Browsing Tag

Hutang puasa

Hutang puasa
Hukum,

Ambil tahu hutang puasa ibu dan ayah kita, ini sebab-sebabnya

Ambil tahu hutang puasa ibu dan ayah kita, ini sebab-sebabnya

BETAPA signifikannya kewajipan fidyah sehinggakan ia tetap perlu dilangsaikan meskipun jasad empunya badan sudah dimamah bumi.

Disebabkan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran mengingatkan agar waris mengambil tahu perihal hutang puasa ahli keluarga terutama ibu bapa masing-masing.

“Jika si mati ada hutang puasa, warisnya perlu membayarkan fidyah untuknya mengikut bilangan hari ditinggalkan dengan menggunakan harta si mati andai dia ada meninggalkan hartanya.

“Seandainya si mati tiada harta dan berada di bawah tanggungan anaknya, maka anak itu perlu membayar fidyah tersebut.

IMAM MUDA ARAN

“Sebab itu sebelum harta pusaka dan faraid diagihkan, hutang dengan ALLAH dan sesama manusia yang wajib dilangsaikan dahulu,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Culas bayar fidyah ibarat berhutang dengan ALLAH

Bagaimana pula jika seseorang tidak mampu membayar fidyah kerana kekangan kewangan dan pada masa sama tidak mampu berpuasa?

Menjawab tanda tanya itu, Imam Muda Aran menjelaskan, individu dalam kelompok golongan mu’sir (susah) iaitu tidak mampu ataupun harta yang ada padanya cukup-cukup untuk makan dan pakai dirinya sahaja, maka gugurlah kewajipan ke atasnya untuk membayar fidyah.

“Andai selepas itu dia hidup senang, maka tidak wajib untuk dirinya membayar (fidyah) tadi disebabkan kesusahan dialami sewaktu dalam keadaan taklif (diberi tanggungjawab),” ungkapnya.

Menyambung hujahnya, Imam Muda Aran menjelaskan, fidyah bukan sahaja dikenakan terhadap orang yang meninggalkan puasa Ramadan, tetapi juga denda itu terpakai kepada mereka yang melanggar ‘hukum’ ketika menunaikan haji, umrah dan seumpamanya.

“Dam (denda) dalam ibadah juga salah satu jenis fidyah,” ungkapnya.

Hutang puasa

FIDYAH bukan sahaja dikenakan terhadap orang yang meninggalkan puasa Ramadan, tetapi juga denda itu terpakai kepada mereka yang melanggar ‘hukum’ ketika menunaikan haji, umrah dan seumpamanya.

Waktu terbaik bayar fidyah

Memfokuskan perbincangannya terhadap fidyah puasa, ujar Imam Muda Aran, ia boleh dilakukan dalam beberapa keadaan sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan.

Baca juga Adakah anda tergolong dalam golongan wajib membayar fidyah puasa?

Mengambil contoh orang uzur dan tiada harapan sembuh, katanya, individu berkenaan boleh terus membayar fidyah berupa satu cupak beras selepas tamatnya hari pertama Ramadan.

“Individu tersebut boleh berbuat demikian setiap hari. Jika tidak, mereka boleh melakukannya selepas habis bulan Ramadan dengan kadar segera. Jangan bertangguh.

“Sahabat Nabi, Anas bin Malik RA pernah melakukan fidyah apabila dirinya tidak mampu berpuasa ketika sudah tua,” katanya.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa beliau lemah dan tidak mampu untuk berpuasa pada satu tahun. Maka beliau membuatkan satu piring besar dari tharid atau roti. Kemudian beliau memanggil tiga puluh orang miskin dan mengajak mereka makan hingga kenyang.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Hutang puasa

JIKA si mati ada hutang puasa, warisnya perlu membayarkan fidyah untuknya mengikut bilangan hari ditinggalkan dengan menggunakan harta arwah atau miliknya. -Foto: 123rf

Satu lagi contoh, Imam Muda Arab memberikan situasi mudah fidyah bagi wanita datang bulan yang tidak boleh berpuasa.

“Katakan seorang wanita tidak dapat berpuasa Ramadan selama tujuh hari kerana didatangi haid. Jadi, sebelum datangnya Ramadan tahun depan, dia perlu menggantikan semua puasa yang ditinggalkan.

“Andai sehingga Ramadan tahun depan tiba, dirinya tidak sempat ganti lagi puasa tadi, barulah dia dikenakan fidyah dan pada masa sama perlu mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu,” terangnya sambil menyarankan orang ramai untuk menyemak kiraan fidyah dengan merujuk pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

ANEKDOT

Benarkah fidyah berganda jika tidak bayar ikut tempoh?

– Terdapat khilaf fuqaha tentang gandaan fidyah.

Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

– Menurut Mazhab Syafie, kafarah dan fidyah tertangguh hendaklah digandakan.

– Ia sebagaimana qaul sahih iaitu: “Barang siapa yang terlewat mengqada Ramadan pada tahun itu, sedangkan ia berkemampuan melakukannya sehingga masuk Ramadan berikutnya, maka wajib ke atasnya (membayar fidyah satu hari satu cupak) di samping ia mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu pada pendapat yang sahih fidyah itu berulang dengan berulangnya tahun-tahun yang ia luput itu, dan sekiranya ia melewatkan qada puasanya sedangkan ia mampu berbuat demikian, maka jika ia mati pada tahun itu. Maka hendaklah dikeluarkan fidyah itu daripada pusakanya setiap hari dua cupak; satu cupak untuk qada dan satu cupak lagi untuk kelewatannya.”

– Bagaimanapun, semua kiraan fidyah tersebut bergantung kepada pihak berkuasa agama negeri. Ini kerana kadar bayaran dan gandaan itu tidak sama.

– Misalnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada tahun 2001 memutuskan, tidak wajib menggandakan fidyah, yakni hanya dibayar berdasarkan hari yang ditinggalkan sahaja biarpun sudah berlalu beberapa tahun.

Dalam situasi itu, fidyah bergantung kepada kemampuan pembayarnya iaitu:

  1. Andai pembayar fidyah dan kafarah terdiri daripada berkemampuan, pembayaran denda tertangguh itu hendaklah digandakan sesuai dengan qaul sahih dalam Mazhab Syafie.
  2. Tetapi jika pembayar dalam kalangan orang tidak berkemampuan, tidak perlu digandakan berdasarkan satu qaul lain dalam Mazhab Syafie.

***Sumber Pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal & https://akuislam.com/fekah/fidyah-puasa/

Foto: Canva