Browsing Tag

Hikmah Covid-19

Berita Semasa,

Hikmah di sebalik Covid-19

HATI mana tidak merasa sayu dan sedih saat mendengar suara azan berkumandang tetapi kita tidak dapat solat berjemaah di masjid dan surau.

Hanya imam, bilal dan siak sahaja dibenarkan untuk mengerjakan solat di rumah ALLAH itu sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Umat Islam yang selama ini solat berjemaah di rumah ALLAH terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa walaupun agak berat menerima kenyataan tersebut.

Khabar daripada pelbagai saluran media berhubung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) secara global sudah semestinya diketahui umum.

Setakat artikel ini ditulis, wabak tersebut telah menjangkiti lebih sejuta orang. Ia meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia termasuk Malaysia yang mana lebih 4,000 orang disahkan positif Covid-19.

Bagi menjaga kemaslahatan dan kepentingan nyawa manusia, maka Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar rantaian virus Covid-19 diputuskan. Tujuannya untuk mengekang virus daripada merebak dan membunuh lebih ramai mangsa.

Malangnya keprihatinan kerajaan itu diambil ringan oleh segelintir masyarakat. Ada yang sengaja melanggar perintah yang dikuatkuasakan dengan pelbagai alasan tidak munasabah. Tidak kurang yang menyelar pihak berkuasa agama kerana terpaksa menutup masjid dan surau demi keselamatan jemaah.

Bukankah arahan untuk taat kepada pemerintah atau ketua merupakan salah satu tuntutan dalam syariat Islam?

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada rasul dan ulil amri (pemerintah/ ketua) kalian.” (Surah al-Nisa, ayat 59)

Ayat itu jelas menuntut umat Islam agar taat kepada pemerintah yang merupakan kewajipan daripada perintah ALLAH SWT. Justeru, apa yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama adalah amat bertepatan bagi memastikan rakyat dilindungi.

Sekiranya arahan kerajaan dan pihak berkuasa tidak dipatuhi, besar kemungkinan pandemik itu akan merebak dengan cepat sehingga meragut lebih banyak nyawa tidak bersalah sepertimana yang berlaku di China, Itali, Sepanyol, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Jangan putus asa

Kesabaran dan doa semua pihak amat dituntut dalam tempoh PKP dilaksanakan. Anggaplah ia sebagai ujian ALLAH SWT. Jangan mudah berputus asa dengan ujian yang diberi.

Jika selama ini, kita merungut kerana terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa bersama keluarga, inilah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama insan tersayang.

Sepatutnya kita bersyukur dan mengambil pengajaran. Setiap ujian ALLAH SWT itu pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya.

Hikmah Covid-19

BERSAMA-SAMALAH kita bermunajat kepada ALLAH SWT agar wabak Covid-19 dapat segera dikekang.

Dengan hanya duduk di rumah dan mematuhi PKP, sebenarnya kita telah membantu para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berjihad menghadapi kesan wabak Covid-19 dengan penuh kesabaran dan kecekalan. Sudah tentu mereka akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi ALLAH SWT atas pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan nyawa manusia terus dipelihara.

Marilah sama-sama kita menggali hikmah di sebalik Covid-19 yang berlaku hari ini:

1. Muhasabah diri dengan mengambil pengajaran daripada berlakunya wabak yang melanda. Perbanyakkan program ibadah dan dekatkan diri kepada ALLAH SWT melalui solat fardu secara berjemaah, solat-solat sunat, menghafaz al-Quran, bertaubat, berzikir dan banyakkan bersyukur atas nikmat yang diberikan selama ini terutamanya nikmat Islam.

2. ALLAH SWT akan memberikan ganjaran bagi mereka yang taat dan patuh kepada arahan pemerintah dalam masa pengawalan wabak Covid-19 sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: “Aku bertanya Rasulullah S.A.W mengenai wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang ALLAH turunkan kepada sesiapa yang ALLAH kehendaki. ALLAH akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran ALLAH dan yakin jangkitan yang berlaku adalah ketentuan ALLAH, melainkan ALLAH akan memberinya pahala syahid.”(Riwayat al-Bukhari)

3. Menjalinkan hubungan rapat bersama keluarga dengan lebih akrab melalui masa berkualiti. Lakukanlah solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran dan menambah kemahiran insaniah (soft skill) seperti sikap prihatin, sabar, kebolehan mendengar dengan baik, memimpin dan mengurus keluarga dan anak-anak dan teknikal (hard skill) termasuk berinteraksi menggunakan aplikasi dalam internet, memasak dan berkebun yang selama ini tidak sempat dilakukan bersama.

4. Mengajar kita erti menghargai anugerah kesihatan dengan memastikan kesihatan diri dipelihara dengan baik dan kebersihan kawasan persekitaran serta tempat ibadah bagi mengelak jangkitan penyakit berbahaya.

5. Memberi peluang  kita mengurus masa dan kewangan dengan lebih teratur dengan mengutamakan perkara-perkara yang dharuriy berbanding

Ketahuilah bahawa wabak Covid-19 telah menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira pegangan politik, bangsa mahu pun agama. Ini terbukti dengan peningkatan program pungutan dan agihan sumbangan kepada para petugas di barisan hadapan dan individu yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik berkenaan..

Kesedaran yang timbul menyebabkan masyarakat bersatu menghadapi musuh yang sama. Pada masa sama, umat Islam bersama-sama bermunajat kepada ALLAH SWT memohon agar wabak Covid-19 dapat segara dikekang.

***Artikel ditulis oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)