Browsing Tag

Guna duit anak

josh-appel-NeTPASr-bmQ-unsplash
Gaya Hidup, Panduan,

Boleh gunakan duit anak untuk keperluan semasa mereka kalau terdesak. Tapi ambil tahu dulu apa situasinya…

AMALAN menabung sememangnya sudah kita pratiskan sejak dari kecil lagi. Semua itu hasil didikan ibu bapa dan keluarga.

Maka, tidak hairanlah apabila usia telah meningkat dewasa dan punya keluarga sendiri, amalan itu sudah menjadi kelaziman buat kita.

Malah, kita akan semakin bersemangat untuk menyimpan wang apabila dikhabarkan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Namun, kehidupan manusia kadangkala ada pasang surutnya. Barangkali ada suatu masa hidup kita sedang diuji dengan kekangan kewangan.

Guna duit anakPada masa itu, teringat pula duit tabungan yang dibuat untuk anak. Apatah lagi jumlah simpanan tersebut semakin meningkat, ditambah lagi dengan duit anak hasil pemberian orang setiap kali Hari Raya. Ia membuatkan jumlah tabungan mereka adakalanya lebih banyak daripada kita.

Andai kata kita dalam kesempitan dan terdesak, bolehkah kita menggunakan wang anak tadi untuk keperluan mereka seperti yuran persekolahan?

Mengulas lanjut, pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris menjelaskan, pada asalnya, kita tidak dibenarkan mengambil hak orang lain sepertimana yang disebut dalam nas.

DR MOHAMAD FITRI

“Perkara itu adalah jelas tidak boleh dilakukan walaupun ia hak isteri, ibu, bapa dan anak sendiri.

“Namun, perkara yang asalnya tidak boleh digunakan, ada keringanan dalam hal-hal tertentu,” katanya.

Jelas beliau lagi, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk ibu bapa mengambil duit milik anak.

“Situasi pertama adalah jika wang yang digunakan tadi tidak memudaratkan anak.

Guna duit anak

“Kedua, jika anak kita belum baligh lagi, tiada masalah untuk ibu bapa menggunakan wang mereka untuk keperluan semasa anak. Misalnya, ibu bapa pada masa itu tiada wang untuk bayar yuran sekolah anak.

“Jadi, dibolehkan orang tua menggunakan wang anak-anak demi memenuhi keperluan tersebut sahaja,” jelasnya.

Baca juga Boleh guna duit raya anak, tapi jangan sampai memudaratkan mereka

Seandainya anak-anak sudah berakal, Dr Mohamad Fitri menitipkan pesan agar ibu bapa perlu meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan duit mereka.

“Itulah yang sebaik-baiknya,” jelas beliau lagi.

Walaupun taraf kita sebagai ibu bapa lebih tinggi daripada anak, usahlah gunakan tiket itu sebagai alasan untuk kita sewenang-wenangnya menggunakan duit mereka.

Foto: Freepik