Browsing Tag

Hari Raya Aidilfitri

Syawal
Gaya Hidup,

Besarnya kasih ALLAH SWT kepada orang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana DIA

ISLAM agama yang prihatin dengan hubungan sesama manusia. Apatah lagi ia melibatkan hak sesama Muslim. Nilai murni yang diadaptasi melalui dasar perlembagaan ALLAH SWT, menjadikan umat Islam terarah mendapatkan reda ILAHI dan kemakmuran manusia.

Antara nilai yang sangat ditekankan seperti ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan, bertukar-tukar fikiran, melayani serta menjamu tetamu yang tergambar dalam konsep rumah terbuka di hari kemenangan umat Islam iaitu Aidilfitri.

Pengerusi Pertubuhan al-Khairiah Mersing, Dr Haji Hidris Sahri berkata, amalan melayani tetamu serta menjamu dengan juadah terbaik telah dirakamkan oleh ALLAH dalam al-Quran melalui teladan para nabi dengan kemuliaan hati menerima, menyambut dan melayan tetamu.

DR HAJI HIDRIS

Berziarah menzahirkan kasih sesama saudara

Beliau memetik sirah yang merakamkan kisah Nabi Ibrahim Alahissalam dalam surah Al-Dzariyat, ayat 24-27 yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!“ Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

Berasaskan hujah ini jelasnya, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa wajib melayan tetamu yang datang bertandang walaupun tidak dikenali.

“Apatah lagi tetamu itu adalah kalangan keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Ini dikuatkan lagi dengan hadis dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW:

“Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kampung lain. Kemudian ALLAH mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu di tengah perjalanannya ke kampung yang dituju, malaikat tersebut bertanya: ‘Hendak pergi ke mana kamu? ‘Orang itu menjawab: ‘Saya ingin menjenguk saudara saya yang berada di kampung lain.‘ Malaikat itu bertanya lagi; ‘Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana ALLAH.‘ Akhirnya malaikat itu berkata; ‘Sesungguhnya aku ini malaikat yang diutus untuk memberitahumu bahawasanya ALLAH akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana ALLAH”, (Hadis Riwayat Muslim).

 

Para ulama mengistinbatkan hukum bahawa ‘wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah‘ walaupun tidak dikenali, apatah lagi tetamu itu dari keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

 

Ujar Dr Hidris, tuntutan mengasihi orang lain dengan sifat rahmah sama ada kerabat ataupun sesama Muslim dengan cara menziarahi mereka menyebabkan ALLAH mengasihi seseorang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana ALLAH.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam kitab Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab , karangan Imam an-Nawawi: “Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”

Wajib dibugar selalu

Selanjutnya beliau menjelaskan, konsep rumah terbuka adalah lambang nilai Islam yang tinggi dan wajib dibugarkan dengan kaedah yang lebih harmoni dan sesuai mengikut kaedah Islam sebenar.

Dr Hidris menyenaraikan adab selaku tuan rumah seperti yang dikatakan oleh Sheikh Amin Al-Syanqiti dalam kitabnya Adhwa‘ Al-Bayan Fi Idhoh Al-Quran Bi Al-Quran, antaranya:

  1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu.
  2. Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah.
  3. Mendekatkan makanan kepada tetamu.
  4. Bercakap dengan lemah-lembut.

Adab tetamu pula antaranya:

  1. Segera makan apabila hidangan disajikan.
  2. Tidak meminta hidangan atau perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  3. Jika dijemput, beritahu tuan rumah terlebih dahulu jumlah kehadiran.
  4. Jauhi perbuatan yang boleh menyakiti tuan rumah.
  5. Sunat bagi tetamu mendoakan kebaikan buat tuan rumah. Hal ini berdasarkan amalan Nabi Muhammad ketika Baginda bertandang rumah Ubadah bin Somit. Lalu Ubadah menghidangkan sepotong roti dan minyak zaitun. Lantas Baginda membaca doa yang bermaksud: “Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.”
Ucapan maaf zahir dan batin
Isu,

Ucapan maaf zahir dan batin bukan budaya bulan Syawal, tetapi ia adalah tuntutan Islam. Masih ramai salah faham tentang perkara ini

Oleh USTAZ HUSAINI AB RAZAB

PENSYARIATAN ibadah puasa secara khusus pada bulan Ramadan merupakan salah satu mekanisme yang ALLAH SWT tetapkan untuk meningkatkan iman dan takwa kepada-NYA.

Ini dijelaskan di dalam ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Banyak atau sedikit ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan lalu merupakan manisfestasi peningkatan ketakwaan kepada ALLAH.

Pelbagai iktibar yang boleh diambil sepanjang menjalani Ramadan yang penuh barakah. Ramadan juga dipopularkan dengan gelaran Madrasah Ramadan sepatutnya membawa pengertian yang cukup besar kerana padanya ada keampunan, keberkatan, kerahmatan serta ganjaran pahala yang berganda. Walaubagaimanapun Ramadan telah pergi dan akan kembali pada tahun hadapan, Insya-ALLAH.

Baca juga Hati hatilah andai tiada rasa sayu dalam hati saat Ramadan akan pergi

Manakala Syawal pula adalah bulan kegembiraan kepada seluruh muslimin. Kegembiraan ini wajar diraikan kerana berjaya meninggalkan amalan maksiat yang pernah dilakukan sebelum ini.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi ALLAH, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI. (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Istiqamah beribadah

Memetik kata-kata Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam salah satu bukunya, “Jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana ALLAH, dan jangan hanya menjadi ahli ibadah selama sebulan Ramadan. Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya sedangkan ALLAH tetap kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.”

Menyambut Aidilfitri tidak sepatutnya menghilangkan didikan yang dilaksanakan pada Ramadan yang lalu. Tibanya Syawal bukan bermaksud melupakan Ramadan. Tetapi Syawal adalah kesinambungan dan pembuktian sejauh mana kita mampu istiqamah beribadah.

Ucapan maaf zahir dan batin

POHONLAH kemaafan daripada insan di sekeliling kita pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Pelaksanaan ibadah di bulan selepas Ramadan merupakan penzahiran keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH.

Kebiasaan yang selalu dilakukan pada Ramadan seperti solat berjamaah, bersedekah, membaca al-Quran dan tadarus, qiamullail dan solat-solat sunat serta sentiasa berdoa kepada ALLAH mengharapkan keampunan-NYA merupakan amalan yang sangat baik sekiranya dapat diteruskan pada bulan-bulan selepas Ramadan.

Sekiranya semua ibadah ini dikekalkan, ia jadi bukti keberhasilan didikan Ramadan untuk terus dilaksanakan sepanjang tahun.

Firman ALLAH bermaksud: “Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah ali-Imraan, ayat 133)

Kekalkan Suasana Ramadan

Meraikan Aidilfitri adalah suatu yang dituntut, bahkan umat Islam diharamkan daripada berpuasa pada 1 Syawal sebagai bukti bahawa ALLAH mengkehendaki umat Islam bergembira meraikan ketibaan Syawal.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya lupa bahawa didikan Ramadan wajar harus di kekalkan.

Amalan bermaafan merupakan amalan mulia. Permohonan ampun hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas serta bersungguh mengakui kesilapan yang telah dilakukan.

Adapun ucapan ‘maaf, zahir dan batin’ bukanlah suatu budaya di bulan Syawal tetapi ia merupakan tuntutan Islam dan boleh dilakukan setiap kali menyedari terdapat kesilapan yang dilakukan.

Jangan menunggu tiba Syawal untuk memohon maaf kerana ia hendaklah dilakukan segera kerana kita tidak tahu bilakah ajal menjemput.

Baca juga Sakitnya hati bila dikhianati sampai tak nak jumpa orang tu

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang pernah menzalimi saudaranya dalam apa perkara pun, maka dia wajib meminta maaf atas perbuatannya tersebut dari saudaranya, sebelum datang hari di mana tidak berguna dinar dan dirham. Kerana jika orang tersebut memiliki amal soleh, amalnya tersebut akan diberikan kepada orang yang dizaliminya untuk membayar kezalimannya. Namun jika ia tidak memiliki amal soleh, maka ditambahkan kepadanya dosa-dosa dari orang yang ia zalimi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ketika melaksanakan ibadah puasa, muslimin dituntut berpuasa seluruh anggota badan bukan sekadar makan dan minum sahaja.

Ucapan maaf zahir dan batin

KEMAAFAN ayah dan bonda sering kali dipohon terutama pada Hari Raya Aidilfitri.

Berpuasa anggota badan bermaksud menjaga tutur kata daripada berkata-kata yang tidak sepatutnya serta menjaga telinga daripada mendengar perkara-perkara yang tidak baik.

Malangnya, sesudah Ramadan berlalu, ramai pula yang menjaga lisan ataupun tulisan di media sosial.

Justeru, berhati-hatilah jangan sampai terjebak dengan fitnah, kata mengata atau mengaibkan orang lain kerana ini bukan didikan Ramadan.

Perlu diingat janganlah pula kita menjadi punca orang lain melakukan perkara tersebut. Sebagai contoh jangan sesekali menulis, membuat hantaran di media sosial yang boleh mengundang provokasi, hasutan atau fitnah apatah lagi memuat naik foto atau video yang bertentangan syariat Islam.

Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah berbicara tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muslim yang berjaya ialah Muslim yang sentiasa berusaha memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada ALLAH dan sentiasa berusaha mengajak orang lain ke jalan yang diredai ALLAH.

Ucapan maaf zahir dan batin

ELAKKAN membuat kandungan media sosial yang boleh mengundang provokasi, hasutan atau fitnah apatah lagi memuat naik foto atau video yang bertentangan syariat Islam.

Firman ALLAH: “Demikianlah (perintah ALLAH), dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj, ayat 32)

***Ustaz Husaini Ab Razab ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan

Foto: 123rf & Freepik

Rahmah
Isu,

Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat

MOOD Hari Raya Aidilfitri masih lagi memuncak meskipun sudah memasuki 12 Syawal pada hari ini. Apatah lagi hujung minggu bakal menjengah pada hari esok dan lusa.

Selepas dua kali beraya di rumah sendiri sahaja, ramai yang berkira-kira untuk mengadakan rumah terbuka pada tahun ini. Masakan tidak, hampir 24 bulan kita tidak bersua dan mengadakan jamuan makan. Maka, inilah detik yang sesuai untuk berbuat demikian.

Malah, platform berkenaan acap kali dijadikan sebagai medan untuk mempertautkan ikatan silaturahim. Ini kerana, hubungan yang jauh dapat didekatkan, manakala yang renggang dapat dirapatkan.

Benar, pada musim perayaan seperti sekarang, semua orang mengambil cuti panjang dan akan berkumpul di kampung halaman masing-masing. Itulah saatnya meraikan lebaran bersama insan tersayang.

Meskipun demikian, kita tidak boleh terlalu seronok dalam merayakan Aidilfitri kerana baru sahaja selesai menjalani madrasah Ramadan.

Mengapa Syawal sering kali dikaitkan dengan kembalinya manusia kepada fitrah? Bagaimana untuk menyalakan semula semangat muhibah selepas dua tahun beraya sendirian?

Baca juga Kawal Nafsu Ketika Makan, Bersantap Berlebih-lebihan Ibarat Orang Kafir Makan Dengan 7 Perut!

Kembali kepada fitrah

Ketika dilontarkan tentang persoalan berkenaan, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom menjelaskan, tatkala seseorang Muslim merayakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah, ia bermaksud dirinya sedang merayakan kemenangannya yang mendapat keampunan ALLAH SWT daripada dosa-dosa silamnya.

DR MOHD NASIR

Melalui ibadah puasa, kita dapat mengembalikan asalnya iaitu fitrah, suci dan bersih daripada dosa sebagaimana dilahirkan dahulu, terangnya.

“Bukan itu sahaja, Aidilfitri juga bermaksud seseorang Muslim telah berjaya mengawal hawa nafsu yang secara fitrahnya mengajak kepada perkara yang jahat.

“Ditambah pula dengan penyempurnaan ibadah zakat yang berperanan membersihkan jiwa daripada dosa dan mengikis sifat buruk seperti tamak, kedekut dan bakhil,” terangnya kepada Sinar Islam Plus.

Berbicara tentang Syawal kali ini yang begitu nostalgik, ahli akademik itu menjelaskan, detik itu usah disia-siakan begitu sahaja.

Ujar beliau, semangat muhibah dan menghubungkan silaturahim di antara keluarga, sahabat handai mahupun jiran tetangga perlu kembali marak. Ketahuilah bahawa ia merupakan satu amalan mulia dan sangat dituntut di sisi Islam.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “…serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)

Dr Mohd Nasir menambah, Hari Raya Aidilfitri merupakan peluang kepada umat Islam untuk menjalinkan silaturahim, Amalan kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi  perlu terus disuburkan dalam masyarakat kita.

Syawal pengikat mahabbah

SEMARAKKAN kunjung mengunjung, tetapi jangan abaikan protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Namun begitu, andai jarak dan faktor tempat menjadi halangan utama, masih ada lagi cara lain untuk menjalinkan silaturahim. Telefon dan media sosial boleh menjadi alternatifnya. Malah, perhubungan secara maya bukan lagi perkara asing pada hari ini.

“Pada hari mulia ini juga, amalan saling bermaafan perlu digunakan dengan sebaiknya. Barangkali ada yang berasa kekok dan janggal untuk memohon kemaafan pada hari-hari yang lain.

“Pun demikian, sepanjang Syawal ini, ungkapan maaf mahupun ucapan maaf zahir dan batin acap kali dilafazkan tanpa rasa malu serta segan,” katanya.

Baca juga Minta maaf, tapi tak salam

Jernihkan keadaan

Andai diri pernah bersengketa atau salah faham, ujar pensyarah berkenaan, sekarang adalah saat terbaik untuk menjernihkan keadaan.

“Kemaafan yang dipohon dengan penuh keikhlasan hendaklah dibalas dengan penerimaan yang setulus hati. Malah, pertalian persaudaraan yang terputus sekian lama boleh kembali bertaut pada Hari Raya ini,” katanya.

Begitupun, Dr Mohd Nasir memberikan amaran agar umat Islam tidak sesekali memutuskan tali persaudaraan kerana ia amalan yang ditegah dalam agama Islam.

Bahkan, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada mereka yang berbuat demikian.

“Dalam sebuah Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, baginda SAW bersabda, tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim,” terangnya panjang lebar.

Menyambung hujahnya, Dr Mohd Nasir kemudian memberi peringatan bernilai kepada seluruh umat Islam agar tidak terlalu leka dibuai kegembiraan Syawal.

Syawal pengikat mahabbah

SEMANGAT muhibah dan menghubungkan silaturahim di antara keluarga, sahabat handai dan jiran merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam.

“Ingatlah bahawa keseronokan Aidilfitri yang disambut ini sebenarnya tanda manifestasi kejayaan kita dalam mendidik hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan.

“Masakan tidak, sepanjang bulan penuh barakah itu telah mendidik kita menjadi seorang ahli ibadah, pembaca al-Quran, bersikap pemurah dan berakhlak mulia.

“Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk memperbanyakkan takbir, tahmid dan tasbih sebagai mensyukuri kemenangan tersebut,” ungkapnya.

Biarpun Ramadan sudah menutup tirainya, pensyarah itu mengingatkan, matlamat untuk mencapai ketakwaan berpuasa hanya dapat dilihat selepas bulan mulia tersebut berlalu pergi.

Malah, katanya, kita sendiri boleh membuat penilaian sama ada ibadah puasa yang dilakukan membuahkan hasil takwa atau sebaliknya.

“Justeru, usahlah kita menyambut Syawal dengan hiburan melampau, maksiat dan pembaziran. Semua ini jauh tersasar daripada semangat Aidilfitri sebenar yang merayakan kejayaan mengawal tuntutan hawa nafsu dan syahwat.

“Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyarankan kita untuk meneruskan ibadah puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Namun, ia bukanlah bermaksud kita langsung tidak boleh merayakan dan berasa gembira ketika Aidilfitri.

“Cuma, elakkanlah diri dan ahli keluarga daripada melakukan perkara-perkara yang menyimpang daripada semangat Syawal dan Ramadan yang baru saja meninggalkan kita. Semoga amalan puasa dan ibadah kita sepanjang Ramadan lalu dapat membentuk peribadi untuk menjadi seorang mukmin yang bertakwa,” katanya.

Berlapang dada terima kunjungan

Dalam fasa peralihan endemik ini, bolehkah jika kita enggan menerima tetamu walaupun sanak saudara terdekat gara-gara bimbangkan diri?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Sinar Islam Plus bertanyakan kepada pendakwah Ustaz Abu Bakar Ali As-Sudani.

USTAZ ABU BAKAR

Jelas beliau, sewajarnya tidak perlu ada kegusaran mahupun perasaan tidak senang untuk menerima kehadiran tetamu sekalipun adik-beradik terdekat.

Ini kerana, beliau berhujah, kerajaan sudah pun memberikan kelonggaran tersebut. Maka seharusnya kita perlu berlapang dada dan fikiran, selain berserah kepada ALLAH SWT bahawa apa yang dilakukan itulah yang terbaik.

“Usahlah terlalu khuatir yang melampau kerana perkara ini boleh mengundang diri seseorang itu terjebak dengan sifat sombong dan tidak percaya kepada Sang Pencipta seolah-olah wabak Covid-19 mengatasi kita.

“Sebaliknya, kita patuhilah prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, insya-ALLAH ia boleh memberi sedikit kelegaan kepada kita mengatasi kegusaran tersebut. Selebihnya, kita serahkan kepada ALLAH SWT,” nasihatnya.

Kepada mereka yang berhasrat untuk mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya Aidilfitri ini, Ustaz Abu Bakar memberi peringatan mesra.

Penceramah itu berpesan supaya menjaga ikhtilat (pergaulan) di antara lelaki dan wanita.

“Batasan aurat antara kedua-duanya perlu dijaga dan jangan bercampur terlalu bebas. Maksudnya, kena ada jarak dan pada masa sama, pelihara hukum-hakam Islam.

“Kemudian, jangan ada pembaziran dalam menyediakan juadah. Sebenarnya, tiada masalah jika kita ingin mengadakan rumah terbuka, cuma buatlah sekadar kemampuan sahaja. Jangan pula buat rumah terbuka untuk ‘melepaskan geram’ akibat Covid-19 sehinggakan terpaksa berhutang.

“Jika mempunyai bajet yang kecil untuk mengadakan rumah terbuka, utamakan adik-beradik dan keluarga terlebih dahulu. Andai ada lebihan kewangan, tidak salah untuk kita jemput sahabat yang jauh,” pesan beliau.

Syawal pengikat mahabbah

JAGALAH adab ketika berkunjung ke rumah terbuka ahli keluarga, kenalan mahupun tetangga.

ANEKDOT

CARA memuliakan tetamu

Baca juga Islam sangat muliakan tetamu, tapi boleh ke kita tolak orang datang ziarah?

– Surah al-Dzariyat ayat 24 hingga 27 merakamkan perbuatan Nabi Ibrahim AS menyambut dan melayan tetamu yang bertandang ke rumahnya. Walaupun baginda tidak mengenali orang itu dan langsung tidak mengetahui bahawa tetamunya itu ialah malaikat, tetapi baginda tetap melayannya dengan baik.

– Dalam kisah Nabi Ibrahim AS, Sheikh Amin al-Syanqiti dalam Adhwa’ al-Bayan fi idhoh al-Quran bi al-Quran menyatakan, terdapat empat pengajaran yang boleh diambil apabila kita menerima kedatangan tetamu:

  1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu.
  2. Hidangkan apa sahaja yang terbaik yang ada di dalam rumah.
  3. Mendekatkan makanan kepada tetamu.
  4. Bercakap lemah lembut dengan tetamu.

ADAB bertandang ke rumah orang

  1. Makan dengan segera jika dihidangkan makanan dan minuman.
  2. Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  3. Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah tentang siapa yang akan datang dan bilangan orang yang akan hadir.
  4. Jauhi perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan atau menyakiti tuan rumah.
  5. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah.
  6. Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk.
  7. Memilih waktu yang sesuai untuk bertandang. Sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3026-irsyad-al-fatwa-siri-ke-284-tetamu-datang-pada-waktu-malam

Foto: 123rf & Freepik

Bulan Syawal
Isu,

Di sebalik nama bulan Syawal

KEDATANGAN Syawal hari Isnin minggu lalu disambut dengan penuh kegembiraan meskipun ramai yang terkejut dengan pengumuman Hari Raya Aidilfitri yang jatuh sehari awal daripada jangkaan tarikh dalam kalendar kita.

Berdasarkan takwim Islam, Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar hijrah. Demikian fakta yang tidak dapat disangkal.

Malah, Aidilfitri juga begitu sinonim dengan amalan kunjung-mengunjungi dan bermaafan sesama insan. Itulah tradisi yang menjadi kelaziman kita saban tahun.

Cuma semua itu tidak dapat dilakukan dua tahun lalu gara-gara amukan Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. Bagaimanapun, lebaran kali ini memberikan 1,001 makna kerana kita kembali boleh berkumpul dan bertemu keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Namun begitu, ada suatu perkara tentang Syawal yang ramai tidak tahu. Ia berkaitan bagaimana bulan Syawal mendapat namanya?

Memetik portal muslim.okezone.com, Ibnul ‘Allan Asy Syafii menyatakan, nama Syawal diambil daripada kalimah Sya-lat al Ibil yang membawa maksud ‘seekor unta yang mengangkat atau menegakkan ekornya’.

Bulan Syawal

BULAN Syawal terkenal dengan amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi.

Apabila membaca pernyataan itu, ia membuatkan kita tertanya-tanya apa pula perkaitannya dengan bulan kemenangan umat Islam tersebut?

Portal berkenaan menyebut, menurut Dalil al Falihin li Syarh Riyadh al Shalihin hasil karya Muhammad bin Allan al Shiddiqi al Syafii al Maki, orang Arab dahulu sering kali menggantungkan alat-alat perang mereka apabila hampir dengan bulan-bulan haram (bulan larangan untuk berperang).

Baca juga Peristiwa Penting Dalam Bulan Syawal

“Ketika Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam, status bulan Syawal berubah. Kewujudan bulan Syawal mempengaruhi kejayaan perkembangan Islam dalam Perang Uhud yang berlaku pada 15 Syawal, tahun 3 Hijrah atau 31 Mac 625 Masihi (hari Ahad),” katanya sebagaimana dipetik daripada portal berkenaan.

Sementara itu, dalam satu penemuan lain, portal ihram.co.id menjelaskan, sebelum kedatangan Islam, orang pada zaman berkenaan memanggil bulan Syawal dengan sebutan wagil.

Kemudian, nama Syawal pun digunakan selepas orang Arab bersepakat dan menentukan nama-nama bulan dalam tahun hijriah.

Untuk rekod, kalendar hijriah hanya dilaksanakan pada era pemerintahan Khalifah Umar al-khattab. Pada masa itulah, tahun hijriah diterima pakai untuk penyediaan tarikh dalam takwim tersebut.

Baca juga Jom tunaikan puasa sunat 6 Syawal, ganjarannya umpama berpuasa sepanjang tahun

Begitupun, menurut portal Elbalad: “Amat sukar untuk mencari rujukan yang menjelaskan di sebalik penamaan bulan Syawal dengan wagil.”

Bulan Syawal

AMBILLAH kesempatan memohon ampun dan maaf sesama kita yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.

Selain itu, terdapat satu lagi kisah masyhur yang menjadi sandaran mengapa Syawal dikenali dengan nama tersebut.

Menurut ihram.co.id, kamus Lisanul Arab karya Ibnu Mandzur menyatakan, bulan Syawal mempunyai perkaitan dengan susu yang dihasilkan oleh haiwan yang terdapat di wilayah berkenaan iaitu unta.

“Penamaan Syawal merujuk kepada unta betina yang melingkar dan mengangkat ekornya. Ia menjadi tanda bahawa unta betina bersedia untuk disenyawakan dengan unta jantan.

“Selepas dibesarkan dan unta betina mengeluarkan susu, berlaku penyejatan susu kerana suhunya sangat panas ketika itu. Ia sehinggakan susu unta menjadi berkurangan akibat penyejatan (tasywiil),” kata portal berkenaan.

Foto: Freepik & SinarPlus

Niat puasa
Hukum,

Jom tunaikan puasa sunat 6 Syawal, ganjarannya umpama berpuasa sepanjang tahun

BULAN Ramadan yang terkandung banyak kemuliaan telah pun meninggalkan kita empat hari lalu. Namun, ia bukanlah bermaksud semangat beribadah kita juga luntur sebagaimana perginya Ramadan.

Sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta, sudah tentu momentum amal soleh dan amal makruf nahi mungkar tetap perlu diteruskan.

Itulah tugas yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT ke atas semua makhluknya yang menjadi khalifah di muka bumi ini.

Sesungguhnya, dunia itu hanyalah pentas ujian yang bersifat sementara. Alam akhiratlah yang akan menjadi destinasi kita kekal abadi.

Meskipun puasa Ramadan sudah pun berakhir, masih terdapat lagi puasa yang boleh kita kerjakan pada Hari Raya Aidilfitri ini. Ia dikenali sebagai puasa sunat enam Syawal.

Ya, barangkali bilangannya begitu kecil, namun ia sukar untuk dikerjakan lantaran ‘kesibukan’ kita berhari raya. Malah ia memerlukan mujahadah yang tinggi untuk kita melawan nafsu tatkala terlihat juadah enak terhidang di depan mata. Apatah lagi setelah dua tahun kita hanya ‘berkurung’ di rumah.

Ketahuilah, ibadah tersebut begitu bernilai tinggi. Ganjaran yang diberikan kepada mereka yang mengerjakannya adalah seumpama kita berpuasa selama setahun!

Apakah lagi keistimewaan dan fadilat yang bakal diraih apabila kita berpuasa sunat enam Syawal? Bolehkah kita membatalkan puasa berkenaan dengan sengaja?

Baca juga Boleh ke dahulukan puasa sunat enam Syawal daripada qada puasa Ramadan?

Ganjaran berganda

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ustaz Mohamad Haldi Talhah mengajak beliau berbicara lanjut tentang kelebihan apabila menunaikan puasa sunat enam hari dari bulan Syawal.

USTAZ MOHAMAD HADI

Beliau kemudian mengemukakan sebuah hadis masyhur yang memerihalkan tentang fadilatnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Ayyub Al-Ansari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustaz Mohamad Hadi, jelaslah bahawa siapa yang mengerjakan puasa sunat enam dalam bulan Syawal selepas selesai puasa Ramadan, maka hidup mereka seolah-olah berpuasa pada setiap hari sepanjang tahun!

Masakan tidak, setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam sebenarnya akan dilipatgandakan sebanyak 10 kali, ungkapnya.

“Maka, berpuasa 30 hari sepanjang bulan Ramadan bersamaan dengan 300 hari berpuasa. Apabila kita menyambung lagi dengan menunaikan enam hari puasa sunat pada Hari Raya Aidilfitri, ia seolah-olah kita berpuasa selama 60 hari.

“Jika dihitung, kita berpuasa selama 360 hari yang bersamaan lengkap setahun takwim Islam. Sebab itulah Rasulullah SAW menyebut enam hari berpuasa pada bulan Syawal, bukan lima, tujuh dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Meskipun mereka yang melakukan amal tersebut meraih pahala umpama setahun berpuasa, agamawan itu mengingatkan, pahala yang diperoleh setiap dalam kalangan mereka adalah berbeza. Ini kerana ia bergantung kepada kualiti puasa yang dilakukan oleh seseorang itu.

“Ketahuilah, salah satu tanda penerimaan amalan puasa kita pada bulan Ramadan adalah apabila seseorang individu tersebut menyambung puasanya dengan puasa sunat dan ibadah lain.

Puasa sunat enam Syawal


MUJAHADAH yang tinggi diperlukan untuk berpuasa enam Syawal kerana kita ‘diuji’ dengan sajian enak juadah Hari Raya Aidilfitri.

“Maknanya, individu berkenaan istiqamah dan terdorong untuk melakukan amal soleh. Pendek kata, apa jua amalan kebaikan yang dilakukan tidak bermusim iaitu hanya dilakukan ketika Ramadan, tetapi ia berterusan dikerjakan tidak kiralah pada bulan apa pun,” ungkapnya.

Sesungguhnya, puasa sunat enam bukan calang-calang ibadah kerana terkandung hikmah penuh bernilai.

Buktinya, ujar Ustaz Mohamad Hadi, ibadah berkenaan boleh menampung kekurangan dan cacat cela puasa kita pada bulan Ramadan.

“Sama juga seperti solat sunat yang mana ia boleh menampung kekurangan solat fardu,” katanya.

Gabung niat puasa qada, puasa sunat enam

Menyambung hujahnya, Ustaz Mohamad Hadi kemudian membangkitkan perihal hukum menggabung puasa qada dan puasa sunat enam.

Dalam hal itu, jelas beliau, terdapat pelbagai pandangan ulama. Namun begitu, mendahulukan puasa ganti adalah lebih utama berbanding yang sunat.

“Selesaikan puasa qada terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam. Tempoh untuk menunaikannya pun masih panjang lagi.

“Bagaimanapun, ada juga segelintir orang yang mahu melengah-lengahkan puasa qada dan mendahulukan puasa sunat enam. Begitu juga golongan yang menggabungkan niat bagi kedua-dua puasa berkenaan.

Puasa sunat enam Syawal


ANDAI tidak sempat berpuasa sunat enam Syawal pada awal Aidilfitri, ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang Hari Raya.

“Cuma, bagi mereka yang ada kekuatan untuk berpuasa, lunaskanlah ‘hutang’ puasa ganti terlebih dahulu sebelum mengerjakan yang sunat,” ujarnya.

Begitupun, dari segi ganjaran berpuasa selama setahun jika kita menggabungkan dua jenis puasa berkenaan, jelas penceramah itu, kita perlu merujuk kembali kepada pandangan ulama yang berhujah sedemikian.

Dalam Hasyiah Syarqawi, Imam Syarqawi menyatakan: “Adalah sah menggabungkan puasa sunat enam Syawal dengan puasa qada Ramadan, tetapi seseorang itu tidak akan mendapat pahala penuh seperti jika seseorang itu berpuasa sunat enam Syawal berasingan dengan puasa qada. Ini kerana penggabungan dua puasa tersebut tidak bertepatan dengan hadis yang menyebut; ‘Kemudian dia mengikuti (selepas puasa Ramadan) dengan enam hari pada bulan Syawal’. Iaitu puasa sunat dan Nabi Muhammad SAW tidak menyebut puasa sunat dan qada, bahkan baginda hanya menyebut puasa sunat.”

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Andai kita sengaja membatalkan puasa sunat enam, hukumnya makruh. Begitupun, jika kita membatalkannya kerana meraikan tetamu yang datang ke rumah dan menjamu makanan kepada mereka, tidaklah jatuh hukum makruh.

Baca juga Bolehkah puasa ganti Ramadan dan puasa 6 Syawal digabung serentak? Ini jawapannya

“Cuma, bagi mereka yang berniat puasa qada, dia tidak perlu membatalkan puasa tersebut sekalipun tujuannya untuk meraikan tetamu yang datang bertandang.”

Afdal dilakukan secara berturutan

Bagi mengupas tentang pelaksanaan puasa sunat enam Syawal, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman.

USTAZ MK AZMAN

Jelas beliau, meskipun terdapat perselisihan antara mazhab fikah mengenainya, namun Mazhab Syafie menghukumkan sebagai sunat dilakukan sepanjang Syawal waima secara berturut-turut mahupun terpisah.

“Imam Nawawi menyimpulkan dalam syarahnya bahawa ulama Mazhab Syafie menyatakan, paling afdal puasa sunat enam Syawal dilaksanakan secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidilfitri.

“Bukan itu sahaja, ulama tersohor itu juga menyatakan, andai puasa tersebut tidak dilakukan secara berturutan atau melewatkannya hingga ke penghujung Syawal, maka ia turut mendapat fadilat al-Mutaba’ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di bulan Syawal,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Walaupun hukumnya sunat muakkad, namun ujar penceramah itu, kita tidak boleh meminggirkannya begitu sahaja. Ini kerana terlalu banyak kelebihan yang terkandung di dalamnya yang disifatkan sebagai hadiah daripada ALLAH SWT buat hamba-hamba-NYA.

Antara lain, ibadah berkenaan pada hakikatnya mendekatkan kita kepada ALLAH SWT, ungkapnya.

“Puasa sunat enam Syawal ini adalah galakan daripada Nabi Muhammad SAW. Semestinya apa yang disarankan oleh baginda mendekatkan diri kita kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

Baca juga Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

“Bahkan, orang yang berpuasa juga akan diberi nikmat memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Bayangkan pintu syurga itu sudah terbuka luas untuk hamba-NYA yang berpuasa,” ujarnya.

Seperkara lagi, ujar Ustaz MK Azman, bagi mereka yang berpuasa satu hari pada jalan ALLAH SWT, maka DIA akan menjauhkan muka individu berkenaan daripada api neraka selama 70 tahun.

“Perkara itu jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang masyhur,” katanya.

Sungguhpun demikian, beliau mengingatkan supaya biarlah ibadah yang dilakukan tersebut dilakukan ikhlas dan tulus semata-mata kerana ALLAH SWT.

“Andai sifat tidak ikhlas tersemat dalam sanubari kita dan dilakukan kerana hanya mahu menunjuk-nunjuk, segala ibadah yang dilakukan akan menjadi sia-sia.

“Bukan itu sahaja, kita juga tidak akan mendapat apa-apa nikmat yang dijanjikan oleh ALLAH SWT. Maka, jauhkanlah sifat riak dalam diri kita,” titipnya.

Puasa sunat enam Syawal


BAGI golongan yang mempunyai hutang puasa qada, mendahulukan puasa ganti adalah lebih utama berbanding yang sunat. Begitupun, boleh sahaja menggabungkan niat puasa tersebut untuk melakukan ibadah berkenaan.

ANEKDOT

HIKMAH berpuasa

1. Melatih diri berdisiplin dengan waktu.

Sahur sebelum berpuasa memberikan manfaat untuk melatih diri kita supaya bangun pada awal pagi dan membuka pintu rezeki.

2. Keseimbangan dalam hidup. 

Keseimbangan kehidupan dapat diraih dengan beribadah kepada ALLAH SWT. Puasa melatih kita mengingat dan melaksanakan semua kewajipan yang difardukan dengan jaminan pahala yang bukan calang-calang.

3. Ibadah yang memiliki tujuan.

Objektif kita berpuasa untuk melatih diri supaya menghindari dosa dan mengawal syahwat kerana ALLAH SWT. Andai tujuan itu dapat dicapai, maka berjayalah ibadah yang dilakukan. Ketahuilah, ibadah yang berorientasikan matlamat berkenaan akan memudahkan kita untuk melakukan segala jenis ibadah.

4. Melatih manusia supaya lebih tabah.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik. Ia termasuklah sikap berburuk sangka, marah dan lain-lain. Pendek kata, berpuasa melatih diri kita supaya bersabar atas segala perbuatan orang lain terhadap kita.

5. Menjadi insan yang selalu bersyukur. 

Tatkala berbuka, pelbagai hidangan tersedia di depan mata. Itulah saatnya kita dilatih berasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki saat tidak berpuasa.

Sumber: https://news.detik.com/

Foto: 123rf & Freepik