Browsing Tag

Hutang tapi mahu bersedekah

Berita Semasa,

[VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

RAMAI orang sedia maklum tentang kelebihan apabila kita bersedekah. Ganjarannya bukan calang-calang.

Malah, rezeki bertambah murah andai kita melazimkan diri berbuat amalan mulia ini. Bukan itu sahaja, bersedekah juga boleh menolak musibah.

Disebabkan kelebihan dan imbalan tersebut, maka tidak hairanlah ramai yang memilih untuk melakukan sedekah walaupun jumlahnya kecil.

Namun begitu, andai diri kita masih berhutang dengan orang lain, tetapi tetap ingin melakukan sedekah sunat, adakah dibolehkan untuk berbuat demikian?

Apa hukumnya jika tetap bersedekah sekiranya masih lagi dalam proses membayar hutang?

Memperincikan lanjut, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah, membayar hutang adalah wajib, manakala bersedekah pula hukumnya adalah sunat.

“Justeru, keutamaan bersedekah adalah terletak di bawah keutamaan untuk membayar hutang.

“Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab ada dinyatakan bahawa tidak boleh bersedekah jika wang tersebut satu-satunya yang digunakan untuk membayar hutang. Lebih-lebih lagi jika tempoh membayarnya semakin hampir.

“Adapun, Imam Mawardi dan al-Ghazali pula menjelaskan, makruh untuk bersedekah ketika mempunyai hutang kepada orang lain,” katanya.

Namun, tambah beliau lagi, terdapat keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan kita bersedekah sunat.

“Ia termasuklah jika wang yang disedekahkan tersebut tidak mempengaruhi wang yang perlu dibayar untuk hutang.

“Satu lagi, terdapat jaminan yang kuat bahawa ada sumber kewangan lain yang boleh digunakan untuk membayar hutang dalam tempoh ditetapkan, lebih-lebih lagi jika ia mempunyai tempoh fleksibel.

“Apa pun, utamakanlah yang wajib terlebih dahulu baru mengerjakan yang sunat kecuali ada lebihan wang sebagaimana yang disebutkan tadi,” nasihat beliau.