Browsing Tag

hilangkan kekotoran

Istinjak
Ibadah,

Hilangkan kekotoran dulu sebelum istinjak, ini cara yang betul

TIDAK perlu diulas panjang lebar tentang istinjak dan bab kebersihan diri. Semua orang memang pandai dalam perkara itu kerana ia merupakan asas dalam kehidupan.

Namun begitu, ramai yang tidak sedar mungkin selama ini cara istinjak mereka tidak begitu sempurna.

Sedangkan kesempurnaan itulah yang perlu dititikberatkan memandangkan ia mempunyai perkaitan dengan perihal ibadah seharian dilakukan.

Pendakwah Ustaz Adnin Roslan mengingatkan, istinjak yang tidak betul atau tidak membasuh najis dengan baik akan menyebabkan pakaian kita kotor, sekali gus menjadi punca ibadah dilakukan tidak sah.

USTAZ ADNIN

Bahkan, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan hal itu dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Kebanyakan azab kubur itu berpunca dari air kencing.” (Hadis Riwayat Musnad Ahmad)

Lantaran itu, pendakwah tersebut mengingatkan kita agar tidak memandang remeh tentang soal kebersihan diri daripada najis.

“Nampak saja macam kecil, tetapi hakikatnya kalau tak jaga, boleh kena azab kubur. Na’uzubillah.

“Itu baru cerita bab kencing, belum lagi tentang soal bersihkan diri daripada najis mughallazah (berat). Berapa ramai orang hari ini yang terpegang anjing atau babi, tetapi tidak tahu kena sertu atau cara menyertunya,” ujar beliau menerusi perkongsian video dalam Instagram miliknya.

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

Dalam hal itu, mantan Timbalan Mufti Negeri Selangor, Datuk Abd Majid Omar pernah menghuraikan panjang lebar tentangnya di laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Jelas beliau, seseorang perlu melakukan istibra’ sebelum istinjak. Menurut Ibn Arafah, istibra’ didefinisikan sebagai menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis iaitu qubul dan dubur.

“Ini bermaksud, membersihkan air kencing, tahi, air mazi, wadi dan mani.

“Antara perkataan yang ada hubung kaitnya dengan istibra’ adalah istinqa’, istinzah dan istintar. Kesemua perkataan itu membawa makna membersihkan kedua-dua tempat keluar najis daripada apa yang keluar darinya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi www.muftiselangor.gov.my.

Istinjak

SELEPAS membuang air besar atau kecil, bersihkan tempat keluarnya najis dengan sempurna. -FOTO: FREEPIK

Hukum istibra’

Dari segi hukum, Abd Majid menjelaskan, sebilangan ulama Mazhab Syafie dan Hambali mengatakan sunat dengan berhujah bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi.

Namun, ada sebahagian ulama Mazhab Syafie berpendapat, istibra’ itu wajib hukumnya dan demikian juga pandangan ulama Mazhab Hanafi dan Maliki.

“Mereka yang mengatakan hukum istibra’ itu wajib berdalilkan hadis ad-Daraquthni yang mengandungi suruhan membersihkan kemaluan daripada air kencing kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya.

“Begitu juga dengan hadis riwayat Imam al-Bukhari yang mana Nabi Muhammad SAW meletakkan pelepah kurma yang basah di atas kubur orang tidak beristibra’ dengan bersih daripada kencingnya dan pusara seorang yang berjalan dengan mengadu domba,” katanya.

Baca juga Larangan Istinjak Dengan Tangan Kanan

Meskipun demikian, agamawan itu menjelaskan, semua mazhab bersetuju bahawa jika seseorang yang berhadas kuat sangkaannya bahawa hadasnya ada yang masih belum habis dan berhenti keluar, maka tidak sah wuduknya tanpa beristibra’.

Ia bersandarkan kepada kata sepakat para ulama dalam menentukan bahawa suatu hukum itu boleh dibina berdasarkan sangkaan kuat, ungkapnya.

Istinjak

KEMUDAHAN yang ada sekarang seperti kertas tandas sebagai alat istinjak, ia boleh membantu mengesan sama ada masih ada sisa najis yang tinggal atau sudah bersih dengan yakin. -FOTO: FREEPIK

Istibra’ itu dilakukan sama ada untuk membersihkan kotoran daripada dubur atau untuk membersihkan air kencing. Jika dilakukan untuk membersihkan najis daripada dubur, maka memadai dilakukan sekira-kira dia merasakan bahawa tidak ada yang tinggal atau tersisa di tempat keluarnya.

“Dengan kemudahan yang ada sekarang seperti kertas tandas sebagai alat istinjak, ia boleh membantu mengesan sama ada masih ada sisa najis yang tinggal atau sudah bersih dengan yakin. Cara ini adalah lebih baik. Ia disebut dalam ayat 108, Surah at-Taubah,” katanya.

Istibra’ bagi lelaki dan perempuan

Andai melibatkan istibra’ untuk membersihkan air kencing bagi wanita, Abd Majid menjelaskan, mereka tidak dituntut melakukan demikian.

Baca juga Guna tisu basah ketika istinjak? Hati-hatilah kerana ia masih dikira menanggung najis

“Ulama Mazhab Hanafi mengatakan, memadai dengan menunggu seketika sebelum beristinjak, manakala para ulama Mazhab Syafie dan Hambali menyatakan, dituntut istibra’ dengan cara menekan ari-arinya,” jelas beliau.

Sementara itu, bagi kaum Adam, agamawan itu menjelaskan, istibra’ dilakukan dengan apa cara yang terbiasa dilakukannya dengan syarat perbuatan tersebut tidak mengheretnya ke arah waswas syaitan atau membawa kepada menyusahkannya.

Ini kerana di antara adab istibra’ adalah untuk membuang perasaan waswas daripada dirinya.

Istinjak

-FOTO: FREEPIK

“Untuk seseorang lelaki menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya adalah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan dari pangkal batang hingga kepalanya sebanyak tiga kali, sehinggakan tidak tersisa rasa basah di lubang zakar.

“Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kiri di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jari di atas zakar. Kemudian, dia mengurutnya turun ke kepala zakar dan disunatkan memicit dengan lembut untuk mengeluarkan saki-baki air kencingnya,” katanya.

Tidak kiralah bagaimana cara beristibra’, tetapi Abd Majid mengingatkan bahawa tujuannya hanyalah satu iaitu untuk menghentikan aliran air kencing.

Baca juga 2 masalah berkaitan air yang sering berlaku yang wajib kita ambil tahu…

“Barangkali ada yang terpaksa berulang kali melakukannya untuk memastikan ia benar-benar telah terhenti dan ada pula yang hanya berdehem-dehem.

“Apa jua caranya, jangan sesekali membalut zakar dengan kain atau seumpamanya untuk menghentikan air kencing keluar. Makruh hukumnya berbuat demikian.

“Seperkara lagi, makruh memakan masa lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan istibra’,” pesan beliau.

***Foto: Freepik