Browsing Tag

haji2022

tempahan ibadah korban meningkat
Berita Semasa, Dalam Negara,

Tempahan ibadah korban meningkat, waspada pakej palsu

TERBAHARU, lima negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah membenarkan pelaksanaan ibadah korban bagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dilakukan di masjid dan surau.

Pihak Exco Negeri bagaimanapun mengingatkan bahawa pelaksanaan aktiviti itu tetap tertakluk kepada beberapa peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan dilihat memberi kesan kepada permintaan lembu dan kambing bagi ibadah korban.

Seorang penternak lembu dan kambing di Kapar, Klang, Muhammad Fathullah Jamal berkata, jumlah tempahan kedua-dua haiwan tersebut meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

“Tahun ini (tempahan lembu dan kambing korban) meningkat sebanyak 20 peratus dan tempahan mula diterima selepasa Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.

(Tahun ini) kita dah boleh hantar ke masjid-masjid, kalau tahun sebelum ini kita perlu bungkus sendiri dan tidak boleh berkumpul beramai-ramai (kerana kekangan SOP,” ujarnya.

tempahan ibadah korban meningkat

BAGI masjid dan surau yang ketiadaan ruang atau kelengkapan sesuai untuk pelaksanaan korban, maka ia hanya dibenarkan aktiviti melapah, membungkus dan edaran daging sahaja.

Lain pula pendapat Pengasas Bersama Dr. Daging, Rabiatul Adawiyyah Mohmad yang mengatakan kenaikan harga lembu memberi kesan kepada jumlah tempahan yang diterima pada tahun ini.

“Jumlah lembu dan kambing yang ada turut berkurang ketika Hari Raya Aidilfitri yang disambut secara mengejut, jadi permintaan daging yang tinggi ketika itu mengganggu bekalan lembu untuk Aidiladha.

Walaupun permintaan tahun ini agak rendah, tapi saya harap akan ada peningkatan pada tahun depan,” katanya.

Baca juga Antara korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing, mana lebih afdal?

Berikutan itu, orang ramai disaran berwaspada dengan pakej ibadah korban palsu yang diiklankan dengan harga terlalu murah.

Harian Metro melaporkan, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin berkata orang ramai perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, maklumat bank atau nombor telefon pihak pengeluar pakej juga boleh disemak melalui laman web semakmule.rmp.gov.my untuk transaksi secara dalam talian.

“Jika keluar tanda amaran, maka orang awam perlu menjauhkan diri daripada pihak itu dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) supaya iklannya dapat disekat untuk mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan tersebut,” katanya.

Tempahan Ibadah korban meningkat

HARGA lembu yang meningkat pada tahun ini tidak menghalang umat Islam menunaikan ibadah korban sempena Hari Aidiladha.

Dalam masa sama, Duta Yayasan Maghfirah dan komposer Mohammad Hafiz Hamidun memberi cadangan kepada orang ramai memilih pakej korban dari pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sah.

“Sebaiknya jika kita nak elakkan tertipu, pilihlah pakej korban dari pihak NGO yang berwibawa serta mempunyai maklumat lengkap pada poster yang dipaparkan seperti harga pakej, nama NGO, nombor akaun (bank) yang tepat dan lebih baik jika ada nombor telefon untuk dihubungi,” ujarnya.

Baca juga Boleh Wakilkan Orang Lain Untuk Sembelih Haiwan Korban Sendiri, Tetapi Ini Yang Perlu Kita Tahu

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berkata pengguna perlu melihat sama ada harga yang ditawarkan untuk pakej korban itu relevan dan tidak tertipu dengan alasan pihak pengeluar.

“Penipuan (seperti) ini bukan sahaja berlaku pada ibadah korban, orang pergi haji pun ada penipuan, umrah pun ada penipuan, jadi kita kena lebih bijak, kalau tidak kita akan jadi mangsa kepada kebodohan dan kejahilan kita sendiri,” katanya.

Foto: Pexels