLAH SWT.

Firman ALLAH, “…Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah, ayat 222)

Turut disyorkan Lalai dengan hidup di dunia. Pastikan anda tiada tanda-tanda ini.

Sumber: Ini 5 urusan yang perlu disegerakan dalam Islam

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash

 

Tarik balik hibah
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Hutang penyebab datuk tarik balik hibah kepada cucu, jangan anggap tindakan ini buruk siku

SEORANG datuk mahu tarik balik hibah yang pernah diberikan kepada cucunya. Namun begitu, ramai yang menganggap perbuatannya itu sebagai buruk siku. Demikianlah kisah yang pernah berlaku terhadap Abu Seman Kassim (bukan nama sebenar).

Ceritanya bermula apabila cucu lelaki sulungnya, Ayden Firash Mohamad (bukan nama sebenar) lahir ke dunia. Ketika itu, Abu Seman bersorak kegirangan.

Bibirnya pula tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan kehadiran cucu lelaki dinanti-nantikan tersebut. Sebelum kelahiran si comel tersebut, lelaki berusia 62 tahun itu sudah dikurniakan sembilan orang cucu perempuan.

Keterujaan mendapat ‘geng baharu’ itu membuatkan Abu Seman sanggup berkorban apa sahaja demi cucu kesayangannya.

Buat pertama kalinya, warga emas tersebut menghibahkan sebidang tanah miliknya yang terletak di selatan tanah air untuk Ayden Firash sebagai tanda kasih sayang seorang datuk terhadap cucunya. Pada masa itu, umur Ayden Firash baru sahaja berusia lima tahun.

Tarik balik hibah

SEBAIKNYA, penghibah digalakkan untuk mengadakan perbincangan antara ahli keluarga atau waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat.

Maka bermulalah proses hibah dan memindah milik tanah berkenaan. Semuanya dilakukan di Pejabat Tanah Daerah sekitar tahun 2005. Oleh sebab usia cucunya yang masih lagi di bawah umur, maka ibunya, Hashimah Hasyim (bukan nama sebenar) telah dilantik menjadi penjaga amanah kepada anaknya. Proses berkenaan berjalan dengan lancar sehingga harta berkenaan benar-benar menjadi milik Ayden Firash.

Begitupun, selepas lima tahun berlalu, Abu Seman berubah fikiran. Beliau mahu menarik balik hibah tanah yang pernah dihadiahkannya kepada satu-satunya cucu lelakinya.

Ketika itu, fikirannya benar-benar buntu kerana hidupnya diselubungi hutang yang belum habis dilunaskan.

Salah satu cara terbaik untuk melangsaikannya adalah dengan menjual tanah berkenaan. Disebabkan itu, lelaki tersebut membuat tuntutan di mahkamah syariah untuk menarik balik hibah itu.

Baca juga Hibah Tak Boleh Dibuat Secara Paksaan, Ambil Iktibar Daripada Kisah Ini

Mujurlah tanah tersebut tidak pernah dijual atau dipindah milik oleh Hashimah, menantunya. Malah, ia masih dalam keadaan asal sebagaimana ketika proses pindah milik dilakukan lima tahun lepas.

Tarik balik hibah

PROSES penarikan semula hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah.

Selaku pemegang amanah, Hashimah tidak membantah dengan kehendak bapa mertuanya untuk mengambil semula tanah berkenaan. Beliau merasakan bapa mertuanya wajar mengambil semula tanah berkenaan demi kemaslahatannya.

Setelah meneliti segala keterangan, fakta dan bukti yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati dengan proses melakukan hibah itu. Ia memenuhi hukum syarak dan sah. Bahkan, penarikan hibah tersebut juga adalah sah mengikut hukum syarak.

Justeru, hakim memutuskan tanah tersebut kembali semula menjadi hak milik Abu Seman.

Abu Seman berasa lega dengan keputusan tersebut. Bukan niatnya untuk menjadi buruk siku, tetapi beliau terpaksa berbuat demikian kerana hutang itu begitu penting untuk dilunaskan sebelum dirinya dijemput Ilahi.

Hibah tidak boleh ditarik semula melainkan penuhi syarat tertentu

APABILA seseorang sudah menghibahkan hartanya kepada penerima dan disertakan dengan penyerahan serta penerimaan barang (al-Qabd), ia tidak boleh ditarik balik atau diambil kembali.

Begitupun, situasi sebaliknya pula berlaku andai hibah berkenaan dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Demikian penjelasan daripada Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof ketika ditanya Sinar Islam Plus berhubung isu penarikan semula hibah yang dilakukan Abu Seman Kassim terhadap Ayden Firash Mohamad (kedua-duanya bukan nama sebenar).

FAZRU ANUAR

Jelas beliau, mengikut pendapat fuqaha, antara syarat yang mengharuskan proses berkenaan adalah harta yang dihibahkan masih menjadi milik anak atau cucu yang menerima hibah. Pada masa sama, ia masih berada dalam jagaan atau urusan penerima hibah.

“Apatah lagi dalam kes itu, datuk terpaksa menarik semula hibah tersebut bukanlah saja-saja, tetapi demi melunaskan hutang yang merupakan suatu kewajipan.

Baca juga Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

“Apa yang dilakukan oleh Abu Seman Kassim bukanlah suatu kesalahan, malah diizinkan oleh syarak kerana ia melibatkan hibah yang dibuat datuk terhadap cucunya. Paling penting, proses penarikan hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menegaskan, perbuatan mengambil semula pemberian tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai perilaku yang tidak elok.

“Yang penting pihak mahkamah berpuas hati bahawa semua rukun-rukun hibah telah dipenuhi mengikut kehendak undang-undang dan hukum syarak,” ujarnya.

Pun demikian, beliau menjelaskan, sekiranya tanah hibah itu sudah diusahakan atau dibangunkan rumah, pemilik asal tidak boleh menuntut semula harta yang sudah dihibahkan.

“Hal ini kerana berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan atau dipisahkan pada tanah yang telah dihibahkan. Sebagai contoh, penerima hibah menjahit kain yang diterima menjadi baju kemeja.

“Berdasarkan satu riwayat hadis daripada Imam Ahmad, bapa tidak diharuskan menarik semula hibah anaknya yang telah berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan,” terangnya panjang lebar.

Tarik balik hibah

HIBAH yang dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan hibah, Fazru Anuar menasihatkan agar semua pihak perlu mengetahui dan memahami konsep hibah dengan sebaiknya.

“Ketahuilah, kesahan sesuatu hibah itu berlaku apabila semua rukunnya iaitu pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan dan lafaz ijab kabul proses itu sempurna.

“Andai tidak disempurnakan, hibah itu boleh dipertikaikan kelak jika berlaku pertelingkahan. Justeru, digalakkan penghibah untuk mengadakan perbincangan antara waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Pexels

hutang
Isu,

Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

JIKA anda pernah meminjamkan wang kepada sesiapa, anda boleh amalkan doa ini supaya individu berkenaan membayar hutang mereka.

Dalam Islam, tiada masalah untuk berhutang demi keperluan hidup namun wang yang dipinjam itu wajib dikembalikan.

Menurut pendakwah, Ustaz Hadi Talhah, roh seseorang seolah-olah ‘tergantung’ selepas kematiannya sekiranya ada hutang yang tidak dilangsaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Dalam Islam sudah banyak dibahaskan perihal cara untuk melangsaikan hutang. Namun, lain pula halnya bagi seseorang yang ingin menuntut wang yang pernah dipinjamkan kepada orang lain.

Jika diikutkan sememangnya tiada dalil khusus yang memberi panduan kepada para pemiutang untuk mendapatkan kembali hak mereka.

hutang

BADLI SHAH ALAUDDIN

Demikian penjelasan pendakwah terkenal, Ustaz Badli Shah Alauddin dalam sebuah video yang disiarkan di laman sosial Youtube miliknya.

Pun begitu, kata beliau, ada satu kaedah paling ampuh yang boleh diamalkan iaitu berdoa.

Sering dipraktikkan oleh orang-orang tua dahulu, cara berdoa ini boleh diamalkan untuk melembutkan hati si peminjam wang untuk melunaskan hutang. Bahkan, Umar al-Khattab RA juga pernah mengamalkan kaedah serupa.

Jelas Ustaz Badli Shah, peristiwa tersebut berlaku suatu ketika apabila Umar tidak membahagikan rampasan perang kepada tentera setelah tamat berperang. Bilal membantah keputusan itu kerana bercanggah dengan amalan Rasulullah SAW. Maka, Umar pun berdoa pada waktu malam agar Bilal dilembutkan hati dan dapat menerima cadangannya.

Baca juga [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

Oleh itu, Badli Shah menasihatkan agar pemiutang mendirikan solat sunat Tahajud sebelum berdoa. Langkah-langkah seterusnya yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Mendirikan solat sunat Tahajud.
2. Selepas bacaan al-Fatihah rakaat pertama dan kedua, baca surah al-Insyirah (3 kali), an-Nas (4 kali), al-Ikhlas (7 kali)
3. Setelah selesai solat, zikir seberapa banyak yang mampu.
4. Berniat dalam hati serta berdoa kepada ALLAH agar dibukakan si peminjam untuk membayar hutang

hutang

BANYAKKAN berdoa memohon pertolongan ALLAH SWT supaya urusan dipermudahkan.

Selain itu, pemiutang juga boleh mengamalkan bacaan Yasin 7 Mubin. Cara melakukannya adalah dengan membaca surah Yasin terlebih dahulu. Setiap kali bertemu dengan kata ‘mubin’, berhenti seketika untuk berdoa sambil menyebut nama orang yang berhutang tersebut.

Dalam surah Yasin, terdapat tujuh tempat perkataan ‘mubin’ iaitu pada ayat:

hutang

hutang

Ustaz Badli Shah sekali lagi mengingatkan bahawa amalan doa ini tidak diambil daripada mana-mana dalil khusus. Sebaliknya, ia dikira sebagai salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah dengan pertolongan ALLAH SWT.

Ujarnya, “Walaupun tiada dalil secara khusus, namun boleh dijadikan sebagai ikhtiar kita. Duit (itu maknanya), doa, usaha, ikhtiar dan tawakal.”

Foto: Freepik & Unsplash

Wang sumbangan
Isu,

Menantu Wajib Beri Nafkah Pada Mertua? Ini Yang Perlu Kita Tahu

BAGI mereka yang baru menempuh alam rumah tangga, sudah semestinya ia suatu perkara yang asing. Masakan tidak, daripada hidup bujang, kini bukan sahaja berdua dengan pasangan, tetapi juga perlu menjaga hubungan baik dengan keluarga mertua.

Bukan apa, andai aspek itu diabaikan, pastinya suasana janggal akan menyelubungi diri biarpun sudah bertahun-tahun berkahwin.

Begitupun, persoalan tentang nafkah atau keperluan menanggung ibu bapa mertua masih lagi berlegar-legar dalam kalangan masyarakat.

Apa tidaknya, ibu bapa mertua umpama orang tua sendiri. Sewajarnya kedua-dua mereka dilayan sama rata.

Sebagai menantu, adakah kita perlu menanggung kedua ibu bapa mertua masing-masing? Bagaimana pula jika mertua menyuruh kita melunaskan hutang anak mereka yang juga adik ipar kita?

Terpanggil menjawab persoalan warganet, Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, setakat pembacaan dan kajiannya yang terhad, tiada mana-mana mazhab atau ulama menyatakan bahawa ibu dan bapa mertua merupakan tanggungjawab menantu untuk diberikan nafkah kepada mereka.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Cuma Mazhab Hanafi spesifikasikan tanggungan nafkah lebih luas berbanding tiga mazhab yang lain. Namun begitu, mertua tidak termasuk dalam senarai tersebut,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Agamawan itu kemudian mengemukakan pandangan dari perspektif Mazhab Syafie tentang perihal individu yang dikategorikan sebagai tanggungan ke atas ahli keluarganya, selain isteri.

Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam karangannya Asna al-Matolib menyatakan: “Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan iaitu furu’ (anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul (bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pak cik, mak cik sama ada lelaki mahupun perempuan, sama ada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak”.

Baca juga Jangan mengeluh ketika mencari rezeki Kerana Nafkah Halal Lagi Berkat Tuntutan Dalam Islam

Melihat ungkapan tersebut, ujar Dr Syed Shahridzan, jelaslah bahawa ibu bapa mertua bukan tanggungjawab nafkah bagi seorang menantu, apatah lagi ipar-duai.

“Ini kerana kedua-duanya bukan tergolong daripada keluarga punca (darah daging atau punca kelahiran). Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim mengetahui batas tanggungjawab nafkah masing-masing agar tidak mencabuli hak orang lain.

“Dalam hal ini, seorang menantu tidak wajib menanggung ibu bapa mertua tidak seperti kewajipannya menanggung ibu bapa kandungnya yang miskin. Apalagi hutang ipar-duai. Ia bukan menjadi kewajipannya, bahkan ia membebankan.

“Sedangkan dia ada tanggungan dan kewajipan nafkah yang perlu dilunaskan iaitu anak-anak, isteri dan ibu bapa kandung,” jelasnya.

Nafkah mertua

UTAMAKAN kewajipan nafkah kepada anak, isteri dan ibu kandung.

 

Ia selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mulakan dengan dirimu, maka bersedekah pada dirimu itu, jika ada lebihan maka untuk ahli keluarga kamu, jika ada lebihan dari perbelanjaan keluarga kamu maka untuk kerabat kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Andai kata, seorang menantu melunaskan hutang ipar-duainya sehingga menjejaskan hak anak dan isterinya, pendakwah itu menegaskan, tindakannya melunaskan hutang itu adalah haram kerana hak yang sepatutnya tidak diberikan kepada yang berhak.

“Oleh itu, jika si menantu itu melunaskan hutang atas arahan ibu mertuanya, maka ketaatan itu adalah salah di sisi syarak kerana menjejaskan hak orang lain.

“Namun, seandainya menantu tadi memiliki pendapat yang tinggi dan secara sukarela untuk membantu adik iparnya dengan melunaskan hutang atau menanggung keperluan ibu bapa mentua, maka tindakan ini dianggap terpuji di sisi syarak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Syed Shahridzan mengakui bahawa ibu bapa mertua juga punya hak terhadap menantu. Malah, kedua-dua mereka wajib dihormati sebagaimana orang tua kandung.

“Namun, hak tersebut tidak boleh disamakan dengan hak ibu bapa kandung terutama bab yang berkaitan dengan nafkah dan hutang piutang. Kedudukan ibu bapa kandung lebih tinggi berbanding ibu bapa mertua.

Nafkah mertua

HORMATI ibu bapa mertua sepertimana emak dan ayah kandung sendiri.

“Malah, jika ibu bapa kandung sendiri mengarahkan anaknya menanggung hutang adik beradiknya, maka si anak tidak wajib menuruti perintah ibu bapanya itu.

“Ini kerana hutang adik beradik bukan tanggungjawabnya dan ibu bapa kandung tiada hak untuk menentukan tanggungjawab nafkahnya.

“Hanya ALLAH SWT dan Rasul-NYA sahaja yang berhak menentukan. Jika ibu bapa kandung tiada hak sebegini, apatah lagi ibu bapa mertua. Tidak sewajarnya ia berlaku,” katanya.

Foto: 123rf, Freepik, Unsplash & Pexels

Hutang
Muamalah,

Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

BERHUTANG pada asalnya memang diharuskan dalam agama Islam. Keharusan itu dapat difahami daripada firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah berhutang dan menjadikan baju besinya sebagai cagaran kepada hutang berkenaan.

Saidatina Aishah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW berhutang dengan seorang Yahudi untuk membeli makanan dan mencagarkan baju besi baginda sebagai jaminan hutang itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Islam, akad pinjaman wang (qard) termasuk dalam kategori aqd al-rifq (akad belas ihsan).

Ini kerana matlamat atau maksud asasi daripada akad itu adalah untuk membantu pihak penghutang (peminjam) pada saat dia memerlukan pertolongan dalam bentuk memberi hutang.

Baca juga Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu

Atas asas itulah ALLAH SWT melarang keras pensyaratan atau penetapan bayaran balik hutang melebihi jumlah asal pinjaman. Lebihan tersebut diistilahkan sebagai riba.

Bukan itu sahaja, selari dengan sifat akad pinjaman itu sebagai aqd al-rifq, Islam amat menggalakkan pemiutang agar memberi kemudahan dan kelonggaran dalam bab pembayaran balik hutang kepada penghutang yang mu’sir iaitu penghutang yang berada dalam kesempitan dan ketidakmampuan untuk membayar balik hutangnya pada tarikh yang ditetapkan.

Hutang

APABILA berhutang, lunaskanlah ia mengikut tempoh yang ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menghilangkan suatu kesusahan Muslim daripada kesusahan dunia, nescaya ALLAH akan menghilangkan daripadanya kesusahan akhirat. Dan sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang mu’sir (kesulitan membayar hutang), nescaya ALLAH akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Dan ALLAH selalu menolong hamba-NYA selama hamba berkenaan menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Walaupun akad pinjaman wang atau berhutang itu pada asalnya adalah harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi haram dan berdosa sekiranya tujuan asal penghutang adalah untuk mengambil hak orang lain secara batil.

Pengambilan hak orang lain secara batil itu boleh berlaku dalam bab pinjaman wang apabila penghutang memang dari awal lagi tiada niat untuk membayar balik hutang kepada pemiutang atau sengaja melewat-lewatkan bayaran balik hutang sehingga akhirnya tiada bayaran dilakukan.

Hukum haram dan berdosa membuat pinjaman wang/berhutang tersebut boleh difahami daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.  Sabda baginda SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dalam sebuah hadis lain: “Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Melihat semua hadis berkenaan, dalam bab berhutang, pihak penghutang juga sewajarnya ‘mengaplikasikan’ sifat belas kasihan terhadap pemiutang selari dengan sifat akad pinjaman itu sebagai akad belas kasihan.

Sifat belas daripada pemiutang yang sanggup menolong penghutang dengan memberi pinjaman wang pada saat dia memerlukan bantuan sepatutnya dibalas balik dengan dengan sifat yang sama juga.

Ia diterjemahkan dalam bentuk kesediaan membayar balik hutang kepada pemiutang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melangsaikannya secepat mungkin.

Hutang

JIKA berkemampuan, usahlah kita sengaja melewat-lewatkan bayaran hutang yang pernah dibuat sebelum ini.

Oleh itu, orang yang cuai dan sengaja tidak mahu membayar hutang memang wajar mendapat penghinaan di dunia dan akhirat. Masakan tidak, dirinya telah melakukan perbuatan yang haram dan berdosa.

Malah, hukuman itu selari dengan hilangnya sifat belas kasihan daripada hatinya sehingga sanggup mengambil harta orang lain secara batil.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik

Berita Semasa,

Bayar hutang dengan mata wang lain, ini yang perlu kita tahu…

SEMUA orang sedia maklum tentang kewajipan membayar hutang. Jika sudah namanya berhutang, mahu atau tidak, ia perlu dilunaskan mengikut tempoh yang dijanjikan.

Ia sebagaimana apabila kita berhutang dengan institusi kewangan, setiap bulan ada amaun tertentu yang perlu dibayar kepada pihak bank berkenaan.

Alangkah bagusnya jika sistem yang sama turut digunapakai seandainya kita berhutang dengan orang lain. Tidak kiralah saudara mara mahupun kenalan.

Hakikatnya, sukar benar untuk perkara itu dilakukan sehinggakan ada banyak kes yang mana pemiutang terpaksa menuntut balik wang yang dipinjamkannya kepada penghutang.

Malah, ada juga yang sudah bertahun-tahun menuntutnya, tetapi masih tidak dapat semula wang yang pernah dipinjamkan.

Bercakap tentang hutang ini, jika kita pernah berhutang dengan menggunakan mata wang selain daripada ringgit, bagaimana ia perlu dilangsaikan? Adakah perlu menggunakan mata wang berkenaan juga?

Bolehkah jika wang tadi dibayar semula dengan mata wang ringgit? Namun, bagaimana pula dari segi pengiraannya sama ada mengikut kadar nilai semasa atau ketika kita pinjam wang tersebut?

Menjawab persoalan itu, pendakwah dan penulis, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, jika seseorang berhutang dengan sejumlah wang tertentu, maka menjadi kewajipannya untuk membayar hutang kepada pemiutang dengan jumlah yang dipinjam.

DR SYED SHAHRIDZAN

Katanya, apa yang dibayar semula itu tidak boleh kurang daripada jumlah itu melainkan dengan persetujuan pemiutang.

“Sebagai contoh, jika seseorang itu berhutang dengan rakan sebanyak AS$3,000, maka wajib ke atasnya membayar jumlah terebut kerana ini adalah janjinya kepada kawan tadi.

“Tambahan pula, ia adalah syarat yang telah ditetapkan ketika individu berkenaan berhutang dengannya,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu)

Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang Islam di atas syarat-syarat (yang telah ditetapkan ke atas) mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram”. (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis itu, jelas Dr Syed Shahridzan, kewajipan membayar hutang perlu dilangsaikan dengan amaun yang diberi hutang pada masa itu.

Namun begitu, beliau menambah, hutang berkenaan juga boleh dibayar dalam mata wang lain seperti ringgit asalkan mendapat persetujuan daripada pihak pemiutang dengan nilai semasa.

“Katakan hutang AS$3,000 tadi, ia perlu dibayar mengikut harga semasa contohnya RM4.20 x 3,000. Jika dibayar dengan kadar yang lama ketika diberi pinjaman, umpamanya RM3.80 x 3,000, maka ini akan menzalimi si pemiutang kerana pastinya dia akan mendapat jumlah yang kurang jika ditukar kepada mata wang dolar Amerika Syarikat.

“Ketahuilah, kewajipan membayar hutang dengan nilai mata wang terkini tidak dikira menzalimi penghutang tadi kerana sudah menjadi kewajipannya melunaskan jumlah yang dipinjam  dalam bentuk AS$ ketika itu,” ujar beliau.

Hutang

LUNASKANLAH hutang mengikut jumlah yang dipinjam pada masa yang ditetapkan.

Begitupun, jika mahu juga membayar dengan kadar nilai mata wang yang lama iaitu ketika ia dipinjam, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, ia boleh dilakukan dengan syarat pemiutang tadi bersetuju dan reda.

“Jika si pemiutang menuntut haknya yang penuh iaitu AS$3,000, maka penghutang tadi wajib memenuhi jumlah tersebut walaupun nilai ringgit Malaysia jatuh.

“Begitu juga jikalau nilai ringgit naik/kuat, penghutang tetap kena membayar dalam AS$,” katanya.

Agamawan itu turut memberikan contoh mudah untuk kita fahami tentang hutang yang boleh dibayar dengan mata wang berbeza atas persetujuan kedua-dua pihak, tetapi dengan mengikut jumlah wang yang dipinjam ketika itu.

“Dalam Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Nasai, Rasulullah SAW membenarkan Saidina Ibnu Umar RA menjual untanya dengan harga dinar (emas), kemudian menerima bayaran dalam bentuk dirham (perak), asalkan jumlah dirham bersamaan dengan jumlah dinar,” katanya.

Justeru, kita perlu melunaskan hutang mengikut jumlah yang dipinjam.

Tiada masalah untuk membayar menggunakan mata wang lain dengan persetujuan pemiutang, tetapi ia perlulah menggunakan nilai semasa.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil

Foto: Freepik

Berita Semasa,

Mahu bebas dibelenggu hutang? Amalkan doa ini

KEBANYAKAN daripada kita pasti pernah berhutang, tidak kiralah sama ada daripada orang lain, bank ataupun institusi berkaitan.

Berapa pun jumlahnya, ia wajib dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Namun, adakalanya kekangan tertentu membuatkan kita rasa ‘terhimpit’ untuk membayarnya. Barangkali ada perkara mendesak yang menyebabkan hutang itu ‘terbabas’ untuk dibayar.

Ia bukan bermaksud kita enggan membayarnya. Cuma kekangan tadi membuatkan diri kita sukar untuk menjelaskannya pada waktu itu atau bulan tertentu.

Masakan tidak, kita sendiri tidak tahu pasang surut kehidupan pada masa akan datang.

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.

Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

Ini doa yang dianjurkan sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis masyhur:

Pertama

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.

Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?”

Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, ALLAH akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?”

Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, ALLAH menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (Riwayat Abu Daud)

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.  Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

BERDOALAH semoga ALLAH memudahkan urusan kita dalam melunaskan hutang.

Kedua

Bahawa ‘Aisyah RA memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari azab kubur, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah Dajal, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Artikel berkaitan: Harus viralkan orang tak bayar hutang di media sosial?)

Ketiga

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang ENGKAU memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan ALLAH). Ya ALLAH! ENGKAULAH yang awal, sebelum-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang terakhir, setelah-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-MU. ENGKAULAH yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-MU. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.” (Riwayat Muslim)

Keempat

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!

Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, ALLAH akan selesaikanya untuk kamu?”

Saidina Ali berkata: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-MU daripada bergantung kepada selain-MU.” (Riwayat al-Tirmizi)

Begitu banyak doa yang boleh kita amalkan. Iringilah usaha kita untuk membayar hutang dengan doa yang dianjurkan.

Semoga ALLAH memudahkan urusan kita untuk melunaskan hutang sebelum ajal datang menjemput.

Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-180: Doa-Doa untuk Melangsaikan Hutang, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & https://news.detik.com/