Browsing Tag

hilang harta

Terlalu berkira
Isu,

2 cara elakkan harta hilang menurut Islam

HILANG harta benda memang begitu memeritkan. Apatah lagi jika kita berusaha berhempas-pulas membanting kudrat untuk mendapatkannya.

Malah, adakalanya ia perlu disimpan bertahun-tahun agar supaya segala barang yang berharga semakin membiak untuk kegunaan pada masa hadapan dan tujuan kecemasan.

Walaupun semua tahu bahawa harta itu merupakan rezeki kurniaan ALLAH SWT, namun ia tidak datang bergolek begitu sahaja. Sebaliknya, kita tetap perlu berusaha, bertawakal, bersyukur dan berdoa untuk memperolehnya.

Maka tidak hairanlah mengapa ada orang begitu sedih apabila kehilangan harta benda dalam sekelip mata.

Baca juga Jumpa Harta Benda Tidak Diketahui Pemiliknya Ketika Banjir, Berikut Tatacara Menguruskannya

Menerusi ciapan di Twitter, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkongsi bahawa terdapat dua cara untuk mengelakkan harta kita daripada hilang dan senantiasa dalam lindungan ALLAH SWT.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

“Pertama sekali, kita hendaklah sentiasa mengucapkan alhamdulillah atas nikmat harta tersebut.

“Satu lagi adalah dengan menggunakan harta itu pada jalan ketaatan kepada ALLAH SWT. Misalnya dengan bersedekah, belanja makan, wakaf dan sebagainya,” kongsi beliau.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

Ketahuilah bahawa kedua-dua cara yang dianjurkan tersebut juga merupakan manifestasi syukur seorang hamba kepada Sang Pencipta, ungkap Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu.

Masakan tidak, ujar beliau lagi, sifat berkenaan sebenarnya tersirat pebagai kelebihan yang bukan calang-calang.

Perkara tersebut jelas dinyatakan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memperingatkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-KU), pasti azab-KU sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menerusi ungkapan hadis berkenaan, Ustaz Muhammad Fahmi berkata, jelaslah bahawa perbuatan menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas segala nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT itu sebenarnya akan mendatangkan lagi nikmat lain yang belum kita peroleh.

Harta

ZAHIRKAN kesyukuran kita kepada ALLAH SWT atas segala nikmat kurniaan-NYA yang tidak terhitung jumlahnya.

Baca juga Jangan mendongak atau mengeluh, lihatlah orang yang lebih rendah daripada kita untuk belajar bersyukur

“Ia merupakan antara kelebihan utama kita bersifat sedemikian. Bukan itu sahaja, para ulama berkata, dengan bersyukur juga, nikmat sedia ada akan kekal terpelihara,” ungkapnya.

Namun begitu, kita tidak boleh bersyukur saat diri diulit dengan kesenangan sahaja, tetapi apabila dibadai kesukaran, semua itu dianggap ujian yang pedih.

Ketahuilah bahawa segala kesenangan, kesusahan, kegembiraan waima kesedihan pada hakikatnya merupakan ujian buat orang yang beriman.

Tidak kiralah apa jua aturan yang ditetapkan oleh ALLAH SWT, terimalah dengan hati yang berlapang dada.

Jangan sesekali kita kufur terhadap nikmat tidak terhitung yang telah diberikan oleh ALLAH SWT kepada diri kita.

Harta

IKHLASKAN hati dan diri ketika melakukan sedekah atau pemberian agar ALLAH SWT menambah lagi kurniaan-NYA kepada kita.

Sebaiknya, contohilah sikap Rasulullah SAW yang tidak pernah lupa menzahirkan kesyukurannya kepada ALLAH SWT.

Perbuatan itu dapat dilihat apabila baginda menangis ketika menunaikan solat tahajud. Maka Aisyah RA bertanya: “Mengapakah engkau menangis? Sebenarnya ALLAH SWT sudah mengampunkan dosa engkau yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Maka Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Adakah tidak patut aku dalam kalangan hamba yang banyak bersyukur?” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Foto: Freepik & 123rf