Browsing Tag

Hukum-hakam selawat

Rabiulawal
Hukum,

Rupanya ada hukum-hakam selawat yang ramai tidak tahu

SEPERTIMANA ibadah lain, selawat juga mempunyai hukum-hakam tertentu. Barangkali ramai yang tidak perasan tentang perkara itu.

Masakan tidak, boleh dikatakan saban hari lidah kita sentiasa melafazkan ungkapan mulia berkenaan ketika solat.

Ya, dalam sehari, sebanyak 10 selawat diucapkan seandainya kita tanpa gagal menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.

Itu tidak termasuk jika kita ada melafazkan ucapan selawat di luar waktu solat.

Sesungguhnya, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bukan sekadar anjuran semata-mata. Sebaliknya ia merupakan perintah daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

Baca juga 5 ‘Kuasa’ Selawat Yang Ramai Tidak Sedar

Semua itu jelas termaktub dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat telah berselawat ke atas nabi, wahai orang-orang yang beriman, selawatlah kamu ke atas baginda dengan selawat yang sebaik-baiknya. Dan orang-orang yang menyakiti ALLAH dan Rasulnya, dilaknat oleh ALLAH dan Rasulnya di dunia dan di akhirat dan disediakan balasan untuk mereka dengan azab yang hina.” (Surah al-Ahzab, ayat 57-58)

Hukum-hakam selawat

SELAWAT merupakan perintah ALLAH SWT kepada hamba-NYA.

Sudah tentulah apabila kita melakukannya, ada ganjaran yang akan menanti. Perkara itu ada disebutkan dalam banyak hadis masyhur.

Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang berselawat untukku sekali, ALLAH akan berselawat ke atasnya 10 kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam satu riwayat lain, Anas RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berselawat ke atasku sekali, ALLAH akan berselawat ke atasnya 10 kali, dibuang 10 kesalahan dan diangkat untuknya 10 darjat.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasa’i dan al-Hakim)

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

Memetik artikel bertajuk Selawat ke Atas Rasulullah SAW: Antara Ma’thur dan Bukan Ma’thur menerusi laman web myjurnal.mohe.gov.gov.my, Rasulullah SAW telah menerangkan tempat-tempat yang perlu untuk membaca selawat.

Kitab al-Azkar al-Nawawiyah memperincikan lanjut tentang tempat berkenaan seperti berikut:

i. Selepas tasyahud akhir.
ii. Selepas tasyahud awal.
iii. Dalam solat jenazah.
iv. Dalam khutbah.
v. Ketika nama Rasulullah SAW disebut.
vi. Pada akhir bacaan qunut.
vii. Selepas azan.
viii. Ketika berdoa.
ix. Ketika masuk masjid.
x. Ketika safa dan marwa.

Begitupun, ramai dalam kalangan kita tidak sedar bahawa berselawat juga mempunyai hukum-hakamnya tersendiri.

Dalam perkongsian hantarannya di laman sosial Facebook baru-baru ini, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menjelaskan, terdapat lima hukum-hakam selawat iaitu:

PU SALMAN

1. Wajib – Seumur hidup sekurang-kurangkan sekali terutama dalam solat pada tahiyat akhir, ketika khutbah Jumaat dan dalam solat jenazah.

2. Sunat muakkad – Ketika masuk ke masjid, keluar masjid, memasuki rumah yang kosong, tasyahud awal, menziarahi Nabi Muhammad SAW, menyebut nama baginda SAW, menulis nama Rasulullah SAW, selepas azan, dalam ceramah selepas memuji ALLAH, dalam surat selepas memuji ALLAH, semasa telinga berdesing, selesai berwuduk dan dilafazkan pada hari Jumaat.

3. Sunat tidak muakkad – Selain daripada yang dinyatakan di atas.

4. Makruh – Ketika berjimak, bersin, sembelih (salah satu daripada dua pendapat), makan atau menarik perhatian semasa jual barang.

5. Haram – Tidak boleh berselawat ketika melakukan perbuatan haram dan keji seperti berzina.

Hukum-hakam selawat

SEDANGKAN ALLAH SWT dan para malaikat turut berselawat, inikan kita pula hamba-NYA.

Justeru, andai kita mahu melafazkan ungkapan terpuji itu kepada Nabi Muhammad SAW, pastikan ia bertepatan dengan hukum-hakamnya.

Paling penting, jangan lokek untuk berselawat kerana itu antara manifestasi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW walaupun tidak pernah bersua dengan baginda.

Semoga amalan yang dilakukan itu menjadi asbab untuk kita menerima syafaat daripada kekasih ALLAH itu pada hari akhirat kelak.

Foto: 123rf & Freepik