Browsing Tag

hadis palsu

yahudi buta
Rindu Rasulullah,

Kisah masyhur Nabi SAW memberi makan kepada Yahudi buta adalah palsu, jangan sebar sembarangan

ADA beberapa kisah popular yang sering kita dengar ialah perbuatan baginda SAW menyantuni seorang Yahudi buta di pasar dengan sentiasa memberinya makan pada setiap pagi.

Yahudi tersebut dikatakan sering menghina dan mencaci baginda dengan mengatakan bahawa agama yang dibawanya adalah salah dan baginda seorang tukang sihir. Sedangkan dia sendiri tidak pernah melihat baginda SAW.

Kisah yang sering diceritakan berbunyi begini: “Di pasar Madinah, terdapat seorang Yahudi yang miskin dan buta. Lelaki ini sentiasa mengingatkan orang yang lalu-lalang dekatnya dengan berkata kepada mereka bahawa Muhammad adalah seorang pendusta dan penyihir. Di samping itu juga, dia sering mengejek dan menghina Nabi SAW. Disebabkan itu, Rasulullah sering menziarahinya pada setiap pagi untuk memberi makan kepada lelaki tersebut tanpa baginda mengucapkan satu patah perkataan pun dan tidak mendedahkan dirinya sehinggalah baginda wafat.

Baca juga Semak semula kisah Hindun makan hati Hamzah RA, popular tetapi tidak sahih

yahudi buta

WALAUPUN kisah popular itu mengandungi teladan bermakna, namun hakikatnya ia termasuk hadis palsu. Foto: Pexels & Google

Pada suatu hari, Abu Bakar RA bertanya kepada ‘Aisyah RA: “Adakah terdapat sunnah daripada sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang tidak aku lakukan?” ‘Aisyah RA menjawab: “Sesungguhnya engkau telah mengikuti kesemua sunnahnya melainkan satu perkara. Lalu, ‘Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah sentiasa memberi makan kepada seorang Yahudi yang buta pada setiap pagi. Setelah itu, Abu Bakar terus mengambil makanan dan pergi ke rumah Yahudi tersebut. Dia menyedari bahawa orang yang memberinya makanan ini bukanlah orang yang sama seperti sebelum ini.

Yahudi itu bertanya kepada Abu Bakar berkenaan siapa yang memberi makan kepadanya sebelum ini. Abu Bakar memberitahunya bahawa baginda SAW yang memberi makan setiap pagi. Mendengar sahaja penjelasan daripada Abu Bakar itu, Yahudi buta itu menangis dan menyesali perbuatannya yang sering menyakiti Nabi SAW dengan kata-katanya. Akhirnya, Yahudi tersebut masuk Islam kesan kebaikan Nabi SAW itu.

Turut disyorkan Rasulullah SAW kunyah makanan 44 kali, betulkah begitu?

yahudi buta

USAH sebarkan hadis sembarangan kerana haram hukumnya jika menyandarkan sesuatu hal yang tidak benar kepada Nabi SAW. Foto: Unsplash

Namun, tahukah anda bahawa kisah itu adalah palsu walaupun sering dikongsikan sesetengah agamawan sendiri.

Menurut penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah, kisah berkenaan tidak dijumpai dalam mana-mana sumber sahih.

Oleh yang demikian, cerita tersebut tidak boleh disebarkan sembarangan kerana dikhuatiri menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Rasulullah yang mana termasuk di dalam pendustaan terhadap baginda SAW.

Sumber: Tzkrh

Foto: Google, Pexels & Unsplash

hadis
Isu,

[VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu

NERAKA menanti pencipta hadis palsu. Banyak hadis berkaitan larangan berdusta di atas nama Nabi SAW, sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya, menyandarkan sesuatu perkara kepada Nabi Muhammad SAW sedangkan perkara tersebut bukan daripada Baginda adalah dilarang. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah tempatnya di neraka.

Di dalam sebuah hadis yang lain Baginda bersabda:“Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak pernah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”(Hadis Riwayat al-Bukhari). Berdasarkan dalil di atas, jelas wujud ancaman yang cukup keras kepada pendusta-pendusta terhadap hadis Nabi.

Pemalsuan yang memesongkan akidah

Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin berkata, pemalsuan hadis amat merbahaya kerana ia boleh memesongkan akidah Muslim.

hadis

DR KAMILIN

Menurut beliau, terdapat tiga elemen asas yang menjadikan hadis palsu tersebar dalam masyarakat Islam, iaitu kerana politik, taasub dan kepuakan.

 

Apa yang berlaku ujarnya, selepas era khilafah yang mencetuskan peperangan, mendorong orang untuk memalsukan hadis Rasulullah untuk menyokong fahaman kumpulan masing-masing.

Bagaimana hadis juga boleh digunakan di dalam politik untuk meyakinkan ideologi kumpulan masing-masing yang akhirnya menyebabkan ketidaksepakatan berlaku dan menyebabkan Islam berpecah belah,” katanya dalam program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Polemik Hadis’ yang disiarkan di platform Sinar Harian awal Julai lalu.

Turut menjadi panel ialah Ustaz Mohammed Noor Mohammed Deros yang merupakan antara Pengasas Sidang Kalam, manakala Finaz Yunus selaku moderator.

Menurut Kamilin, sifat taksub kepada mahzab, kepuakan dan bahasa turut membutakan hati manusia sehingga tergamak memalsukan hadis.

Ibnu Jauzi ada menyebut tentang hadis-hadis palsu, contohnya ada yang benci bahasa Arab, lalu mencipta hadis, ‘kalau ALLAH murka DIA akan turunkan wahyu dalam bahasa Arab, tetapi kalau ALLAH suka, DIA akan turunkan wahyu dalam bahasa Parsi,’ Ini contoh taasub kepada bahasa,” katanya.

Sembunyikan kekufuran

Jelasnya lagi, permusuhan terhadap Islam seperti itulah mendorong golongan berkenaan menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keislaman demi merosakkan Islam dari dalam.

Sebagaimana tercatat dalam sejarah, Abdul Karim bin Abu al-Auja yang mengaku pernah memalsukan sekitar 4,000 hadis sebelum dihukum bunuh,” kata beliau.

Tambahnya lagi, ada juga dalam kalangan penglipura, penceramah-penceramah yang suka bercerita.

“Mereka terdesak untuk membawa cerita yang boleh menghiburkan sehingga sanggup mencipta hadis. Ini bukan berlaku sekarang tetapi sudah lama wujud,” katanya.

Kamilin berkata, malah ada pelbagai lagi golongan orang soleh dan baik tetapi disebabkan kejahilan ilmu hadis dan agama tergamak mempermudahkan (dengan berhujjah) daripada sudut hadis.

“Biasanya kita akan tengok orang ini zuhud, soleh dan fokus kepada ibadah tetapi lemah daripada penguasaan ilmu hadis dan periwayatan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai siapa yang hendak dirujuk (apabila berhadapan kemelut ini), Kamilin berkata, orang awam tidak tahu untuk membezakan siapakah ahli hadis yang sebenar.

“Tuntutan dan tanggungjawab kita adalah untuk mencari. Kita nak menerima hadis riwayat seseorang itu, antara aspek utama yang perlu dilihat ialah daripada sudut agama, pertuturan dan ilmunya. Adakah dia seorang yang mempunyai kredibiliti dari sudut penyampaian.

Manakala, keduanya kita lihat dari sudut kemampuannya adakah dia seorang yang tekun, tajam dan kritis.
“Biasanya dalam isu hadis palsu ini orang yang biasa dengan hadis, akan mampu mengenal pasti sama ada itu hadis palsu atau tidak.
“Macam saya sendiri, saya sudah berbelas tahun di dalam bidang ini. Apabila ada sesuatu yang meragukan, saya akan semak balik, di situlah antara peranan orang awam,” katanya.

Pembawakan Islam yang direstui Barat

Dalam pada itu, gerakan subversif pembenci Islam juga tidak pernah duduk diam. Antaranya, Rand Corporation, sebuah Badan pemikir Amerika telah mengeluarkan kertas kerja •‘Civil Democratic Islam’ yang menggariskan beberapa langkah untuk mensabotaj kebangkitan Islam dan diganti dengan pembawakan Islam yang direstui Barat.

Strategi mereka ialah mewujudkan polemik hadis yang tidak berkesudahan antara golongan agamawan, dan mengheret golongan awam kepada pertikaian luar biasa terhadap kefahaman agama.

Mengulas perkara ini, Pengasas Sidang Kalam, Ustaz Mohammed Noor Mohammed Deros berkata, satu satunya perkara yang boleh dilakukan oleh umat Islam ialah kekal bersatu dan jangan sekali-kali leka.

hadis

MOHAMMED NOOR

 

“Kita adalah pengamal Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia, yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf serta khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah),

“Justeru, kembalilah kepada prinsip yang telah dipersetujui. Masalah umat Islam pada hari ini ialah mereka mengakui Asya’irah atau Maturidiyyah tetapi dalam isu hadis ini tidak mengikut ulama Asya’irah atau Maturidiyyah, sebaliknya mereka mengikut salah satu idealisme Rand Corporation juga.

“Rand Corporation giat mempromosi sufisme. Bukan sufisme versi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menganjurkan penyucian jiwa, tetapi sufisme versi Rand Corporation yang dimasukkan elemen batiniah atau falsafah. Di situ kita melihat tidak ada penghormatan kepada tradisi ilmu hadis seperti yang telah disepakati,

“Untuk bersatu kita harus jujur dengan prinsip bersama. Jangan izinkan hadis diserang,” tegas beliau lagi.

Pupuk minat agar ghairah belajar hadis Pandangan Ustaz Mohammed Noor di sokong oleh Dr Kamilin. Ujarnya, bagi mengelakkan umat Islam tersasar di dalam amal ibadat dan sentiasa berada di landasan yang lurus, mereka perlu meluangkan masa belajar hadis dan sirah nabi.

Untuk mempelajari ilmu ini tidaklah memerlukan kefahaman mendalam. Cuma minat perlu dipupuk sedikit demi sedikit, lama kelamaan diri akan menjadi ghairah untuk mendalami hadis, lalu kita akan patuh dan menjaga Sunnah Rasulullah SAW.

Beliau memetik firman ALLAH yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-KU yang lurus maka ikutlah! Jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) yang akan mencerai-beraikan kamu daripada jalan-NYA. Demikian DIA memerintahkan kepadamu agar kamu bertakwa,”(Surah al-An’am, ayat 153)

 

SEJARAH PEMALSUAN HADIS NABI SAW

8 cara pilih nama anak

PASTIKAN merujuk hadis sahih sebelum dijadikan sumber hukum

IRSYAD al-Hadith Siri Ke-249: Hadith Mawdhu’ (Palsu),’ di laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan mencatatkan: telah diriwayatkan lebih daripada 100 orang sahabat Nabi Muhammad SAW akan hadis yang menceritakan berkaitan ancaman terhadap orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW.

Sejarawan merekodkan pemalsuan hadis Nabi bermulanya apabila berlakunya fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA.

Ini kerana, pada waktu itu golongan al-Ahwa’ (golongan yang mengikut hawa nafsu) telah mencipta hadis palsu dan mengakibatkan berlakunya perpecahan.

Jelaslah kepada kita bahawa hadis palsu ini direka lalu disandarkan di atas nama Nabi secara dusta sama ada berbentuk ucapan, perbuatan dan iqrar Nabi SAW sedangkan ia tidak pernah datang daripada Baginda.

Hukum meriwayatkan hadis palsu

Para ulama menyatakan, setelah status kepalsuan hadis itu diketahui, maka haram bagi kita untuk meriwayatkannya, melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya.

Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi (911 H) dan ramai lagi termasuk ulama-ulama hadis masa kini.

Hukum ini terbina berdasarkan hadis-hadis berkaitan larangan keras Rasulullah terhadap pendustaan di atas nama Baginda.

Sebagai mukmin yang cintakan Rasulullah, wajib kita menjaga nama dan peribadi Baginda daripada dicemari pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Sebagaimana disebut di dalam sebuah hadis: yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.”(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umat Islam juga wajib mengenalpasti sumber dan status (hukum) sesuatu hadis sebelum diajar, ditular atau disebarkan.

Dengan cara ini kesucian agama Islam akan terjaga dan pada masa yang sama dapat mengelakkan daripada terjebak dengan golongan yang menyeleweng dan ingin menghancurkan Islam.
Hadis palsu merupakan peringkat hadis dhaif yang paling buruk. Hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak.

 

KEDUDUKAN & DEFINISI HADIS PALSU

Kedudukan hadis palsu adalah seburuk-buruk hadis dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama seperti :

1. Imam Ibn Salah (643 H) berkata yang bermaksud: “Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadis palsu adalah termasuk di dalam hadis-hadis dhaif yang paling buruk (al Muqaddimah).”

2. Imam al-Nawawi (676 H) juga berkata yang bermaksud: “Hadis palsu adalah hadis yang direka atau dicipta dan ia adalah seburuk-buruk hadis dhaif.” (Tadrib al-Rawi)

3. Kata Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya yang masyhur, hadis palsu adalah: Pendustaan yang direka dan dicipta di atas nama Nabi SAW maka itulah yang dinamakan hadis mawdhu’.

4. Menurut Imam al-Baiquniy, hadis mawdhu’ atau palsu ini ialah hadis dusta yang direka dan ia disandarkan kepada Nabi SAW.

5. Menurut Syeikh Sayyid Abd al-Majid al-Ghouri di dalam kitabnya menyatakan bahawa hadis palsu adalah: “Hadis yang tidak datang daripada Nabi SAW sama ada ia berbentuk ucapan, perbuatan, taqrir dan ia disandarkan kepada Nabi SAW secara tersalah, sengaja, kejahilan dan juga muslihat.” (Mu’jam al-Musthalahat al-Hadithiyyah)

Sumber: (Irsyad Al-Hadith Siri Ke-249: Hadith Mawdhu’ (Palsu), daripada laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan)

 

8 KRITERIA HADIS PALSU

Perkara ini dapat dikesan sama ada pada sanad, juga matan hadis dan dinukilkan daripada kitab Ulum al-Hadith oleh Prof Dr Muhammad Abu Laith iaitu:

  1. Pada Sanad: Iqrar atau pengakuan daripada perawi tersebut bahawa dia telah mencipta hadis tersebut. Terbukti daripada pengakuannya bahawa dia telah berdusta. Contohnya, seperti katanya: bahawa dia telah mendengar hadis ini daripada syeikh sekian di tempat sekian, sedangkan syeikh tersebut diketahui tidak pernah masuk atau sampai ke tempat tersebut.
  2. Perawi tersebut terkenal sebagai pemalsu hadis Nabi SAW.
  3. Pada Matan:
  • Teks hadis bercanggah dengan al-Quran, usul-usul dan kaedah-kaedah agama.
  • Teks hadis bercanggah dengan teks hadis sahih yang lain.
  • Teks hadis bercanggah ijmak para sahabat.
  1. Bertentangan dengan naluri, penyaksian dan ilmu sains (penemuan ilmiah moden yang sahih dan tidak bertentangan dengan al-Quran, hadis dan sumber-sumber utama di dalam agama).
  2. Teks tersebut tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar.
  3. Kelemahan pada susunan lafaz dan juga makna.
  4. Di dalam teks hadis terkandung perkara-perkara yang dilihat melampau yang mustahil bagi seorang Nabi SAW mengucapkan kata-kata tersebut.
  5. Di dalam teks hadis terkandung perkara bidaah yang diada-adakan dan tidak mempunyai asal serta perawi tersebut termasuk di dalam orang yang menyeru kepadanya.