Browsing Tag

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita
Faraid, Iqtisad,

Ketahui hak faraid bagi wanita, waris dominan dalam senarai ‘ashab al-furud’

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

TANGGAL 8 Mac lalu memperlihatkan sambutan Hari Wanita Sedunia yang menuntut kesedaran hak terutama dalam mendepani cabaran kehidupan dunia pasca pandemik. Harapan dan sokongan kepada golongan wanita perlu diambil perhatian kerana mereka selalunya dilabel sebagai komuniti lemah.

Hak wanita melalui perundangan faraid dalam Islam telah dimartabatkan sebagaimana firman ALLAH SWT: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh ALLAH).” (Surah an-Nisa, ayat 7)

Islam membawa banyak perubahan terutama berkaitan bentuk pewarisan yang diamal oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Kesannya satu sistem yang lebih tersusun dapat diperkenalkan. Pewarisan yang hanya diberikan kepada lelaki pada zaman Jahiliyyah telah dimansuhkan. Islam telah membawa perubahan dengan memberi hak kepada kedua-dua jantina untuk menjadi penerima harta pusaka si mati.

Perebutan harta pusaka tetap akan berlaku sama ada waris itu lelaki atau wanita. Namun dengan kefahaman jitu mampu menyelamatkan konflik urusan harta keluarga si mati. Justeru, wanita perlu sedar akan hak dalam faraid dan bersedia mendepani cabaran urus harta keluarga.

Hak faraid wanita

KAUM Hawa dan semua orang perlu memahami hak faraid serta pengurusannya.

Tiada beza jantina

Semua prosedur asas berkaitan faraid iaitu wujudnya rukun, syarat, sebab dan ketiadaan penghalang terpakai kepada lelaki dan wanita. Sebagai contoh dalam syarat sesuatu agihan faraid tidak diletakkan jantina sebagai asas untuk pembahagian harta pusaka Islam.

Peraturan yang hanya diletakkan berkaitan syarat faraid ialah kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan. Jadi, mana-mana waris yang dipastikan hidup layak untuk menerima harta pusaka. Perbezaan jantina bukan syarat menerima faraid.

Baca juga Hak faraid bagi balu dan duda yang wajib kita tahu

Dari aspek lain, perbahasan berkenaan penghalang faraid juga terpakai kepada kedua-dua jantina. Salah satu contoh penghalang faraid ialah tindakan membunuh menyebabkan pembunuh tidak mendapat harta pusaka mangsa yang mempunyai hubungan sebab pewarisan dengan pembunuh tersebut. Isteri yang membunuh suaminya akan dihalang untuk memperoleh harta pusaka suaminya yang meninggal dunia sama keadaannya seperti suami yang membunuh isterinya.

Kelompok majoriti waris Ashab al-Furud

Dalam hierarki agihan harta pusaka Islam, waris ashab al-furud merupakan penerima utama yang perlu disenaraikan apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga Muslim. Waris ashab al-furud ialah ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak. Mereka terdiri daripada 12 orang waris (Jadual 1).

Hak faraid wanita

Menariknya, wanita merupakan waris paling dominan dalam senarai waris ashab al-furud. Martabat wanita dalam perundangan faraid dihargai dengan penentuan pecahan yang tetap disebabkan berhubung dengan si mati atas hubungan nasab keluarga atau perkahwinan. Isteri adalah waris yang dijamin mendapat harta pusaka suaminya yang meninggal dunia atas hubungan perkahwinan.

Manakala tujuh yang lain merupakan wanita yang ada nasab keluarga dengan si mati iaitu anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu) ke bawah, ibu, nenek yang sah, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara perempuan seibu. Kesemua lapan wanita tersebut ditentukan bahagian faraid mengikut situasi masing-masing dan layak mendapat harta pusaka selagi tidak dihalangi oleh waris yang lebih kuat.

Habuan yang lebih dalam setengah pengiraan

Dalam beberapa situasi pengiraan, wanita mendapat bahagian faraid melebihi waris lelaki yang wujud dalam kes faraid tersebut. Sekali lagi martabat wanita diraikan dalam Islam yang menunjukkan bahawa tidak semua situasi wanita mendapat bahagian yang sedikit dalam faraid. Sekadar menyebut tiga kes sebagai contoh yang menunjukkan wanita dihargai dengan habuan faraid yang lebih untuk pemahaman seperti Jadual 2.

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita

Dalam ketiga-tiga kes ini, waris wanita yang diwakili oleh anak perempuan memperoleh bahagian faraid yang banyak berbanding waris lelaki. Anak perempuan dalam kes pertama memperolehi 1/2 (menyamai 6/12) daripada si mati iaitu ibunya yang meninggal dunia.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Bahagian ini merupakan nilaian yang banyak berbanding waris lain dalam kes tersebut iaitu suami dan bapa. Dalam kes kedua, anak perempuan memperoleh sebanyak 1/2 (menyamai 2/4) iaitu bahagian yang banyak berbanding suami dan saudara lelaki seibu sebapa. Anak-anak perempuan dalam kes ketiga juga memperolehi bahagian yang banyak berbanding bapa si mati iaitu berpangkat datuk kepada mereka.

Ibu dalam kes ketiga memperoleh bahagian sama dengan bapa iaitu sebanyak 1/6 sahaja. Ini menunjukkan wanita punya hak sama rata dengan waris lelaki yang lain.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: Freepik & Pexels