Browsing Tag

haiwan ternakan

Sakiti haiwan
Isu, Pilihan Editor,

Antara Ibadah Korban Dan Akikah, Mana Perlu Diutamakan?

no comment

KETIKA ini, kebanyakan daripada kita sedang tercari-cari pakej sesuai dengan bajet masing-masing untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

Masakan tidak, terlalu banyak pakej yang ditawarkan sama ada untuk menunaikan satu bahagian atau seekor haiwan korban. Ada yang melibatkan ibadah korban di dalam negeri mahupun luar negara.

Apa jua pilihan kita, segalanya bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Cuma dalam hal tersebut, ada segelintir masyarakat masih keliru berhubung ibadah korban dan akikah. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak pernah berkesempatan untuk melakukan ibadah akikah ketika kecil akibat kekangan kewangan ibu bapa sewaktu itu atau sebab-sebab lain.

Seandainya sekarang kita sudah mampu untuk membuat akikah untuk diri sendiri, apakah ia perlu diberi keutamaan berbanding ibadah korban?

Baca juga Islam sebahagian dari Eropah, Bukan Sesuatu Dari Luar: Bekas Menteri Portugal

Menjawab persoalan itu, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, bagi mereka yang tidak pernah dilakukan akikah buat dirinya ketika masih kecil, maka individu berkenaan boleh sahaja berbuat demikian selepas baligh.

Ibadah korban

KEPADA mereka yang tidak sempat mengerjakan ibadah akikah ketika kecil, boleh sahaja melakukannya apabila dewasa dan berkemampuan.

“Cuma, ia tidaklah wajib kerana hukum akikah adalah sunat.

“Kedua-duanya iaitu ibadah korban dan akikah adalah sunat. Jadi tiada masalah untuk melakukan yang mana satu dulu,” katanya menerusi ciapan di Twitter baru-baru ini ketika menjawab pertanyaan warganet.

Namun, perlu kita ketahui bahawa ibadah korban hanya boleh dilakukan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah sahaja.

Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, ibadah korban sebenarnya untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, selain menghayati semangat pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS ketika diuji Sang Pencipta untuk menyembelih anaknya.

“Sementelah, ibadah akikah dilakukan untuk menzahirkan rasa gembira ibu bapa yang dikurniakan anak. Waktu akikah pula bermula apabila semua tubuh bayi itu keluar daripada perut ibunya hinggalah anak itu baligh.

“Setelah baligh, anak tadi akan melakukan akikah ke atas dirinya sendiri dan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Dari segi keutamaan pula, jabatan berkenaan menjelaskan, terdapat dua situasi dalam hal itu, iaitu bergantung dari segi tuntutan dan waktu.

“Jika dilihat dari sudut tuntutan, sudah semestinya ibadah akikah perlu diutamakan. Bahkan, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan akikah ke atas anaknya. Namun begitu, jika si anak sudah dewasa (baligh), maka dia boleh melaksanakan akikah untuk dirinya sendiri.

“Namun andai melihat dari segi waktu pula, apabila menjelang bulan Zulhijah dan telah hampir kepada waktu korban, maka lebih utama jika kita melaksanakan ibadah korban terlebih dahulu.

“Ini kerana waktu pelaksanaannya hanya pada 10 hingga 13 Zulhijah sahaja pada setiap tahun, manakala akikah pula boleh dilaksanakan pada bila-bila masa. Andai orang itu berkemampuan, maka boleh sahaja laksanakan kedua-duanya sekali,” katanya.

Ibadah korban

TERDAPAT dua keadaan bagi menjelaskan tentang keutamaan sama ada perlu mendahulukan ibadah korban atau akikah terlebih dahulu.

Tak boleh gabung niat

Bolehkah kita menggabungkan niat akikah dan ibadah korban dalam satu masa?

Memetik artikel Irsyad Al-Fatwa Haji dan Korban Siri ke-40: Hukum Menggabungkan Niat Korban dan Akikah untuk Satu Sembelihan yang disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, umat Islam tidak boleh menggabungkan niat akikah dan korban pada satu masa.

Walaupun kedua-duanya daripada jenis yang sama iaitu sembelihan, tetapi ibadah-ibadah sunat berkenaan membawa maksud tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

Pendapat itu bersifat ihtiyat (hati-hati) dan keluar daripada perselisihan yang ada.

Ibadah korban

NIAT untuk mengerjakan ibadah korban dan akikah tidak boleh digabungkan.

“Sekiranya akikah bertepatan dengan korban pada Hari Raya Aidiladha atau hari-hari Tasyriq, maka sebaiknya dipisahkan antara kedua-duanya iaitu dengan melaksanakan sembelihan korban dan akikah jika mampu.

“Andai kata kita tidak mampu melaksanakan kedua-duanya sekali gus, maka hendaklah didahulukan ibadah korban terlebih dahulu kerana ia bertepatan dengan hari raya korban dan waktunya agak singkat,” katanya.

Namun begitu, Islam sememangnya agama yang memudahkan umatnya.

Apa tidaknya, jika seseorang itu berada dalam keadaan sangat tidak berkemampuan pada waktu tersebut dan wujud kebimbangan tidak dapat melaksanakannya pada tahun-tahun seterusnya, maka Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, boleh sahaja dirinya mengambil pandangan Imam al-Ramli dan sebahagian ulama lain yang mengharuskan untuk menghimpunkan niat ibadah korban dan akikah bagi mendapatkan kelebihan dan pahala kedua-duanya.

Namun begitu, sekali lagi pejabat mufti itu menegaskan, andai individu berkenaan berkemampuan, maka hendaklah kedua-dua ibadah itu diasingkan sembelihannya.

“Para ulama menyatakan, lebih banyak seseorang melaksanakan amalan, maka lebih banyak pahala yang bakal diperoleh.

“Justeru, marilah sama-sama kita memperbanyak amalan lebih-lebih lagi ibadah yang sangat dituntut ini dalam kehidupan,” nasihatnya.

Foto: Bernama & Freepik