Browsing Tag

hibah mutlak

Hibah mutlak
Iqtisad,

Beza antara hibah mutlak dan amanah

HIBAH merupakan salah satu bentuk pemindahan milik yang disyariatkan Islam. Hibah didefinisikan sebagai bentuk pemberian milik secara percuma oleh seseorang semasa dia masih hidup ke atas hartanya kepada orang lain. Antara harta yang boleh dihibahkan ialah wang ringgit, saham, perniagaan, rumah dan tanah.

Antara dalil pensyariatannya ialah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Akad hibah memerlukan ijab (penawaran) dan qabul (penerimaan). Ini bermakna pemberi hibah hendaklah membuat tawaran kepada penerima hibah dan penerima hibah menyatakan persetujuannya.

Dalam Mazhab Syafie, akad hibah tidak akan berkuatkuasa melainkan jika qabd telah berlaku. Yang dimaksudkan dengan qabd adalah berlakunya serahan barang hibah kepada penerima hibah. Sebagai contoh, jika yang dihibahkan ialah tanah, maka dibuat pertukaran nama dalam geran tanah berkaitan.

Hibah dalam bentuk berlakunya serahan barang hibah semasa pemberi hibah masih hidup telah dibicarakan oleh para ulama dalam penulisan mereka sejak zaman berzaman. Hibah bentuk ini disebut hibah mutlak.

Baca juga Penting untuk urus hibah ketika masih sihat dan bertenaga. PU Syed beri panduan macam mana nak uruskannya

Selain daripada bentuk hibah biasa yang wujud sekian lama, pada hari ini, terdapat bentuk hibah yang mana tidak berlaku serahan barang hibah semasa pemberi hibah masih hidup tetapi barang hibah hanya akan berpindah milik kepada penerima hibah setelah pemberi hibah meninggal dunia. Bentuk hibah sebegini berlaku dalam produk takaful dan satu lagi yang dinamakan sebagai hibah amanah.

Hibah

HIBAH merupakan bentuk pemberian milik secara percuma oleh seseorang semasa dia masih hidup kepada orang lain seperti wang ringgit, saham, perniagaan, rumah dan tanah. -FOTO: FREEPIK

Hibah dalam produk takaful berkuatkuasa apabila pemegang polisi telah meninggal dunia. Mereka yang menyertai produk takaful berkenaan akan memasukkan nama-nama penerima hibah dalam borang yang disediakan oleh pihak pengendali takaful.

Hibah amanah

Hibah takaful ini tidak akan menjadi milik penerima hibah selagi peserta takaful berkenaan masih hidup. Hanya selepas kematiannya sahaja, barulah proses pemberian hibah kepada penerima hibah akan dilakukan oleh pihak pengendali takaful berkenaan. Hibah takaful ini menjadi milik penerima hibah sepenuhnya dan ia tidak tertakluk kepada hukum hakam harta pusaka. Oleh itu, pihak waris perlu benar-benar memahami tentang hibah takaful ini.

Hibah amanah juga melibatkan pemberian sesuatu harta daripada pemiliknya kepada orang lain secara percuma sebagaimana yang berlaku dalam mana-mana jenis hibah. Namun, ada beberapa perbezaan antara hibah mutlak dan hibah amanah.

Baca juga Hibah Tak Boleh Dibuat Secara Paksaan, Ambil Iktibar Daripada Kisah Ini

Hibah amanah melibatkan perpindahan milik setelah pemberi hibah meninggal dunia. Ini kerana dalam dokumen deklarasi hibah, pemberi hibah menyatakan persetujuannya untuk memberi hartanya kepada penerima hibah, tetapi pindah milik harta dibuat selepas kematiannya. Ini bermakna sebelum berlaku kematian, pemberi hibah masih pemilik sebenar hartanya itu.

Perbezaan kedua adalah hibah amanah akan melibatkan pihak ketiga yang bertindak sebagai pemegang amanah seperti Amanah Raya Berhad yang akan melaksanakan apa yang terkandung dalam deklarasi hibah. Setelah berlaku kematian pemberi hibah, pihak pemegang amanah akan menguruskan perpindahan hak milik harta yang dihibahkan kepada penerima hibah.

Perbezaan lain yang boleh dilihat pada hibah amanah adalah pada kebiasaannya ia melibatkan hibah bersyarat atau hibah ruqba. Hibah ruqba ini maksudnya apabila berlaku kematian salah seorang pemberi atau penerima hibah, maka yang hidup akan menjadi pemilik harta tersebut.

Hibah

JIKA ada harta yang mahu dihibahkan kepada insan tersayang, segaralah bertindak sebelum meninggal dunia. -FOTO: FREEPIK

Walaupun terdapat perselisihan pandangan dalam kalangan ulama tentang hibah ruqba, tetapi di Malaysia ia menjadi kontrak pendasar dalam hibah amanah. Mungkin ini antara penyelesaian terbaik buat masa ini dalam menyelesaikan isu agihan harta. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah