Browsing Tag

Hari Arafah

Doa dibaca Nabi Muhammad
Ibadah,

Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

PASTI ramai umat Islam yang akan mengambil peluang untuk berpuasa pada Hari Arafah keesokan harinya. Istimewanya hari itu kerana dinyatakan sebagai hari yang paling disukai oleh ALLAH SWT dalam bulan Zulhijjah.

Bahkan, Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa berpuasa pada Hari Arafah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu serta setahun yang akan datang.

Justeru, pada hari tersebut, setiap orang disarankan untuk banyak berdoa memohon ampun serta meminta apa sahaja yang diingini kepada ALLAH. Hal itu kerana sebaik-baik doa yang dipohon adalah pada hari Arafah.

Sabda Nabi SAW, “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi, orang yang berpuasa pada hari itu akan mendapat keistimewaan yang berganda iaitu doa yang mustajab kerana berpuasa dan juga kerana Hari Arafah sendiri.

Baca juga Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

doa Hari Arafah

JANGAN lepaskan peluang berdoa pada Hari Arafah, iaitu antara waktu paling mustajab doa. Foto: 123RF

Ramai salah faham waktu mustajab doa Hari Arafah
Perihal waktu mustajab berdoa pada Hari Arafah, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, ada suatu salah faham yang berleluasa dalam umat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, wujud segelintir masyarakat setempat yang percaya bahawa waktu paling mustajab berdoa pada hari berkenaan menyamai waktu jemaah haji sedang berwukuf di Arab Saudi.

“Masyarakat kita ada satu falsafah. Dia hendak cari waktu mustajab doa itu (dengan menyamakan) pada waktu jemaah haji wukuf di Saudi.

“Dia kata waktu mustajab berdoa di Malaysia adalah 6.36 petang, contohnya, kerana pada saat itu, jemaah haji (sedang berwukuf) di Mekah,” ujarnya menerusi rancangan My #HadithTime yang disiarkan di laman sosial.

doa Hari Arafah

USTAZ FAHMI RUSLI

Bagi Fahmi, beliau tidak bersetuju amalan mengkhaskan satu waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa pada Hari Arafah di Malaysia dengan menyamakan pada masa jemaah haji berwukuf.

“Sebenarnya tidak betul kefahaman begini kerana waktu mustajab doa adalah pada Hari Arafah. Nabi kata sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah. Hari Arafah pula adalah 9 Zulhijjah.

“Nabi tidak sebut sebaik-baik doa adalah pada hari jemaah haji berwukuf di Arafah. Nabi tidak kata secara spesifik waktu mustajab doa seolah-olah kita di Malaysia perlu ikut waktu bila jemaah haji wukuf di Arafah,” jelasnya.

Sebaliknya pendakwah berkenaan mengingatkan bahawa keseluruhan tarikh 9 Zulhijjah itu dikira waktu mustajab dan rakyat Malaysia boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh tersebut tanpa menunggu masa tertentu.

SEBENARNYA keseluruhan Hari Arafah adalah waktu mustajab berdoa tanpa perlu menetapkan detik spesifik. Foto: 123RF

Doa yang sesuai dibaca pada Hari Arafah
Jika anda mencari doa sesuai pada Hari Arafah, berikut antara doa yang banyak dibaca oleh Nabi SAW dan para sahabat adalah:

لا إلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ ؛ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
(La ilaaha illaAllah wahdahu la syariikalahu, lahul mulku walahul hamdu, wahuwa ‘ala kulli syai’in Qadiir)

Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA segala kekuasaan dan bagi-NYA segala pujian, dan DIA-lah Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Selain itu, jika anda ingin memecahkan sedikit rutin berdoa dengan doa yang jarang-jarang diucapkan, boleh juga berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ في قَلْبِي نُورًا، وفي بَصَرِي نُورًا، وفي سَمْعِي نُورًا، وعَنْ يَمِينِي نُورًا، وعَنْ يَسارِي نُورًا، وفَوْقِي نُورًا، وتَحْتي نُورًا، وأَمامِي نُورًا، وخَلْفِي نُورًا، واجْعَلْ لي نُورًا

Maksudnya: “Ya ALLAH, jadikanlah di dalam hatiku cahaya, dan di pandanganku cahaya, dan pada pendengaranku cahaya, dan dari kananku cahaya, dan dari kiriku cahaya, dan di atasku cahaya, dan di bawahku cahaya, dan di depanku cahaya, dan di belakangku cahaya, berilah aku cahaya.” (Sahih Bukhari, no. 6316)

Ini adalah doa yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh. Ia boleh dibaca juga pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi dalam masa yang berbaki sebelum kita memasuki gerbang 10 Zulhijjah.

Sumber: Tzkrh & Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

Foto: 123RF

Hari Tarwiyah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

KITA masih berada dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sebagaimana yang diketahui umum, waktu ini merupakan adalah antara hari-hari yang paling disukai serta dicintai oleh ALLAH SWT bagi orang yang beramal soleh.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan ALLAH ? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan ALLAH melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Tambahan pula, hari ini merupakan hari yang kelapan di dalam bulan tersebut dan ia juga dinamakan sebagai hari Tarwiyah.

Tetapi, mengapa ia digelar Hari Tarwiyah? Apakah kelebihan yang ada pada hari tersebut?

Baca juga Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

Turut disyorkan Dua jenis takbir ketika Aidiladha

Hari Tarwiyah

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Ibnu Qudamah di dalam kitabnya, ada menyebutkan dua sebab mengapa hari tersebut digelarkan Tarwiyah.

Dua sebab di sebalik penamaan Hari Tarwiyah.
1. Bekalan air bagi jemaah haji sebelum menuju ke Arafah.
Pertama, nama Hari Tarwiyah dikatakan merujuk kepada hari di mana para jemaah hai mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah.

Jelas portal itu, sebelum menuju ke Arafah, para jemaah haji akan pergi ke Mina terlebih dahulu dalam keadaan berihram. Ketika di Mina, mereka juga akan mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah.

Perbuatan mempersiapkan air itu diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون). Maka, hari kelapan Zulhijjah dikenali sebagai Hari Tarwiyah.

ARTIKEL BERKAITAN:

2. Mimpi Nabi Ibrahim.
Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buat kali yang pertama daripada ALLAH SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.

Setelah mimpi itu, seharian baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada ALLAH atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. (Rujuk al-Mughni, 3/249)

Hari Tarwiyah

SEBELUM bergerak ke Arafah untuk berwukuf,, jemaah haji perlu bermalam di Mina terlebih dahulu. Foto: Arab News

Baca juga Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

Turut disyorkan Doa Arafah ini berbeza kerana meliputi semua doa-doa yang masyhur

Kelebihan Hari Tarwiyah
Dari sudut kelebihan, portal tersebut menjelaskan, sebenarnya tidak ada hadis sahih yang menyentuh tentang amalan tertentu yang boleh dilakukan pada Hari Tarwiyah melainkan hadis umum yang menceritakan kelebihan melakukan amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah.

Memandangkan berpuasa dan ibadat-ibadat yang lain merupakan salah satu daripada bentuk amal soleh, maka atas sebab itu umat Islam disunatkan berpuasa pada Hari Tarwiyah.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hadis daif tentang puasa Hari Tarwiyah
Pihak mufti turut menyentuh tentang satu hadis yang mendakwa bahawa berpuasa pada hari itu akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.

Dikatakan bahawa Rasululah SAW telah bersabda,

Maksudnya: “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248].

Pihak mufti bagaimanapun memberitahu, para fuqaha berbeza pandangan dalam menilai hadith berkenaan.

AMBILLAH peluang berdoa pada Hari Arafah yang merupakan salah satu waktu paling mustajab doa. Foto: 123RF

Baca juga Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

Sebahagian ulama seperti Imam al-Suyuthi dan Imam al-Busiri menilai status hadis tersebut sebagai dhaif (lemah) kerana terdapat perawi di dalam sanad hadis yang dianggap pendusta dan majhul (tidak dikenali).

Pun begitu, ulas laman web tersebut, meskipun dinilai hadis dhaif, terdapat sebahagian ulama yang menggunakannya sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah.

Hal itu kerana sebahagian ulama membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadith yang dhaif (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal selagimana ia tidak berkaitan dengan permasalahan aqidah atau hukum.

Kesimpulannya, hari Tarwiyah merupakan hari yang kelapan di dalam bulan Zulhijjah dan tidak ada dinyatakan kelebihan yang khusus atau amalan yang khusus untuk dilakukan pada hari tersebut berdasarkan kepada hadis yang sahih.

Walaupun demikian, kita digalakkan beramal soleh seperti berpuasa memandangkan ia termasuk antara 10 hari terawal Zulhijjah.

Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF

Hari Arafah
Ibadah,

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M…

ANTARA keistimewaan bulan Zulhijah adalah dianjurkan untuk berpuasa sunat bermula satu sehingga sembilan Zulhijah.

Tiada kelebihan khusus dari hari pertama hingga lapan Zulhijah. Namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada sembilan Zulhijah.

Pada hari tersebut merupakan hari Arafah di mana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Baca Juga Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

Baca Juga Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

Menurut Riwayat Imam Malik, Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

Di Malaysia, hari Tarwiyah jatuh pada 8 Zulhijah iaitu bersamaan dengan 27 Jun. Manakala hari Arafah jatuh pada 28 Jun 2023.

KESEMUA 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu. Foto: REUTERS/Mohammed Salem

SUNAH PUASA 1-9 ZULHIJAH

1 Zulhijah = Selasa, 20.06.2023
2 Zulhijah = Rabu, 21.06.2023
3 Zulhijah = Khamis, 22.06.2023
4 Zulhijah = Jumaat, 23.06.2023
5 Zulhijah = Sabtu, 24.06.2023
6 Zulhijah = Ahad, 25.06.2023
7 Zulhijah = Isnin, 26.06.2023
8 Zulhijah = Selasa, 27.06.2023
9 Zulhijah = Rabu, 28.06.2023

HARAM PUASA :

Hari Raya Aidiladha : 10 Zulhijah = Khamis, 29/06/2023
Hari Tasyrik : 11 Zulhijah = Jumaat, 30/06/2021
Hari Tasyrik : 12 Zulhijah = Sabtu, 1/07/2023
Hari Tasyrik : 13 Zulhijah = Ahad, 2/07/2023

KEISTIMEWAAN dan fadilat 10 awal Zulhijah. Foto: JAKIM

Niat Puasa Sunat Zulhijah, Tarwiyah dan Arafah

———————————————————————————–

Niat Puasa Sunat Zulhijah (1-7 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Niat Puasa Sunat Tarwiyah (8 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————

Niat Puasa Sunat Hari Arafah (9 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Perkongsian mengenai tarikh-tarikh penting bulan Zulhijah tahun ini (2023) dikongsi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hari Arafah
Ibadah,

Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

UMAT Islam di Malaysia dijangka akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023, dan hari Arafah akan jatuh pada 28 Jun.

Manakala kerajaan Arab Saudi pula mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun ini sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 28 Jun di sana.

Ini bermakna, kita akan merayakan Aidiladha lewat sehari berbanding jemaah haji di Mekah.

Walaupun telah dimaklumkan akan dua tarikh penting tersebut, namun kadang-kala timbul jua persoalan terutama pada jatuhnya hari Arafah, tarikh manakah yang lebih sesuai untuk berpuasa, adakah perlu mengikut hari di Malaysia atau di Mekah?

Baca Juga Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

Baca Juga Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Barkitan hal ini, Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin telah menjelaskan lebih lanjut menerusi satu hantaran video di laman media sosial.

Ujarnya, tahun ini berlaku lagi raya Aidiladha di mekah sehari lebih awal daripada kita. Jadi hari kesembilan kita iaitu hari Arafah juga akan lewat sehari daripada jemaah hari di Mekah.

MAZHAB Syafie – Rukyah hilal (melihat anak bulan) mestilah tertakluk kepada Matla` yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan bulan. 

“Mereka dah beraya, dan kita pula baru hendak berpuasa sunat hari Arafah. Sekalipun secara fekahnya kita tahu bahawa hari kesembilan ataupun hari arafah itu adalah mengikut penetapan negara masing-masing.

‘Tapi jauh di sudut hati ini, kita teringin nak hidupkan hari Arafah itu, bersama dengan para tetamu ALLAH SWT yang sedang berwukuf di Arafah. Mungkin kerana besarnya fadilat hari Arafah dan mereka yang sedang berwukuf di Arafah.

“Kita terasa sangat ingin berdoa dan berpuasa ketika mereka sedang bermahsyar di Arafah, merintihlah kepada ALLAH dan berdoalah bersungguh-sungguh.

Turut Disyorkan Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

“Tapi rahmat ALLAH itu MAHA LUAS, setiap hari pasti akan ada detik mustajabnya doa yang ALLAH sediakan kepada kita, dibuka seluasnya pintu zikir, puasa dan segala amal soleh di awal bulan Zulhijah lagi.

“Walaupun kita raya sehari lewat daripada jemaah haji di Mekah, kita haruslah mengikut penetapan ulil amri kita yang berdasarkan kepada cerapan anak bulan melainkan satu hari nanti semua negara-negara Islam bersepakat dengan teknologi yang ada untuk mengikut penepatan waktu Mekah.

PUASA hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang kemudian”.

 

“Tidak mengapa walaupun kita rasa tidak sedap hati dengan puasa yang berbeza dengan jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah, boleh sahaja berpuasa pada hari Selasa dan Rabu ataupun pada hari kelapan dan kesembilan.

“Manakala puasa hari kelapan itu pula adalah sangat digalakkan pada awal Zulhijah kerana bermulanya satu Zulhijah lagi, kita sudah digalakkan untuk tingkatkan amalan dan ibadah seperti puasa, zikir, baca al-Quran, sedekah dan sebagainya,” katanya.

Baca Juga “Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

Di akhir perkongsian, Ustaz Kamilin mengingatkan warga maya agar jangan tinggalkan puasa pada hari Arafah kerana fadilatnya diampunkan dosa setahun yang lalu, dan setahun yang akan datang.

Sabda Nabi SAW “Puasa hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang kemudian”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hari Arafah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

KHUTBAH Arafah berbahasa Arab bagi musim haji 1444H/2023M akan disiarkan secara langsung dalam 20 bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Setiausaha Bahagian Agensi Bahasa-Bahasa dan Terjemahan di Jabatan Hal Ehwal al-Haramain, Ahmad bin Abdul Aziz al-Humaidi berkata, pada tahun ini ada enam bahasa baharu iaitu Sepanyol, Portugal, Jerman, Filipina, Itali dan Bosnia ditampilkan, sebagai tambahan bahasa untuk terjemahan khutbah Arafah.

“Lebih dari 274 juta orang di seluruh dunia telah mendapat akses kepada khutbah Arafah pada musim haji tahun 1443H/2022M yang lepas hasil tranformasi digital dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.

Baca Juga Arab Saudi umum hari wukuf jemaah haji 27 Jun ini

Beliau berkata demikian kepada petugas media daripada agensi dan organisasi pelbagai negara yang menyertai program Media Partnerships For Hajj Season 2023 anjuran Kementerian Media Arab Saudi, pada Sabtu.

Ahmad berkata, bagi musim haji 1444H/2023M ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia.

“Kami telah mengesan bahawa penduduk di Amerika Selatan tidak mendapat akses untuk mendengar khutbah Arafah pada musim haji tahun lepas“.

MUSIM haji 1444H/2023M ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia.

“Justeru, kami permudahkan akses dengan menyediakan perisian yang boleh dimuat turun dari laman web agensi ini dan di semua platform media sosial,” katanya.

Terdapat lebih 40 penterjemah terlatih dan berpengalaman di agensi itu, dan bagi menjaga ketepatan maksud khutbah, kesemua mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (MA), ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang bahasa selain latar belakang pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN

Antara bahasa utama untuk terjemahan ialah Inggeris, Perancis, Mandarin, Benggali, Rusia, Melayu, Urdu, Parsi, Hausa dan Turkiye.

Bagi umat Islam Malaysia yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Arab, terjemahan khutbah ke Bahasa Melayu boleh diikuti menerusi portal https://manaratalharamain.gov.sa. 

Dua pemuda Malaysia, Muhammad Mujahid Zaharudin dan Dr Ahmad Wifaq Mokhtar bersama-sama dua rakan penterjemah dari Indonesia bertanggungjawab untuk melakukan penterjemahan bahan-bahan seperti khutbah Jumaat, Hari Raya, Hari Arafah dan solat istimewa seperti gerhana matahari serta bulan.

RAKYAT Malaysia boleh mendengar secara langsung terjemahan khutbah itu dalam bahasa Melayu menerusi portal manaratalharamain.gov.sa yang antaranya diterjemah seorang pemuda Malaysia, Muhammad Mujahid Zaharudin. 

“Kami bergabung dengan penterjemah dari Indonesia disebabkan persamaan dan kedekatan bahasa kita (Melayu) dengan mereka. Kami akan bergilir. Khutbah Arafah tahun ini giliran saudara kami dari Indonesia“.

Baca Juga Demi ibadah haji sanggup berjalan kaki ke Mekah, 2 kisah ini wajar dijadikan inspirasi

“Khutbah Raya pada esok harinya giliran saya, ia akan dibaca dalam bahasa Melayu. Khutbah Jumaat minggu ini oleh Dr (Ahmad) Wifaq, juga Bahasa Melayu,” kata Muhammad Mujahid ketika ditemui.

Muhammad Mujahid, 26, dari Johor Bahru merupakan satu-satunya mewakili rakyat Malaysia bertugas sebagai penterjemah di Masjidil Haram sejak Oktober 2022 dengan menterjemah khutbah Jumaat, khutbah Hari Arafah, syarahan dan papan-papan tanda di masjid berkenaan.

Wukuf di Arafah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Arab Saudi umum hari wukuf jemaah haji 27 Jun ini

KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun ini sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 28 Jun di sana.

Perkara itu dinyatakan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta turut dilaporkan media tempatan termasuk Saudi Gazette.

Wukuf dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (27 Jun) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.

Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu.

Baca Juga Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)

Syed Saleh dalam sidang media, semalam, berkata tahap kesediaan khemah di Arafah dan Mina bagi operasi masyair untuk jemaah haji Malaysia kini telah mencapai tahap 80%.

Menurutnya dengan berbaki lapan hari lagi menjelang hari wukuf, pihak pengurusan di sembilan maktab penginapan akan mengadakan sesi taklimat bagi menerangkan antaranya mengenai pergerakan bas dan kemudahan di Arafah dan Mina kepada jemaah haji.

DATUK Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia.

Syed Saleh berkata, semua sektor telah membuat persediaan sewajarnya bagi memastikan operasi masyair berjalan dengan jayanya, termasuk mengadakan taklimat pada peringkat maktab berhubung pergerakan jemaah ketika kemuncak ibadah haji nanti.

“Setiap jemaah Malaysia juga akan diberikan nombor khemah dan tempat khusus untuk mereka di dalam khemah masing-masing di Arafah dan Mina. Ia akan dikeluarkan dalam waktu terdekat dan diedarkan kepada semua jemaah haji untuk diletakkan pada lencana pengenalan diri mereka,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Syed Saleh turut memaklumkan, hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk khemah berdinding PVC, bekalan elektrik di Arafah terus dari pencawang dan bekalan makanan keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.

“Sejumlah 139 khemah masyair untuk jemaah Malaysia disediakan di Arafah dengan setiap satu akan memuatkan purata 180 hingga 300 orang, bergantung pada saiz sesebuah khemah terbabit. Bilangan khemah di Mina juga adalah lebih kurang sama.

KESEMUA 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu. Foto: REUTERS/Mohammed Salem

“Musim ini merupakan tahun kedua jemaah muassasah akan dibekalkan kemudahan tilam di dalam khemah Malaysia di Arafah dan Mina nanti.

“Penambahbaikan lain ialah penggunaan ‘wheeled litter carrier’ di lapangan masyair bagi membolehkan penghantaran pesakit secara lebih cekap dan efisien, antara lain lebih mudah dibawa melalui lorong kecil antara khemah jemaah, berbanding menggunakan pengusung biasa.

Baca Juga Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah

“Selain itu, elektrik di Arafah akan dibekalkan 100 peratus secara terus daripada pencawang berbanding generator sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata setakat ini, seramai 29,212 daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Mekah.

Mengenai laporan kesihatan jemaah haji pula, setakat ini 56 jemaah haji berada di wad pusat rawatan Tabung Haji (TH), manakala lapan orang di fasiliti kesihatan Arab Saudi.

Bagaimanapun, tambahnya, kesemua mereka yang mengalami jangkitan paru-paru, masalah jantung dan sistem pencernaan, sakit kulit dan sendi berada dalam keadaan stabil.

Hari Arafah
Isu, Pilihan Editor,

Banyakkan Berdoa Pada Hari Arafah Ini, Antara Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan

no comment

MESKIPUN sibuk dengan persiapan dan merancang menu untuk keluarga bagi menyambut Hari Raya Aidiladha esok, usah dilupakan hari Arafah yang jatuh pada hari ini.

Barangkali ramai yang tidak melepaskan peluang untuk berpuasa pada hari ini. Masakan tidak, inilah hari yang digalakkan untuk berpuasa sunat.

Ada satu lagi amalan yang boleh kita lakukan pada hari ini iaitu berdoa kepada ALLAH. Ketahuilah bahawa hari Arafah merupakan antara waktu mustajab berdoa.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW.

DR AHMAD SANUSI

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik zikir yang aku sebutkan dan juga para nabi yang terdahulu sebelumku adalah (zikir) Lailaha illahu wahdah, la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa ‘ala kulli syai’in qadir.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ujar ahli akademik itu, hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri. Bayangkan pada hari inilah ALLAH SWT mendekati hamba-hamba-NYA.

Baca juga 10 Amalan Soleh Yang Boleh Dilakukan Pada Bulan Zulhijah

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada hari yang paling banyak ALLAH membebaskan hamba-NYA dari neraka seperti hari Arafah. Pada hari tersebut, ALLAH mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hamba-NYA) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

“Hari Arafah tidak sama dengan malam lailatulqadar. Andai malam lailatulqadar dirahsiakan daripada hamba-hamba-NYA, maka pada hari Arafah ini, kita telah pun maklum tentang waktunya.

Hari Arafah

HARI Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri yang disebutkan dalam nas. Jangan lepaskan peluang untuk berpuasa sunat dan berdoa pada hari ini.

“Justeru, ambillah peluang untuk banyakkan berdoa dan berpuasa pada hari ini. Mereka yang berpuasa pada hari Arafah, ALLAH akan menghapuskan dosa-dosa tahun terdahulu dan dosa selepas daripadanya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Sahih Muslim,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Azri Bhari menjelaskan, wukuf dan doa mustajab adalah amalan khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah hingga tenggelam matahari waktu Maghrib.

DR AZRI

Namun begitu, katanya, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji boleh mengambil peluang dan kelebihan berkenaan untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing.

“Seperkara, jangan mengehadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa tertentu. Sebaliknya, kita digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu kerana tiada dalil khusus yang mengehadkannya,” sarannya.

Justeru, marilah sama-sama kita meraih segala keistimewaan dan kelebihan yang ALLAH SWT kurniakan ini. Semoga amalan yang dilakukan akan mendekatkan diri kepada-NYA, di samping mengangkat darjat di sisi-NYA.

Foto: 123f & Koleksi foto Sinar Harian