Browsing Tag

hajj e-learning

Bimbingan ibadah haji
Berita Semasa,

Perkasa Bimbingan Ibadah Haji, TH Bakal Bangunkan Sistem Hajj E-learning Bulan Ini

SEBELUM pandemik Covid-19 membadai dunia dua tahun lalu, banyak kelas bimbingan ibadah haji yang boleh diikuti oleh para jemaah di negara ini.

Tidak kiralah sama ada kursus itu dianjurkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH), masjid, syarikat pengendali ibadah haji dan umrah mahupun pihak luar, semuanya boleh dihadiri untuk menambah ilmu di dada.

Bagaimanapun, penangan wabak berbahaya yang masih belum bernoktah ini mengubah segalanya. Ini kerana kursus secara bersemuka sukar untuk dilaksanakan, sekali gus bagi mengelak kesesakan dan  mengekang penularan virus berkenaan.

Bagi memperkasa penyampaian bimbingan ibadah haji, TH bakal membangunkan sistem Hajj e-learning bermula bulan ini. Sistem itu antara lain selaras dengan apa yang terkandung dalam Kerangka Kerja Haji 2021-2025.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad ketika merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-38 bagi Musim Haji 1443H di Kuala Lumpur semalam.

IDRIS

Jelas beliau, inisiatif tersebut diambil seiring dengan keperluan zaman teknologi kini, selain sebahagian amalan normal baharu masyarakat.

Baca juga Kementerian Haji dan Umrah Batalkan Tempoh Menunggu 14 Hari Untuk Umrah

“Jika dilihat pada musim haji tahun 2019 dan 2020, kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian, bermula daripada permohonan haji sehinggalah pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih.

“Saya percaya sudah tiba masanya bagi bakal haji Malaysia melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi dan terbuka dengan cara baharu menunaikan haji,” katanya sebagaimana dipetik daripada Bernama.

Bukan itu sahaja, pada majlis berkenaan, Idris turut melancarkan inisiatif digitalisasi terbaharu TH iaitu aplikasi Talian Ibadah-Pusat Panggilan atau lebih dikenali sebagai e-TAIB.

Aplikasi berkenaan antara lain bertujuan bagi memudahkan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum dan perjalanan ibadah haji ketika berada di Tanah Suci melalui perbualan secara langsung bersama guru agama.

Bimbingan ibadah haji

IDRIS (dua, kanan) turut merasmikan inisiatif digitalisasi terbaharu TH iaitu aplikasi Talian Ibadah-Pusat Panggilan (e-TAIB) bagi memudahkan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum dan perjalanan ibadah haji ketika berada di Tanah Suci.

Justeru, kepada bakal tetamu ALLAH SWT, andai diizinkan menjejakkan kaki ke sana kelak, tidak perlu risau lagi jika tiba-tiba ada kemusykilan sepanjang menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Kemudahan teknologi pada hari ini boleh ‘memandu’ kita di mana-mana sahaja asalkan mempunyai akses kepada capaian internet.

Foto: Facebook Official : Lembaga Tabung Haji