Browsing Tag

Hina Rasulullah

Hina Rasulullah
Isu,

Zahirkan kebenaran Islam dari pelbagai dimensi, solusi ampuh tangani isu hina Rasulullah SAW dan agama

MENGHINA Rasulullah SAW suatu perbuatan yang tidak dapat diterima ramai. Lebih-lebih lagi umat Islam kerana baginda ialah nabi yang diutuskan oleh ALLAH SWT untuk memberikan khabar gembira dan peringatan, selain menyempurnakan akhlak umat manusia.

Justeru, perbuatan menghina dan dihina merupakan suatu yang sangat keji. Kedua-duanya bersifat negatif dan meninggalkan kesan yang sangat negatif. Ia sudah terbukti dalam pelbagai sudut keilmuan, termasuk psikologi, antropologi dan juga sosiologi. Ia boleh menggugat nilai kemanusiaan dan akhirnya membawa kepada perpecahan, malah huru-hara kepada dunia.

Semua agama berhasrat untuk membawa pengikutnya kepada kebaikan. Menghina dan dihina sentiasa menjadi sesuatu yang amat terlarang dalam mana-mana agama di dunia. Jadi, jika ada mana-mana agama yang menjurus kepada yang negatif, ia menjadi satu kesalahan dan boleh sehingga dianggap sesat dalam konteks keagamaan.

Bercerita tentang agama, kita tidak boleh lari daripada konteks kebenaran daripada sudut keimanan dan keilmuan. Apa yang diimani mestilah melalui suatu proses kekukuhan logisme dan melampaui keraguan, sehingga tidak lagi wujud sebarang keraguan terhadap kepercayaan dan keimanan tersebut.

Keraguan terhadap sifat-sifat Tuhan yang diimani, keraguan terhadap wahyu yang diyakini juga boleh membawa kepada ketidaksahihan perkara yang dianuti. Setiap penganut harus menyedari hal ini. Ini termasuk dalam amalan-amalan yang janggal daripada sudut keilmuan dan tidak menepati kesan-kesan saintifik sesuatu amalan.

Ganggu gugat keimanan

Menyorot tentang isu yang sering melanda umat Islam di dunia, antara lain penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, ia memberi kesan emosi dan mengganggu-gugat terhadap keimanan penganutnya. Perkara ini juga mencemar fikiran anak-anak generasi Muslim.

Hina Rasulullah

KEDIAMAN Javed Ahmad Shah dirobohkan oleh pihak majlis perbandaran tempatan di Atala di Prayagraj, New Delhi, kerana menganjurkan protes menentang penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW.

Bukan sekali, malah sudah berkali-kali umat Islam diheret ke dalam isu ini sehingga ia menjadi isu dunia. Episod demi episod berkisar penghinaan Nabi Muhammad, nabi-nabi lain serta para sahabat baginda Rasulullah, perlecehan terhadap al-Quran dan al-Hadis, penzahiran pelbagai perkara buruk tentang Islam termasuklah penulisan karya sampah seperti The Satanic Verses oleh Salman Rushdie laknatullah hinggalah pembikinan filem-filem dan karikatur yang memaparkan imej baginda Rasulullah SAW. Hal ini sesungguhnya melahirkan kesan buruk kepada psikologi dan Islamophobia.

Baca juga Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

Terkini, apa yang berlaku di India Jun lalu. Terdapat ahli politik di India yang menghina Nabi Muhammad SAW sehingga kerajaan mereka terpaksa memecat dan memperbetulkan keadaan setelah ditentang hebat oleh negara-negara Islam, khususnya negara-negara Islam yang berpengaruh di dunia.

Apa yang menghairankan, sering kali Islam dikaitkan dengan perkara yang negatif, tetapi tidak agama-agama lain. Begitu juga tentang pencetus ketidaktentuan dunia, juga sering dikaitkan dengan Islam dan masyarakat Islam. Sedangkan realitinya, ia tidak benar sama sekali.

Merujuk kepada sumber wahyu yang menjadi tonggak kepada kesucian Islam, Nabi Muhammad diutuskan untuk membawa rahmat kepada semesta alam. Ini dijelaskan oleh ALLAH, Tuhan semesta alam di dalam wahyu yang tidak dapat disangkal sehingga kini tentang ketulenan dan keabsahannya.

Surah Al-Anbiya’, ayat 107: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”

Penjelasan rahmat itu, pastinya membawa kasih sayang, hidup yang harmoni, membawa keamanan kepada dunia.

Baca juga Hina Nabi Muhammad cetus kemarahan umat Islam

Selain itu, banyak lagi ayat lain yang menjalaskan motif dan tujuan utama Nabi Muhammad diutuskan sebagai rasul dan nabi terakhir itu.

Impak besar kepada integriti

Suatu pengakuan yang jelas daripada lidah baginda sendiri dengan riwayat yang sahih lagi masyhur, baginda tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak. Akhlak melampaui moral dalam konteks perbahasannya. Akhlak membawa impak yang besar kepada integriti, amanah, jujur, yang menjadi asas kepada hidup bersama yang aman dan harmoni.

Hina Rasulullah

NABI MUHAMMAD SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.

Sesuatu yang tidak dapat dielakkan, apabila menjelaskan sesuatu kebaikan berasaskan rujukan yang diyakini oleh penganut agama itu sendiri, pasti akan ada penentangan kerana mungkin apa yang dinyatakan itu bias atau melalui sesuatu pertimbangan yang tidak adil atas kerana kecenderungan hati kepada apa yang sudah diyakini benar.

Saya suka untuk merayu kepada mana-mana pihak yang inginkan kebenaran tentang agama Islam agar merujuk kepada sumber aslinya iaitu ilmuan Islam itu sendiri. Saya juga ingin menyeru kepada seluruh umat Islam agar dapat menampilkan apa yang sebenarnya pengajaran dan pembelajaran dalam Islam itu dalam bentuk penampilan peribadi dan akhlak Islam itu sendiri. Ini memudahkan orang bukan Islam agar tidak keliru terhadap ajaran Islam itu sendiri.

Tindakan provokatif mana-mana pihak terhadap agama Islam seharusnya disambut dengan dada yang terbuka bagi umat Islam sebagai satu peluang keemasan untuk terus memperjelaskan apakah itu Islam yang sebenar. Kita teruskan menyeru kepada keesaan Tuhan, menampilkan keadilan sistem Islam terhadap semua golongan yang membawa kebaikan dan kestabilan kepada dunia yang lebih luas.

Dakwah yang paling berkesan adalah melalui perlaksanaan yang tepat tentang apa yang ada di dalam agama Islam itu sendiri. Surah An-Nahl, ayat 125 sudah pun memperingatkan kita tentang hal ini.

Baca juga Asal nak buat baik ada saja halangannya, ini sebabnya kenapa

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, DIA-lah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-NYA dan DIA-lah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

Hina Rasulullah

TINDAKAN provokatif mana-mana pihak terhadap agama Islam seharusnya disambut dengan dada yang terbuka bagi umat Islam dan itulah detiknya untuk kita menzahirkan kebenaran agama suci itu dari pelbagai dimensi.

Sesuatu yang terbaik adalah dengan cara kita semua umat manusia agar kembali kepada Tuhan YANG MAHA ESA. Dunia sudah berada kepada kemajuan yang pesat dengan pelbagai dimensi. Kita sepatutnya sudah tidak keliru lagi tentang Tuhan. Oleh yang demikian, apa jua isu tentang penghinaan terhadap Islam dan umat Islam seharusnya kita tukarkan kepada peluang yang ampuh untuk kita zahirkan kebenaran Islam dalam pelbagai dimensi dan berupaya menyelesaikan masalah dan kemelut dunia dalam pelbagai cabang kehidupan, termasuk ekonomi, sosial, mahupun politik.

***Artikel ditulis oleh Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Shah Jamlus

Foto: AFP & Freepik