Browsing Tag

Hal karut-marut

Hal karut-marut
Gaya Hidup,

Negara Sudah Maju, Tetapi Masih Ramai Lagi Percaya Kepada Hal Karut-Marut. Berikut Peringatan Islam Kepada Pelakunya

no comment

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF

ALLAH SWT menciptakan manusia di dunia sebagai makhluk istimewa kerana dikurniakan akal fikiran. Persoalannya, adakah kita menggunakan nikmat yang ILAHI berikan itu dengan sebaiknya?

Sesungguhnya, akal fikiran yang dikurniakan-NYA patut kita manfaatkan dengan perkara-perkara yang mampu menjadikan kita insan yang bertakwa. Melalui akal juga, semua umat Islam perlu memahami dengan sebaik-baiknya bahawa hanya ALLAH SWT sahaja tempat untuk kita mengadu atau memohon pertolongan sekiranya ditimpa musibah atau segala masalah.

Ya, memang akan ada insan di sekeliling yang akan memberikan bantuan jika ditimpa kesusahan, tetapi perlu diingat bahawa kesemuanya adalah dengan izin daripada-NYA.

Sekiranya kita menganggap pertolongan itu hadir selain daripada ALLAH atau berasakan diri kita memang cukup hebat dalam menangani cabaran, perasaan itu perlu dinyahkan segera. Ini kerana hal tersebut ternyata boleh menjejaskan akidah kita.

Sebagai seorang Muslim, mensyirikan atau menyekutukan ALLAH SWT merupakan satu dosa besar. Bagi mereka yang telah terlanjur dalam melakukan perkara-perkara syirik seperti pemujaan, memakai tangkal sebagai perlindungan diri atau mengagungkan seseorang sebagai Tuhan, segeralah bertaubat selagi masih bernyawa.

Jangan sesekali termakan dengan hasutan syaitan yang tentunya mahukan manusia sesat daripada ajaran Islam yang sebenar.

Firman ALLAH SWT: “Bahawa sesungguhnya ALLAH SWT tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan ALLAH akan mengampunkan kepada sesiapa yang DIA kehendaki iaitu selain daripada dosa-dosa syirik.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Berpaut hanya kepada ALLAH

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku. Dari aspek sudut tutur kata atau percakapan juga harus dijaga kerana jika tersalah langkah, sudah pasti akan memberi kesan kepada akidah kita sama ada secara sedar atau tidak.

Hal karut-marut

JAUHI diri daripada perkara yang boleh mensyirikkan ALLAH dan menjauhkan kita dengan-NYA.

Peliknya, sehingga ke hari ini, masih terdapat golongan atau individu yang sangat berbangga apabila melakukan ajaran yang merosakkan akidah.

Pada masa sama, meskipun berada dalam era milenial yang serba maju, masih terdapat pelbagai ajaran sesat yang semakin berleluasa. Ia sama sekali terpesong dan tergelincir daripada landasan agama Islam yang sebenar.

Baca juga Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

Sebagai umat yang prihatin, kita wajib memainkan peranan melaporkan kepada pihak berkuasa agama jika terhidu sebarang ajaran atau penyebaran kefahaman yang mengelirukan.

Dalam Surah Ali-Imran, ayat 19, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya, agama yang diredai oleh ALLAH ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang diberikan kitab melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan, kerana hasad dengki dalam kalangan mereka. Dan sesiapa yang kufur akan ayat-ayat ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH amat cepat hitungan hisab-NYA.”

Saya secara peribadi berpendapat, sikap suka memilih jalan singkat dan mudah terpengaruh telah menjadi punca kebanyakan individu terjebak dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan syirik.

Sedangkan dalam Islam, kita jelas diajar untuk merujuk sumber yang sahih dan tidak bercanggah dengan syariat. Kita juga seharusnya mendapatkan nasihat atau merujuk kepada individu yang layak digelar guru untuk memberi penjelasan terhadap sesuatu perkara, termasuk yang berkaitan dengan akidah dan iman.

Kadangkala manusia tahu bahawa sesuatu perbuatan itu salah, namun kerana lemahnya pendirian diri, maka mereka turuti juga hasutan syaitan yang sudah tentu mahu menyesatkan kita dan mahu kita melupakan ALLAH YANG MAHA BERKUASA.

Mengertilah, sekali kita terpaut dan terperangkap dengan syaitan, tiada jalan lain selain melakukan taubat nasuha. Itulah jalan penyelesaiannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi mana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Nabinya (sunah Nabi Muhammad).” (Riwayat al-Baihaqi)

Oleh yang demikian, kita diminta supaya tidak terpengaruh dengan ajaran mahupun amalan yang hanya dilihat pada logik akal sahaja tanpa berpandukan kepada sumber yang absah lagi diyakini.

Jika tidak pasti akan sesuatu risalah, maka jangan dikongsi atau dihebahkan kepada orang lain tanpa memastikan kebenarannya terlebih dahulu.

Kita khuatir, ada dalam kalangan masyarakat yang mudah menerimanya serta-merta tanpa memikirkan sedalam-dalamnya. Lagi menakutkan, mereka terus beramal dengan kefahaman yang dipercayai itu yang jelas boleh meranapkan akidah.

Justeru, berpegang teguhlah dengan kepada ajaran Islam yang sebenar melalui akidah Ahli Sunah Waljamaah. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH SWT supaya memberi kekuatan kepada hati dan mengukuhkan iman kita.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

***Rafiuddin Mohd Yusof ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor

Foto: Unsplash