Browsing Tag

hipokrit

Wanita
Berita Semasa,

Buka tudung sebab tak nak hipokrit, matlamat tidak menghalalkan cara

Buka tudung sebab tak nak hipokrit, matlamat tidak menghalalkan cara..

ISLAM tidak menolak fesyen, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam menjaga setiap kemaslahatan (kebaikan) dan keadaan.

Agama juga telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita, bahkan perintah menutup aurat ini telah banyak difirmankan oleh ALLAH SWT menerusi kalam-NYA.

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada ALLAH dan rasul-NYA. Sesungguhnya ALLAH (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai “Ahlu Bait”, dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Surah al-ahzab ayat 33)

Berbalik kepada asas aurat, bagi lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi wanita pula terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan.

IMAM MUDA HASSAN

Walaupun ada perbezaan pada waktu tertentu, namun sebagai seorang Muslimah pastinya kita telah dididik sejak kecil untuk menutup aurat dan berpakaian mengikut akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

Demikian perkara ini juga ditekankan oleh pendakwah bebas, Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan perihal menutup aurat itu merupakan perkara wajib.

Ujarnya, dalam apa keadaan pun, tiada alasan untuk nak kata tak wajib, sebab ia wajib. Jadi, siapa yang tidak menutup aurat itu, haram.

Artikel Berkaitan 

“Bagi wanita yang membuka tudung dengan alasan tidak mahu hipokrit dan nak menjadi diri sendiri, ia sama sekali tidak akan menggugurkan hukum wajib itu.

“Memakai tudung dan menutup aurat itu wajib. Tak ada alasan untuk tidak memakainya bagi wanita Islam. Sebagai contoh juga, solat lima waktu yang hukumnya wajib dilakukan.

“Jadi, kita tidak bolehlah kata, saya tak nak solat sebab tak ikhlas, tak nak solat sebab suka berjudi, tak nak solat sebab saya riak, pelbagai alasan itu tidak boleh diterima sebab hukumnya wajib. Tetap kena solat dalam apa jua keadaan dan tak alasan untuk kita tak nak buat,” katanya kepada sebuah laman berita tempatan.

Perempuan berusia

BERFESYEN dibolehkan di dalam Islam selagi mana fesyen itu cukup syarat menutup aurat dan tidak melampaui batas.

Tak nak hipokrit, hukumnya tetap wajib menutup aurat

Menurut Imam Muda Hassan lagi, solat juga tidak akan gugur hukumnya sama seperti menutup aurat. Benda yang wajib itu tetap kena buat.

“Di sini, apa-apa situasi pun tak boleh kita kata hipokrit, tak hipokrit, riak, tak riak ke sebabnya hukum tetap hukum, wajib tetap wajib.

“Jadi seseorang wanita itu nak berhijrah menutup aurat, hijrahlah bersungguh-sungguh. Jangan dibuat sekerat jalan, sebab takutnya kita mempermainkan agama pula.

Turut Disyorkan Mat Tudung, bukan sekadar cerita tetapi soal hukum Islam

“Apapun, tudung ini kalau nak berfesyen tiada masalah. Dalam Islam, tak adalah sampai tak boleh ikut fesyen langsung. Masih boleh berfesyen, tinggal lagi jangan sampai melampau-lampau. Cukup sekadar berpada-pada.

“Maksudnya, selagi mana fesyen itu cukup syarat menutup aurat. Kemudian, tidak melampaui batas, pada saya ia okay lah.

“Pada masa kini, didapati pemakaian tudung dalam kalangan segelintir wanita termasuk golongan selebriti umpama mengikut ‘trend’.

“Apabila mahu memakainya, mereka pakai. Kemudian apabila tidak mahu, ditanggalkan begitu saja dengan alasan tertentu seperti ingin menjadi diri sendiri,” katanya.

Berita Semasa, Panduan,

Cakap tak serupa bikin, ALLAH benci orang yang tak beramal dengan apa yang dia cakapkan

“JANGAN tengok apa yang dia buat, tapi dengarkan apa yang dia nasihatkan kepada kita.”

Ayat tersebut sering kali kita dengar dituturkan oleh orang di sekeliling. Kadang-kadang rasa macam tak boleh terima pula.

Apa tidaknya, kita disuruh buat begitu dan begini, tapi orang yang menasihati kita tadi langsung tak mencerminkan apa yang diperkatakannya dan tidak sebegitu sifatnya. Macam manalah orang nak ikut.

Orang ‘naik’ menyampah lagi adalah. Itu yang selalu orang gelar sebagai ‘cakap tak serupa bikin’. Sabar sajalah kalau jumpa orang macam ini ya.

Tapi dalam Islam, bukan ke ALLAH SWT tak suka manusia yang hipokrit? Bagaimana kalau nasihat yang diberikan orang itu tidak seiring dengan usaha untuk berubah? Apa pandangan Islam tentang perkara ini?

Ya, memang benar ALLAH tidak menyukai orang yang berkata-kata, tetapi tidak melakukan seperti apa yang dituturkannya.

Dalam erti kata lain, orang tersebut sering menasihati orang lain, tetapi dirinya sendiri tidak berubah dan mengikuti apa yang telah dia nasihatkan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Daripada ayat ini, dapat difahami bahawa setiap apa yang kita tuturkan, perlulah diselangi dengan amal. ALLAH SWT membenci orang yang tidak beramal dengan apa yang dituturkan.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW telah memberi dan menunjukkan kepada kita panduan dalam beramal.

Dalam sebuah yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia! hendaklah kalian beramal menurut kemampuan kamu kerana ALLAH SWT tidak akan pernah bosan sehingga kalian sendiri yang bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai ALLAH SWT, adalah amalan yang dikerjakan secara berterusan meskipun sedikit.” (Riwayat Muslim)

Justeru, kita kena jadi manusia yang cakap biarlah serupa bikin. Tiada masalah nak nasihat orang lain, asalkan apa yang kita nasihatkan itu pun kita lakukan.

Setidak-tidaknya tunjukkanlah contoh yang baik. Barulah orang pun respect dengan nasihat yang dilontarkan. Kita pun seronok nak dengar nasihat daripadanya lepas ini.
Kalau boleh, biarlah amal yang kita lakukan itu istiqamah sampai bila-bila walaupun hanya sedikit.

Seperkara lagi, janganlah sebarkan lagi frasa yang menyatakan bahawa ‘perlu menerima nasihat walaupun daripada seorang pelacur’ yang didakwa sebagai sebuah hadis.

Sebenarnya, frasa berkenaan tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadis. Tidak diketahui akan matannya dan rawi hadis tersebut.

Justeru, jangan memandai-mandai pula gunakan frasa ini sesuka hati ya. Berdosa tau sebar hadis palsu.

Sumber: Irsyad al-Hadis Siri ke-2: Hadis “perlu menerima nasihat walaupun daripada seorang pelacur?”, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Unsplash