Browsing Tag

hamzah RA

hindun hamzah
Hukum,

Semak semula kisah Hindun makan hati Hamzah RA, popular tetapi tidak sahih

ADA sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya iaitu perihal Hindun memamah hati sahabat Nabi SAW bernama Hamzah RA ketika peperangan Uhud.

Kisah itu banyak diceritakan dalam buku-buku sirah, dan semuanya diambil daripada jalur Ibnu Ishaq. Pun begitu, agamawan terkemuka Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, cerita berkenaan berstatus tidak sahih.

Baca juga Cinta Rasulullah tumpah di bukit Uhud, inilah sirah yang patut diketahui seluruh Muslim

Menurut catatan, Hindun binti Utbah merupakan isteri kepada Abu Sufyan, seorang pembesar yang berkuasa di Makkah yang pada awalnya adalah penentang utama dakwah Rasulullah SAW.

Di samping itu, dia juga adalah ibu kepada Muawiyah, pengasas kepada kerajaan Umayyah dan Ummu Habibah (Ramlah binti Abu Sufyan) yang menjadi salah seorang isteri Rasulullah SAW.

SAIDINA Hamzah bin Muttalib sangat hebat dalam memanah berkuda. Beliau juga dikenali sebagai ‘Asadullah’ yang bermaksud ‘Singa ALLAH’ atas keberaniannya di medan peperangan. Foto: 123RF

Baca juga Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

Oleh itu, Hindun sebenarnya adalah ibu mertua kepada baginda. Saidina Hamzah RA pula ialah bapa saudara Nabi SAW dan beliau antara orang yang gugur syahid dalam peperangan Uhud.

Menurut penceritaan Ibnu Ishaq, Hindun binti Utbah termasuk beberapa perempuan lain turut memotong telinga serta hidung para sahabat Rasulullah SAW yang terbunuh dan menjadikannya gelang kaki dan rantai. Perhiasannya itu pula diberikan kepada Wahsyi, hamba Jubair bin Muth’im yang ditugaskan membunuh Saidina Hamzah RA.

Turut disyorkan Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin

Ibnu Ishaq memberitahu bahawa riwayat itu diambil daripada Soleh bin Kaisan, iaitu seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi boleh dipercayai). Walau bagaimanapun, Soleh bin Kaisan lahir pada 70 Hijrah dan meninggal dunia pada 140 Hijrah. Beliau juga tua sedikit daripada Ibnu Ishaq.

Peristiwa peperangan Uhud pula telah berlaku 70 tahun lamanya sebelum beliau lahir, bermakna cerita yang dinukilkan oleh Soleh bin Kaisan diambil daripada para tabi’i yang lain. Justeru sanad riwayat ini dikategorikan sebagai mursal dan tidak boleh diterima.

SIAPA sangka kisah yang dipopularkan melalui pelbagai buku sirah itu ternyata tidak mempunyai sumber yang kukuh. Foto: 123RF

Baca juga Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

Kata mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, sekiranya kisah berkenaan benar-benar berlaku pastilah ramai sahabat yang melihat sendiri peristiwa tersebut dan meriwayatkannya dengan sanad yang sahih.

Dalam pada itu, cerita yang lebih kurang sama juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Ibnu Mas’ud RA:

Maksudnya: “… lalu para sahabat mencari dan menjumpai Hamzah dalam keadaan terbedah perutnya. Hindun telah mengambil hati Hamzah dan mengunyahnya, namun dia tidak dapat untuk menelannya. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah dia memakan sesuatu (daripada tubuh Hamzah)?” Para sahabat menjawab, “Tidak!”. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah ALLAH akan memasukkan sesuatu pun daripada jasad Hamzah ke dalam neraka. Lalu baginda pun mensolatkannya…”(Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, 4414)

Namun begitu, tokoh Islam, Ibnu Kathir mengulas dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah bahawa Imam Ahmad bersendiri dalam meriwayatkannya dan sanad hadis ini mengandungi kelemahan daripada jalur ‘Atha’ bin as-Sa-ib.

hindun hamzah

Tetapi kisah tentera musyrikin Quraisy yang merosakkan jasad para sahabat yang mati syahid dalam perang Uhud sememangnya berlaku seperti yang dicatatkan dalam Kitab Sahih Bukhari. Foto: 123RF

Justeru, berdasarkan penjelasan tersebut, Dr Zulkifli memberitahu bahawa kebanyakan riwayat yang menceritakan mengenai Hindun memakan hati Saidina Hamzah adalah tidak sahih.

Tetapi kisah tentera musyrikin Quraisy yang merosakkan jasad para sahabat yang mati syahid dalam perang Uhud memang benar-benar berlaku dan ada dinukilkan dalam Kitab Sahih Bukhari.

Untuk pengetahuan, Wahsyi yang diketahui umum sebagai pembunuh upahan yang membunuh Saidina Hamzah, serta tuannya Jubair bin Muth’im akhirnya memeluk Islam selepas itu.

Malah Hindun juga memeluk Islam pada peristiwa Fath al-Makkah mengikuti suaminya, Abu Sufyan setelah menerima dakwah Nabi SAW.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: 123RF