Browsing Tag

Hamba ALLAH

Hamba ALLAH
Gaya Hidup,

Ambil Kesempatan Dalam PKP 3.0 Jadi Hamba ALLAH Terbaik

no comment

Oleh NURUL HAJAR JAMALUDDIN

TREND kes harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka yang masih menggusarkan. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung wabak berkenaan daripada terus merebak amat dialu-alukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.“ (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, sewajarnya kita sebagai rakyat yang patuh, perlu bersama-sama berganding bahu menyahut saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan agar terus duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar.

Benar, secara fitrahnya, pelaksanaan PKP 3.0 bukanlah satu perkara yang disukai ramai. Banyak perkara yang lazimnya dilakukan, tidak dapat dibuat.

Ibu bapa misalnya, berdepan dengan seribu satu cabaran untuk menguruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak menerusi medium dalam talian. Macam-macam ragam terutama anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan.

Namun begitu, jika diperluaskan perspektifnya, ketika musim pandemik inilah, memberi ruang dan peluang kepada kita mempertingkatkan amalan dan ibadah yang selama ini mungkin tidak dapat dilakukan secara sempurna.

Umpamanya, setiap ibu bapa yang bekerja dari rumah dapat menjaga kesempurnaan ibadah anak-anak dengan memantau solat mereka, selain menemani dan membantu pelaksanaan PdPR.

Hamba ALLAH

SAMBIL bekerja dari rumah, ibu bapa boleh memantau pendidikan rohani anak-anak sepanjang PKP.

Fahamilah bahawa pendidikan rohani kepada cahaya mata juga merupakan tanggungjawab signifikan ibu bapa. Justeru, menitikberatkan urusan berkenaan dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH YANG MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI.

Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah

Pun demikian, ketika usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, ada perkara lain yang tidak enak didengar. Apa lagi kalau bukan isu keganasan rumah tangga. Kes seperti isteri didera oleh suami sehingga menyebabkan kematian memang situasi yang sangat dikesali.

Sepatutnya, hal-hal sebegitu tidak berlaku kerana pada saat sukar ini, kasih sayang sepatutnya semakin bertaut dan masing-masing perlu bersatu hati untuk mengharungi apa sahaja situasi yang melanda.

Lazimi kalamullah

Namun, penulis tidak nafikan, lebih ramai di antara kita memanfaatkan peluang PKP 3.0 ini dengan sebaik-baiknya.

Kebanyakan keluarga nampaknya telah menggunakan masa keemasan yang ada dengan menggandakan amal ibadah bersama insan yang tersayang. Selain menunaikan ibadah secara berjemaah, mereka mengadakan sesi usrah untuk membina ukhuwah Islamiah yang kental.

Usaha itu selayaknya dipuji kerana ia merupakan salah satu cara untuk menambahkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Bagi kelompok suami yang hatinya yang sentiasa ‘melekat‘ di masjid, namun tidak dapat berbuat demikian ketika PKP, kesempatan yang terbentang luas kini perlulah digunakan untuk memimpin solat berjemaah bersama famili di kediaman masing-masing.

Apabila ahli keluarga dapat merapatkan saf bersama, pasti rahmat kasih sayang-NYA akan terbuka luas, sekali gus menjauhkan daripada berlakunya kes-kes rumah tangga yang menyayat hati.

Dalam pada itu, pada era pandemik ini, sesetengah orang yang kurang bernasib baik akan berhadapan dengan kekurangan sumber ekonomi dan paling menyedihkan pastinya kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.

Dalam hal itu, kestabilan spiritual dan fizikal sangat didambakan. Justeru, satu anjakan paradigma perlu dilakukan agar kita tidak mudah mengangkat ‘bendera putih‘ terlalu awal ketika berdepan dengan situasi kritikal itu.

Hamba ALLAH


MANFAATKAN kesempatan masa yang diberikan untuk bersama keluarga dan pada masa sama, tingkatkan ibadah serta memperbetul bacaan anak-anak ketika mengaji.

Ingatlah, di mana ada usaha, di situ pasti ada jalannya. Pada penulis, bersama-samalah kita utuhkan sistem kekuatan dalaman atau spiritual dan fizikal bagi mewujudkan individu yang memiliki daya ketahanan yang tinggi serta tidak mudah koyak dengan cabaran.

Pada masa sama, kita perkukuhkan lagi ibadah terutama amalan solat. Dekatkanlah diri dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sekiranya sudah lama tidak melazimkannya, mulakan dengan membaca surah yang menjadi kebiasaan dahulu.

Sesungguhnya, al-Quran al-Karim merupakan mukjizat yang diturunkan ALLAH kepada Rasulullah SAW junjungan kita. Setiap ayat yang dibaca, dengan izin-NYA, ALLAH akan menghadirkan sebuah ketenangan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Jika terdapat kekangan masa, dengarkanlah alunan ayat suci al-Quran. Biarkan ia menyapa halwa telinga kita dengan bait-bait kalimah ALLAH yang penuh indah.

Semoga spiritual kita terisi dengan ayat-ayat daripada kitabullah. Bertadabbur dan fahamilah isinya agar aras tingkatan amalan kita bertambah, walaupun ketika pandemik besar melanda.

Menerusi akal yang sihat dan cerdas, kesannya tubuh badan dapat berfungsi dengan baik. Ia seperti pepatah Arab yang menyatakan bahawa akal yang cerdas berada dalam badan yang sihat.

Sebelum mengakhiri kalam ini, suka untuk penulis mengingatkan semua umat Islam agar terus menormalisasikan bacaan zikir. Itulah ibadah yang masyru‘ (disyariatkan) oleh agama kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH).“ (Riwayat al-Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain)

Pada musim PKP inilah, masa yang sesuai untuk kita berusaha menjadi hamba ALLAH yang terbaik dari setiap segi sebelum pergi menemui-NYA nanti.

*** Nurul Hajar Jamaluddin ialah Pembantu Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Bernama & Freepik