Browsing Tag

hari wanita sedunia

Muslimah
Isu,

Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

ZAMAN jahiliah dahulu, wanita bukan sahaja dipandang serong, bahkan mereka dijadikan pemuas nafsu para lelaki yang tiada pedoman.

Pun begitu, selepas kedatangan Islam, wanita diangkat ke martabat yang mulia di sisi ALLAH dan Rasul-NYA.

Malah di sebalik perjuangan Islam dibawa Rasulullah SAW, wujud ramai wanita yang banyak berjasa menegakkan syariat agama.

Jika menyebut tentang para pejuang Islam pada zaman baginda yang mempertahankan kesucian agama sehingga sanggup mengorbankan diri, rata-rata masyarakat lebih mengenali nama-nama besar seperti Khalid al-Walid, Salahuddin Ayyubi dan sebagainya.

Namun, siapa sangka walaupun sering diketahui dengan sifat kelembutan serta penuh kasih sayang, ada juga pahlawan wanita Islam yang tidak gentar menggadai nyawa memperjuangkan agama di medan peperangan.

Baca juga Dari ilmu hadis ke bidang perubatan, banyak sumbangan wanita dalam sejarah Islam

Muslimah

 

Jadi, sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut tanggal 8 Mac hari ini, Sinar Islam Plus ingin menceritakan dua kisah srikandi dalam sejarah islam yang jarang diketahui umum.

1. Safiyyah binti Abdul Muttalib, wanita pertama menghunuskan senjata.
Saidatina Safiyyah binti Abdul Muttalib dikenali sebagai wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata, berperang mempertahankan agama ALLAH SWT di medan peperangan.

Dilahirkan pada tahun 569 Masihi, Safiyyah sebenarnya kakak kepada ibu Nabi Muhammad SAW, Aminah binti Wahab lantas menjadikannya ibu saudara baginda SAW.

Hasil daripada perkahwinan kedua Safiyyah dengan Al-Awwam bin Khuwaylid, beliau mendapat tiga orang anak, antaranya adalah Saidina Zubair bin al-Awwam yang merupakan salah seorang pahlawan pertama angkatan tentera berkuda kaum Muslimin.

Apabila Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh ALLAH sebagai Rasul-NYA, wanita itu juga di antara yang terawal memeluk agama Islam.

Pada tahun 625 Masihi, tercetusnya Perang Uhud dan walaupun Safiyyah sudah berumur 56 tahun ketika itu, beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertai Rasulullah berjihad di jalan ALLAH.

Selain membalut luka tentera Muslimin dan membaiki panah-panah yang patah, beliau turut membantu anak saudaranya itu di kancah peperangan. Bahkan, Safiyyah sangat digeruni dalam kalangan pahlawan lain kerana sifatnya yang tegas.

Beliau dikatakan wanita Islam pertama yang menghunuskan senjata dan membunuh kaum Musyrikin. Selain itu, Safiyyah turut menyertai Perang Khandaq (627 Masihi) dan Perang Khaibar (629 Masihi).

2. Nusaybah binti Ka’ab, perisai Nabi SAW.
Dalam sejarah Islam, Nusaybah cukup dikenali sebagai salah seorang wanita yang memeluk Islam dengan kekuatan luar biasa.

Berasal dari suku Bani Najjar yang tinggal di Madinah, beliau merupakan di antara 73 orang yang menyertai Bai’ah Kedua di al-Aqabah untuk bersumpah setia kepada Islam.

Pertempuran awal Nusaybah adalah ketika Perang Uhud. Sama seperti wanita lain, beliau bertugas membawakan air dan merawat pahlawan-pahlawan yang tercedera.

Satu kejadian telah berlaku menyebabkan Nusaybah bertindak turut serta dalam kelompok kecil yang berdiri teguh bersama-sama Rasulullah SAW dengan pedang dan busur di tangannya.

Nusaybah menjadi perisai manusia bagi melindungi baginda daripada terkena tembakan panah orang Quraisy.

Bahkan, beliau sanggup mengorbankan dirinya menanggung pelbagai kecederaan demi mempertahankan Rasulullah setiap kali pihak lawan menyerang baginda. Nusaybah turut berjaya membunuh lelaki yang mencederakan anaknya, Abdullah ketika perang tersebut berlaku.

Perjuangannya tidak terbatas ketika itu sahaja, beliau muncul dalam beberapa pertempuran lain seperti Perang Khaibar, Perang Yamamah dan Perang Hunain.

Dalam pertempuran Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Nusaybah menerima sebelas luka serta kehilangan tangannya.

Semangat kepahlawanan Nusaybah sangat tinggi sehingga dikenali sebagai seorang yang mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri.

Begitu hebatnya para wanita zaman Rasulullah SAW dahulu sehingga sanggup menggadai nyawa atas kecintaan mendalam terhadap agama ALLAH. Semoga dua kisah srikandi tersebut dapat dijadikan inspirasi buat para semua.

Sumber: Teh Tarik Gelas Besar

Antarabangsa,

Radwa Helmy, hakim pertama tembusi tembok konservatif Mesir

RADWA Helmy telah melakar sejarah sebagai hakim wanita pertama yang berjaya duduk di atas podium Mahkamah Pentadbiran pada Sabtu lepas. 

Helmy yang muncul di Mahkamah Kaherah, merupakan antara 98 wanita yang telah dilantik tahun lepas untuk sertai Majlis Wilayah, salah satu badan kehakiman utama di Mesir susulan suatu keputusan daripada presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

“5 Mac menjadi hari bersejarah bagi wanita Mesir,” kata Maya Morsy selaku Ketua Majlis Negara untuk Wanita (NCW).

Langkah itu dilakukan menjelang Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac.

Memetik laporan berita The Guardian, wanita di Mesir telah berjuang bertahun lamanya untuk mendapatkan hak mereka.

Walaupun Mesir mempunyai ramai peguam wanita namun usaha untuk seseorang meniti tangga kehakiman dan dilantik sebagai seorang hakim bukan mudah.

Tahani al-Jabali menjadi satu-satunya hakim wanita yang dilantik dalam Mahkamah Perlembagaan pada tahun 2003. Beliau memegang jawatan tersebut hampir 10 tahun sebelum dipecat pada tahun 2012 oleh Mohamed Morsi, presiden Mesir pada waktu itu.

Meskipun tiada undang-undang yang menghalang wanita menjadi hakim, namun secara tradisionalnya, badan kehakiman di negara majoriti Islam yang konservatif itu dikuasai oleh lelaki.

Majlis Wilayah adalah sebuah badan bebas yang mengadili isu pentadbiran dan kes tatatertib. Sejak penubuhannya pada 1946, belum pernah ada wanita yang berjaya menembusi Mahkamah Pentadbiran Mesir. Bahkan pihak Majlis menolak sebarang perlantikan wanita. 

3 Oktober 2021 menjadi tarikh bersejarah apabila Presiden Abdel Fattah el-Sisi melantik 98 orang wanita sebagai hakim dalam Majlis Wilayah.

HARI bersejarah bagi 98 orang wanita yang dilantik sebagai Hakim Majlis Wilayah susulan keputusan daripada Presiden, Abdel Fattah el-Sisi pada tahun lepas.

Helmy yang berasa bangga dengan amanah yang diberikan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir dalam sebuah sidang media. Bagi beliau, keputusan bersejarah itu menjadi titik penting dalam usaha pemerkasaan wanita di negara tersebut. 

“Jangan berhenti mengejar impian anda. Dunia sedang mengalami perubahan. Berusaha memperbaiki diri supaya lebih banyak peluang akan terbuka untuk menunjukkan keupayaan wanita”, pesan Helmy kepada Wanita Mesir dalam suatu laporan berita Arab News.

Menteri Kehakiman, Omar Marwan pula menyampaikan penghargaan kepada semua yang telah terlibat dalam menyempurnakan perlantikan tersebut. Beliau menjangkakan peningkatan bilangan kehadiran wanita dalam pelbagai bahagian mahkamah pada tahun akan datang.

MENURUT Menteri Kehakiman Mesir, Omar Marwan, tahun akan datang bakal menyaksikan lebih ramai wanita dalam pelbagai sektor mahkamah.

Magda Mostafa yang memegang jawatan tinggi dalam Kementerian Pendidikan di Mesir menganggap perlantikan seperti ini adalah sebuah kejayaan bagi para wanita Mesir.

“Setiap hari, wanita Mesir membuktikan kebolehan mereka”, ujarnya kepada Arab News.

Foto: Samer Abdallah/AFP, Khaled Elfiqi/EPA, Daily News Egypt