Browsing Tag

Hassan al-Basri

Hassan al-Basri
Personaliti,

Halaqah Hassan Al-Basri Yang Menusuk Jiwa, Ramai Yang Menangis Apabila Dengar Butir Bicaranya

no comment

SELEPAS Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, para tabiin menjadi pakar rujuk kepada umat Islam. Merekalah kelompok yang sempat berguru dan bergaul dengan para sahabat.

Imam Hassan al-Basri misalnya, antara tabiin termasyhur pada zamannya sehingga era milenial ini. Ketokohannya begitu terserlah apabila bait mutiara bernilainya masih dibutirkan oleh ramai orang termasuklah ketinggian ilmunya yang menjadi rujukan ramai.

Menelusuri salasilahnya, pemilik nama lengkap Abu Sa‘id al-Hasan ibn Abi-IHasan Yasar al-Basri ini berasal dari Madinah. Beliau dilahirkan pada tahun 642 Masihi, sembilan tahun selepas kewafatan baginda SAW. Ketika itu, Saidina Umar al-Khatab menjadi khalifah Islam kedua.

Ibu bapanya merupakan bekas hamba. Bapanya, Abi-I-Hassan Yasar sebelum itu merupakan pembantu kepada sahabat nabi yang juga penulis al-Quran, Zaid bin Tsabit. Sementelah ibunya, Kahiroh pula adalah pembantu kepada salah seorang isteri baginda, Ummu Salamah.

Kehidupan Hassan cukup beruntung kerana dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh keluarga dan para sahabat Rasulullah SAW. Bahkan, beliau juga menjadi anak susuan kepada Ummu Salamah.

Sejak kecil lagi, tokoh ulama itu sempat belajar di rumah isteri-isteri nabi yang masih hidup. Kecintaan figura itu terhadap ilmu begitu mendalam apabila kelibatnya sering sahaja dilihat di Masjid Nabawi. Beliau hadir semata-mata untuk mendengar kajian ilmiah daripada para sahabat nabi.

Hassan al-Basri


WALAUPUN menguasai banyak ilmu, namun Hassan al-Basri tidak lokek dengan apa yang dimilikinya. Bahkan, sering kali sahaja beliau menasihati pemerintah dan gabenor jika mereka berbuat kesilapan.

Malah, kesungguhan yang ditonjolkannya sejak kecil membuatkan Khalifah Umar turut mendoakan agar Hassan al-Basri menjadi orang yang setia pada agamanya dan disayangi oleh semua orang.

Maka, tidak hairanlah mengapa Hassan begitu tawaduk dan alim. Beliau dikatakan banyak bergaul dengan para sahabat sehinggakan berupaya meriwayatkan lebih 1,400 hadis. Antaranya daripada Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib dan Anas bin Malik.

Menginjak usia 14 tahun, Hassan berpindah ke Kota Basrah, Iraq yang terkenal sebagai kota pengetahuan terbesar. Di situ jugalah, cendekiawan tersebut banyak menimba ilmu dan berguru dengan para sahabat yang lain seperti Abdullah bin Abbas.

Hasilnya, beliau menguasai bidang pentafsiran, hadis dan qiraah serta kesusasteraan.

Baca juga Pelopor Muzik Dunia

Ceramah menusuk kalbu

Bukan itu sahaja, keintelektualan dan ketinggian ilmunya begitu dikagumi sehinggakan beliau menjadi antara ilmuan Muslim yang terkenal di kota berkenaan. Ramai pelajar menghadiri halaqahnya.

Saat beliau menyampaikan ceramah terutama berkaitan peringatan dosa, kematian, memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada ALLAH, begitu ramai pendengar yang akan menangis kerana tersentuh dengan bual bicaranya yang menusuk kalbu.

Ia sepertimana kata al-Matluk Wara‘: “Imam Hassan al-Basri sekiranya beliau hadir, seumpama kita ini ingat akan akhirat. Beliau akan menceritakan kepada kita tentang sesuatu seolah-olah kita menyaksikan perkara itu.“

Ketokohannya juga tidak boleh disangkal lagi apabila al-Imam Abu Salamah at-Tabuzaki mengatakan: “Aku menghafal daripada Imam Hassan al-Basri 8,000 permasalahan fiqh dan hadis.“

Graf kemasyhurannya boleh diukur apabila para sarjana Arab telah menyimpan banyak pidato, surat dan kata-kata pepatahnya.

Hassan al-Basri

TATKALA Hassan al-Basri memberikan ceramah, ia begitu menjentik hati para pendengar sehinggakan ada yang menangis.

Beliau bukan sekadar dihormati disebabkan oleh kebijaksanaannya yang boleh diibaratkan sebagai mercu tanda pengetahuan, tetapi juga kerana sikap tawaduk dan ketakwaannya yang luar biasa.

Ilmu yang dimilikinya langsung tidak membuatkan Hassan mendabik dada. Sebaliknya, beliau tanpa jemu sering kali menasihati pemerintah dan gabenor. Prinsip hidupnya begitu teguh iaitu tidak takut kepada sesiapa kecuali ALLAH SWT.

Bayangkan ketika al-Hajjaj bin Yusuf menjadi gabenor di Iraq, Hassan acap kali mengkritiknya jika dirasakan ada perkara yang tidak betul. Sifat itu menjadikan beliau disukai oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan menjadi sahabat karibnya, selain penasihat hal ehwal negara.

Hassan al-Basri meninggal dunia pada usia 89 tahun sekitar tahun 728 Masihi di Basrah.

PROFIL

Hassan al-Basri

IMAM HASSAN AL-BASRI

Nama penuh: Abu Sa‘id al-Hasan ibn Abi-I-Hasan Yasar al-Basri.

Gelaran: Hassan al-Basri.

Asal: Madinah.

Tahun kelahiran: 642 Masihi.

Tahun kematian: 728 Masihi.

Kepakaran: Teologi, hakim, mistik, tasawuf dan faqih ilmu agama.

Sumbangan: Tenaga pengajar teologi Basra dan pemimpin para ulama pada zamannya.

Sumber & Foto: Arab News, Republika.co.id, ikimfm.my, ms.wikipedia. org, turospustaka.com, waragainsteatingdisorder.com, nadhlatululama.id, fikriyat.com & turktoyu.co