Browsing Tag

hisab

Mahkamah akhirat
Aqidah,

Fakta tentang mahkamah akhirat yang wajib diketahui

“WALAUPUN lepas mahkamah dunia, tidak lepas mahkamah akhirat. Orang yang ada iman, dia sanggup (terima) hukum di (mahkamah) dunia ini, jangan dihukum di akhirat.”

Demikian antara untaian kata yang dituturkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Rabu, selepas menyatakan beliau rela dipenjara berbanding membayar denda jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penulis tidak berhasrat mengulas panjang berkaitan posisi beliau sebagai ahli politik, cuma mengambil petikan ungkapannya yang mengingatkan kita kepada alam akhirat.

Ya, semua sedia maklum, amalan kita akan dihitung di mahkamah akhirat pada hari kiamat kelak. Tiada seorang pun yang akan terlepas daripada ‘perbicaraan’ tersebut.

Baca juga Ada manusia yang akan tenggelam di dalam peluhnya sendiri di akhirat kelak, semuanya bergantung kepada amalan di dunia

ALLAH SWT sudah memberikan gambaran tersebut menerusi kalam-NYA: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amal) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada ALLAH sesungguhnya ALLAH amat meliputi pengetahuan-NYA akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Mahkamah akhirat

KETIKA hari perhitungan kelak, mulut manusia tidak lagi boleh berbicara. -Foto: Freepik

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor, mulut manusia tidak lagi boleh berbicara pada hari perhitungan kelak.

Bukan sahaja setiap perlakuan dicatat di dalam buku amalan, malah tangan dan kaki dibenarkan ALLAH SWT untuk berbicara sebagai saksi atas perbuatan manusia ketika di dunia.

Baca juga Jari jadi saksi di akhirat kelak, ini sebabnya Rasulullah SAW gunakannya bila berzikir dan bertasbih

“Tiada insan yang benar-benar mengetahui perilaku sebenar ketika di dunia melainkan dirinya sendiri. Pada hari akhirat kelak, segalanya akan ditunjukkan tanpa sebarang keculasan pada catatan berkenaan.

“Ingatlah, ia bukan perkara kecil yang boleh dikesampingkan. Sebaliknya, ia penentu kepada masa depan kita di akhirat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasmi jabatan agama Islam itu.

Bagaimana rupa mahkamah akhirat nanti?

Pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin berkongsi tentang perkara tersebut di laman sosial Facebook miliknya.

USTAZ KAMILIN JAMILIN

Berikut proses yang dilalui ketika perhitungan manusia di mahkamah akhirat kelak sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran:

1. Kehadiran diiringi dan dikawal ketat.

ALLAH SWT berfirman: “Dan datanglah setiap jiwa (ke padang mahsyar), disertai (dua malaikat: Yang satu menjadi) pembawa dan (yang satu lagi menjadi) saksi.” (Surah Qaf, ayat 21)

2. Fail amalan tidak lagi rahsia.

Dalam Surah al-Isra’, ayat 13, ALLAH SWT berfirman: “Dan pada hari kiamat kelak KAMI akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk tatapan).”

3. Fail amalan dinilai dengan teliti.

Baca juga Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) KAMI akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa yang teraniaya sedikit pun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya KAMI akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung).” (Surah al-Anbiya’, ayat 47)

Mahkamah akhirat

SEGALA fail amalan kita akan diteliti sebaiknya di mahkamah akhirat kelak. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

4. Tiada unsur kezaliman.

ALLAH SWT berfirman: “Dan AKU tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-KU.” (Surah Qaf, ayat 29)

5. Tiada rayuan.

Dalam Surah Qaf, ayat 29, ALLAH SWT berfirman: “Keputusan-KU itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.”

6. Tiada peguam bela.

Ia sebagaimana disebutkan ALLAH SWT dalam mafhum-NYA yang bermaksud: “(Lalu KAMI perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan).” (Surah al-Isra’, ayat 14)

7. Tiada cable dan rasuah.

Firman ALLAH SWT: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun.” (Surah al-Syu’ara’, ayat 88)

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

8. Tiada yang terlepas.

ALLAH SWT berfirman: “Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.” (Surah Maryam, ayat 64)

9. Tiada ponteng.

Mahkamah akhirat

JIKA di dunia kita boleh berasalan cuti sakit kerana tidak sihat, namun di mahkamah akhirat kelak, tiada sesiapa boleh cuti atau ponteng untuk dihisab. -Gambar hiasan? Foto: Freepik

Dalam Surah Yasin, ayat 32, ALLAH SWT berfirman: “Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan KAMI, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).”

10. Tiada saksi tipu.

Firman ALLAH SWT: “Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.” (Surah al-Nur, ayat 24)

11. Menerima keputusan akhir dengan tangan. 

ALLAH SWT berfirman: “Maka sesiapa yang diberikan menerima kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu kitab amalku ini!” (Surah al-Haqqah, ayat 19)

Melihat kepada fakta yang disebutkan dalam al-Quran itu, sememangnya kita tidak dapat lari daripada proses hisab tersebut.

Hanya amal yang dilakukan sepanjang hayat di dunia menjadi bekalan buat akhirat yang kekal abadi. Paling penting, bersiap sedialah dengan banyak melakukan kebaikan untuk memenuhi bank amalan masing-masing.

Ingatlah neraca ALLAH tidak sama dengan timbangan manusia. Andai kita melakukan dosa, segeralah bertaubat dan memohon keampunan-NYA.

***Foto: Freepik 

Koleksi barang
Aqidah,

Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

MELIHAT koleksi barang di rumah orang lain kadangkala membuatkan hati kita berasa sedikit cemburu. Masakan tidak, kediaman sendiri tidak mempunyai perkakasan sebanyak itu.

Barangkali kerana faktor kewangan yang tidak mengizinkan mahupun ruangan terhad. Boleh jadi juga kerana tidak suka rumah ‘semak’ dengan barang yang diperlukan.

Maklum sahajalah, keperluan setiap orang dan sesebuah keluarga itu berbeza serta tidak sama. Tidak perlulah kita mengikut-ikut orang lain.

Jika dibeli juga, mungkin sahaja barang itu langsung tidak akan dipakai mahupun disentuh. Jangan sampai hal ini berlaku.

Pendakwah Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf menjelaskan, bukan sahaja harta, tetapi semuanya akan ditanya oleh ALLAH SWT untuk dihisab pada hari akhirat kelak.

Ia termasuklah tudung, cincin, bekas makanan, pinggan mangkuk dan sebagainya, terangnya.

IMAM MUDA ASYRAF

“Suatu perkara yang kita kena ingat, timbangan di dunia dengan hari akhirat tidak sama. Dalam al-Quran jelas dinyatakan, timbangan pada hari kiamat kelak sangat adil dan detil.

“Cuma bezanya, ada orang yang dihisab dengan begitu mudah dan ada pula yang sukar. Umpama sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis. Ada orang, polis tengok sahaja, dia boleh terus lalu, tetapi terdapat juga yang mana kenderaannya diperiksa dan bonet kereta dibuka. Begitulah terperincinya timbangan di akhirat nanti.

Baca juga Ada Manusia Yang Akan Tenggelam Di Dalam Peluhnya Sendiri Di Akhirat Kelak, Semuanya Bergantung Kepada Amalan Di Dunia

“ALLAH SWT akan tanya, mana pergi tempat ini? Ke mana kamu gunakan? Untuk tujuan apa kamu dapat? Dari mana kamu dapat duit untuk beli benda ini? Semuanya akan ditanya oleh ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook SINAR.

Andai ia melibatkan amal soleh, Imam Muda Asyraf menjelaskan, ia tidak akan menyusahkan kita kerana begitu senang untuk dihisab oleh Yang MAHA ESA.

“Akan tetapi, kalau kita ada masalah iaitu benda yang Tuhan beri itu kita gunakan pada jalan tidak betul ataupun perolehan kita dapat tak betul untuk beli barang-barang tersebut, pasti hisab itu merupakan hisab yang sangat menakutkan.

“Itulah namanya timbangan pada hari akhirat, tidak sama macam di dunia,” ungkapnya.

4 perkara ditanya di akhirat

Senada dengan Imam Muda Asyraf, Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma, Ustaz Syamil Esa menegaskan, setiap nikmat yang kita kecapi akan dihisab dan disoal termasuk segala pakaian, makanan dan ilmu pengetahuan.

USTAZ SYAMIL

Perkara itu jelas berdasarkan sebuah riwayat masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak dua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti hinggalah dia ditanya mengenai empat perkara: mengenai umurnya di mana dia habiskan, mengenai waktu mudanya ke mana digunakan, mengenai hartanya dari mana dia dapatkan dan ke mana dia belanjakan, dan mengenai ilmunya ke mana dia amalkannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bahkan, ALLAH SWT berfirman: “Kemudian kamu akan ditanya mengenai nikmat-nikmat (dikurniakan).” (Surah at-Takathur, ayat 8)

Berdasarkan nas tersebut, ujar Ustaz Syamil, jelaslah segala apa yang berkaitan dengan pemilikan kita akan dipersoal ke mana ia digunakan.

Baca juga Kenali golongan yang muflis di akhirat… Jangan sesekali menjerumuskan diri

“Tidak salah untuk membeli pakaian baharu atau menyimpan barang-barang tertentu, ia juga sebahagian daripada perkara halal yang diizinkan oleh syariat.

Koleksi barang

-FOTO: FREEPIK

“Namun dalam berbelanja dan mengumpul harta benda serta aset, ia perlu diseimbangkan dengan kebertanggungjawaban kita di dunia dan apa pula yang kita sediakan jawapannya di akhirat,” ungkapnya.

Justeru, berfikirlah terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu. Jangan sampai kita boros dan membazir kerana ia bercanggah dengan sifat yang dianjurkan oleh Islam.

Bagi mereka yang mempunyai koleksi barang yang tidak dipakai, lebih baik ia disedekahkan kepada orang memerlukan. Boleh juga ia dimanfaatkan dan kita juga akan beroleh ganjaran pahala.

Renungkanlah bait-bait kalamullah ini: “…Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih, (ingatlah) pada hari ketika emas dam perak dipanaskan di dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diselar dengan dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah, ayat 34-35)

***Foto: Freepik