Browsing Tag

Hubungan suami isteri

kazzle-john-delbo-6WoXynQkRto-unsplash
Berita Semasa,

[VIDEO] Ini perkara makruf dalam perhubungan suami isteri yang perlu kita tahu

MELAYARI perkahwinan yang bahagia memang menjadi dambaan bagi setiap insan. Itulah sebenarnya tujuan utama kita menghalalkan hubungan sebagai suami isteri yang sah.

Namun, menjadi resam kepada mereka yang sudah berumah tangga, pasti ada pasang surutnya. Masakan tidak, ketika hidup bersama, barulah kita mengenali pasangan sepenuhnya.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Begitulah ungkapan yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeliling.

Apabila hidup sebumbung, bergaduh manja dan berselisih pendapat memang menjadi perkara lazim. Apa yang membezakannya hanyalah cara setiap pasangan menangani situasi berkenaan.

Bagaimanakah caranya untuk kita hendak pastikan kerukunan hubungan suami isteri? Apakah perkara makruf dalam perkahwinan itu?

Menjawab persoalan itu, Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja, Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman mengajak umat untuk menyelami pernyataan yang pernah dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi tentang perihal hubungan suami isteri.

DR MOHD SUKKI

Jelas Imam al-Qurtubi yang menukilkan pandangan daripada Ibnu Abbas RA bahawa: “Sungguh, aku suka berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku.”

Berdasarkan ungkapan itu, jelaslah ada unsur memberi dan menerima dalam perhubungan suami isteri.

Baca juga Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya…

“Ada orang mahukan layanan terbaik daripada pasangan, namun dirinya pula tidak berbuat demikian kepada pasangannya,” ujarnya.

Beliau lantas mengemukakan firman ALLAH SWT dalam kitab suci al-Quran: “Dan antara tandat-anda kekuasaan-NYA ialah DIA menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-NYA antaramu rasa kasih dan sayang…“ (Surah ar-Rum, ayat 21)

Melihat ayat itu, katanya, jelas bahawa manusia dijadikan berpasang-pasangan supaya kita merasa tenang, kasih sayang, rahmat-merahmati dan belas kasihan.

“Di sinilah datangnya sikap tolong-menolong. Jika susah di luar, sama-sama juga susah di dalam rumah. Ia antara perkara makruf.

“Dalam konteks suami atau lelaki, makruf itu lebih kepada tanggungjawab memberi nafkah yang diwajibkan ke atasnya. Sediakanlah nafkah yang wajib seperti pakaian, tempat tinggal dan makanan isteri dengan sebaiknya.

“Jika isteri diberi layanan sebegitu, sudah pasti wanita itu rasa dihargai. Hasilnya mereka akan memberikan layanan yang paling istimewa kepada suami,” ujar beliau.

Hubungan suami isteri

PELIHARALAH kerukunan rumah tangga dengan melakukan segala perintah ALLAH kepada kita dan melunaskan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.

Justeru, jalankan tanggungjawab sebagai suami isteri dengan sebaiknya. Jangan lupa untuk menyantuni pasangan masing-masing demi kerukunan rumah tangga yang dibina.

Semoga ALLAH SWT merahmati dan mengurniakan keluarga yang sakinah dan mawaddah kepada kita.

Foto: Freepik & Unsplash