Browsing Tag

hartapusaka

Faraid, Iqtisad,

Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Oleh Dr Fatin Afiqah Md Azmi
Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Harta Tanah,
Fakulti Alam Bina dan Ukur,
Universiti Teknologi Malaysia

MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak.

Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya.

Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.

Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak.

Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.

 

Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis.

Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.

Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat, permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.

Hak

Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:

i) Hak barangan.
ii) Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
iii) Hak melangsaikan hutang.
iv) Hak melaksanakan wasiat.
v) Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.

 

Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.

Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.

Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati.

Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.

Susunan ketiga: Melangsaikan hutang si mati. Ia perlu dilunaskan daripada harta peninggalannya dan menjadi kewajipan ahli waris untuk menjelaskannya.
Hutang terbahagi kepada dua iaitu hutang ALLAH (zakat, kaffarah, nazar, dan fardhu haji) dan hutang sesama manusia (termasuk harta sepencarian).

Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati.
Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.

Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.

Kesimpulannya, apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti.

Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.

Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.

Foto: Kuncheek/Pexels