Browsing Tag

Hafaz al-Quran

Hafaz al-Quran
Berita Semasa,

Wanita 75 Tahun Buta Huruf, Mampu Hafaz 30 Juzuk Al-Quran

no comment

USIANYA sudah melepasi separuh abad. Namun, kudratnya ketika menghafaz begitu mengagumkan ramai.

Bayangkan ketika umurnya sudah mencecah 75 tahun, seorang wanita dari Algeria berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran!

Barangkali ramai membayangkan warga emas itu sememangnya seorang yang cerdas akalnya. Hakikatnya, wanita yang bernama Hajiya Melisa Haiwani itu sebenarnya seorang yang buta huruf.

Walaupun tidak dapat membaca dan menulis, Hajiya Melisa tidak melihat kekurangannya itu untuk membaca, seterusnya menghafaz bait-bait kalam ALLAH SWT dengan lancar. Apatah lagi sudah menjadi kewajipan umat Islam untuk mempelajari al-Quran.

Baca juga Mukjizat Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW Paling Agung Berbanding Kitab-Kitab Samawi Lain

Memetik portal en.shafaqna.com, usaha gigihnya sudah bermula sejak 13 tahun lalu. Ketika itu, usianya sudah pun menginjak 62 tahun.

“Pada awalnya, Hajiya Melisa yang tinggal di Setif, timur Algeria pergi ke Masjid al-Sabtayn. Beliau meminta guru al-Quran di masjid itu membimbingnya untuk menghafaz kalamullah.

“Mendengar permintaannya itu membuatkan guru tadi terkejut dan menganggap usahanya itu sebagai mustahil. Namun, desakan demi desakan selain kesungguhan yang ditunjukkan oleh Hajiya Melisa membuatkan dirinya diterima belajar,” katanya sebagaimana dipetik daripada portal tersebut.

Hafaz al-Quran

USIA dan kekurangan bukan perintang untuk kita menghafaz al-Quran mahupun membaca kalam ALLAH.

Ternyata bukan mudah untuk warga emas seusia itu mempelajari setiap huruf dan bait-bait suci ayat al-Quran.

Malah, Hajiya Melisa terpaksa menggunakan kaedah mendengar untuk menghafaznya.

Namun, kuasa ALLAH SWT dan berkat kegigihannya tanpa lelah serta jemu membuahkan hasil. Beliau akhirnya berjaya menghafaz seluruh mushaf al-Quran dengan baik dan lancar.

Benarlah, usia bukan penghalang untuk kita terus menggali ilmu di muka bumi ALLAH SWT yang luas ini. Apatah lagi jika ia melibatkan ilmu agama.

Semuanya demi kebaikan kita bukan sahaja untuk urusan duniawi, tetapi juga ukhrawi.

Foto: en.shafaqna.com