Browsing Tag

Guru tulis surat kepada pelajar

Guru tulis surat kepada pelajar
Jendela Dunia,

Guru Muslim Di Ontario Ini Gigih Tulis Surat Dengan Tangan Beri Kepada 80 Pelajarnya

PADA era milenial ini, jarang sekali kita menerima kiriman surat kecuali yang melibatkan urusan rasmi sahaja. Itu pun boleh dihitung jumlahnya.

Apa tidaknya, rata-rata lebih selesa menggunakan proses dokumentasi digital. Ia lebih mudah dan cepat berbanding pendekatan tradisional seperti sebelum ini.

Selaras dengan peredaran zaman, boleh dikatakan hampir semua surat yang diterima adalah cetakan komputer. Amat sukar untuk kita melihat surat dalam tulisan tangan walaupun memang ada yang masih menggemari ‘cara lama’ tersebut.

Meskipun mengutus surat tidak lagi popular pada hari ini, namun pendekatan itu masih menjadi pilihan utama buat seorang guru Muslim di Sekolah Menengah Ontario.

Bayangkan guru wanita itu telah menghantar surat menggunakan tulisan tangan sepenuhnya kepada 80 orang pelajarnya! Sungguh mengagumkan, bukan?

Kegigihan Iman Al-Areibi menulis helaian demi helaian surat buat anak muridnya itu wajar dipuji.

Masakan tidak, usaha murni beliau adalah untuk menunjukkan betapa dirinya mengambil berat terhadap pelajarnya. Apatah lagi kita semua masih bergelut dalam era pandemik Covid-19.

Guru tulis surat kepada pelajar

IMAN AL-AREIBI

“Saya mahu memberikan senyuman pada wajah mereka,” kata guru yang mengajar tiga kelas di Sekolah Menengah H.B Beal yang terletak di London, Ontario sebagaimana dipetik menerusi portal berpengaruh di Kanada, CBC.

Difahamkan, Al-Areibi telah menulis sebanyak 60 pucuk surat pada dua minggu lalu dan baki 20 lagi ditulisnya pada minggu lepas.

Dalam surat berkenaan, guru wanita itu menulis nama pelajarnya seorang demi seorang, diikuti dengan coretan ucapan penghargaan dan pesanan buat mereka.

Antara inti pati surat itu berbunyi: “Ke hadapan Meredith, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda atas tahun yang menakjubkan selama ini. Terima kasih atas kerja keras dan sumbangan anda kepada rakan sekelas dan komuniti sekolah kita. Terima kasih kerana menjadi diri sendiri!

“Didoakan agar anda dikurniakan tahun yang penuh keceriaan dan selamat dengan menjaga diri, dianugerahkan kejayaan dan peluang yang tidak berkesudahan. Anda senantiasa menjadi keutamaan.

“Saya tidak sabar untuk bertemu anda lagi.”

Ketika ditanya wartawan CBC tujuannya mengutus surat sedemikian, Al-Areibi pantas memberitahu: “Saya mahu mereka rasa baik-baik sahaja.”

Baca juga Persis Mashaf Sebenar, Mahasiswi Al-Azhar Menulis Al-Quran Dengan Tulisan Tangan

Walaupun sesi persekolahan secara fizikal bermula pada hari ini, ujar pendidik tersebut, beliau memahami betapa sukarnya para pelajarnya menghadapi tahun mencabar dan terputus hubungan dengan rakan-rakan.

“Ya, kami sendiri masih berasa gementar sama ada sekolah selamat untuk semua orang atau tidak. Namun, kami percayakan proses yang diambil dan usaha keras lembaga sekolah kami (mengikuti protokol Covid-19 bagi mengelak penularan wabak berkenaan),” katanya.

Guru tulis surat kepada pelajar

SURAT kiriman Al-Areibi mendapat sambutan positif daripada ibu bapa pelajarnya, selain anak muridnya.

Meskipun semua pelajarnya itu mempunyai akaun e-mel masing-masing, namun cara tradisional yang dilakukan oleh Al-Areibi begitu dihargai.

Buktinya, ramai pelajarnya membalas ucapan terima kasih menerusi e-mel peribadi masing-masing.

Salah seorang pelajarnya, Meredith Lewkowitz berkata, surat berupa nota peribadi itu begitu bermakna pada dirinya.

“Ia menunjukkan betapa beliau sangat mengambil berat tentang kesejahteraan kami selaku pelajarnya,” ungkapnya.

Untuk rekod, hasil tinjauan isi rumah kebangsaan Kanada pada 2011 menganggarkan bilangan Muslim di negara itu adalah sekitar 1.054 juta atau 3.2 peratus daripada populasi keseluruhan. Ia sekali gus menjadikan Islam sebagai agama kedua terbesar di negara itu selepas Kristian.

Foto: CBC