Browsing Tag

Hutang dan sedekah

Hulur wang
Isu,

Utamakan Hutang Berbanding Sedekah Walaupun Kepada Ibu Bapa

no comment

CERITA tentang hutang memang tidak akan habis jika dibahaskan sampai bila-bila. Namun, dalam keadaan wabak Covid-19 yang nampaknya tidak akan ternoktah dalam masa terdekat ini, lebih elok andai kita cakna tentang bab ini.

Bukan apa, barangkali pada masa inilah mereka yang pernah meminjamkan wang benar-benar memerlukannya saat ini. Ia bagi menampung kelangsungan hidup masing-masing.

Tambahan pula, ketika ini ramai yang memerlukan bantuan. Masyarakat Malaysia sememangnya begitu pemurah dalam hal sebegini.

Namun begitu, antara sedekah dan membayar hutang, mana satukah yang perlu diutamakan?

Barangkali seseorang itu ada hutang dengan orang lain sebanyak RM400. Pada masa sama, dirinya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bersedekah kepada ibu bapanya iaitu masing-masing sebanyak RM200.

Jika beginilah keadaannya dan kita dalam dilema, apa yang perlu diutamakan?

Baca juga Tak Halalkan Hutang Lama, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Menjawab persoalan itu, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, seandainya seseorang mampu membayar hutang sebanyak RM400, maka dahulukanlah melunaskannya berbanding dengan bersedekah kepada ibu bapa.

MUHAMMAD FAHMI

“Ini kerana membayar hutang itu wajib. Sementelah, sedekah pula adalah sunat,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini ketika menjawab persoalan dilontarkan oleh warganet.

Dalam hal itu, katanya, Rasulullah SAW ada memberikan panduan berkaitan dengannya.

Baginda SAW bersabda: “Seseorang yang mampu (untuk membayar hutang), lalu dia bertangguh untuk membayarnya, maka itu suatu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis qudis, ALLAH SWT berfirman: “AKU haramkan kezaliman atas diri-KU. Dan AKU jadikan kezaliman itu suatu yang haram untuk dilakukan sesama kamu. Maka janganlah kamu saling menzalimi.” (Riwayat Muslim)

“Justeru dalam situasi ini, berdasarkan hadis tersebut, maka membayar hutang adalah lebih utama berbanding bersedekah kepada ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan, tidak boleh bersedekah jika wang tersebut satu-satunya digunakan untuk membayar hutang. Lebih-lebih lagi andai tempoh pembayarannya kian hampir.

DA’I SYAFIQAH

“Begitupun, Imam Mawardi dan al-Ghazali pula menjelaskan, makruh untuk bersedekah ketika diri mempunyai hutang kepada orang lain,” jelasnya.

Namun begitu, ujar beliau lagi, terdapat keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan kita untuk melakukan sedekah sunat.

Antaranya jika wang yang ingin kita infakkan tadi tidak mempengaruhi duit yang perlu dibayar untuk hutang.

“Seperkara, adanya jaminan yang kuat bahawa terdapat sumber kewangan lain yang boleh digunakan untuk membayar hutang dalam tempoh ditetapkan terutama jika ia mempunyai tempoh masa yang fleksibel.

“Nasihat saya, utamakanlah yang wajib terlebih dulu. Barulah kerjakan mana yang sunat kecuali jika kita ada lebihan wang sebagaimana yang disebutkan tadi,” nasihatnya.